Cabaran menanti MB Kedah baharu


Oleh Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed

Kedah sekali lagi mengalami perubahan dalam pentadbiran negeri. Dalam tempoh tujuh tahun, negeri ini menyaksikan empat kali pertukaran Menteri Besar. Dalam waktu ini juga, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dua kali menjadi Menteri Besar dan dua kali juga terpaksa meletakkan jawatan akibat kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Senario pertukaran MB kali ini dijangkakan lebih awal kerana kerajaan pimpinan Mukhriz unik kerana pada peringkat persekutuan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebahagian gabungan Perikatan Nasional (PN). Namun pada peringkat negeri, Mukhriz memilih terus bersama Pakatan Harapan (PH) bagi mentadbir Kedah.

Justeru, kerajaan pimpinan Mukhriz sentiasa berdepan dengan krisis ketidakstabilan politik kerana ketidaktentuan sokongan daripada ADUN BERSATU sendiri yang berbelah bahagi antara sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presidennya atau kesetiaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi parti.

Di samping itu, jumlah sokongan majoriti kecil, iaitu 19 ADUN juga menimbulkan tanggapan umum bahawa pada setiap masa jika ada dalam kalangan ADUN PH atau BERSATU mengubah sokongan, kerajaan pimpinan Mukhriz akan jatuh.

Ketidaktentuan ini menjadi realiti apabila dua ADUN PKR membuat pengumuman keluar parti minggu lalu dan sebagai calon bebas membuat ketetapan menyokong PN. Apabila ia berlaku, jumlah sokongan ADUN terhadap kerajaan pimpinan Mukhriz berkurang kepada 17, manakala PN memperoleh 19 ADUN, sekali gus membolehkan PN membentuk kerajaan baharu.

Sokongan terhadap PN semakin bertambah apabila empat ADUN BERSATU menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin, sekali gus menjadikan jumlah sokongan diperoleh PN ialah 23. Semua mereka menandatangani Akaun Sumpah (SD) sebagai menyatakan sokongan kepada PN secara bertulis.

Bagi memastikan tahap sokongan setiap ADUN di Kedah, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan setiap ADUN menghadap baginda untuk menentukan kesahihan sokongan diperoleh PN bagi membentuk kerajaan baharu.

Selepas berpuas hati, maka Sultan Kedah bersetuju untuk PN membentuk kerajaan dengan ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor, dicadangkan sebagai Menteri Besar baharu. Dengan terlantiknya Muhammad Sanusi, PAS sekali lagi akan mengetuai kerajaan Kedah selepas Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak memimpin Kedah antara 2008 hingga 2013.

Apa yang menarik, Muhammad Sanusi ialah Setiausaha Politik kepada Azizan ketika menjadi MB Kedah. Pastinya, legasi Azizan akan cuba dipertahankan walaupun Muhammad Sanusi boleh dianggap masih baharu dalam politik dengan ini penggal pertama beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Sebagai MB baharu, Muhammad Sanusi pasti akan berdepan pelbagai cabaran, terutama COVID-19. Walaupun Kedah dikenal pasti sebagai Zon Hijau, impak krisis ini sangat besar, terutama terhadap sosioekonomi negeri.

Sebagai antara negeri mempunyai ramai penduduk miskin dan miskin tegar di luar bandar seperti Sik, Baling dan Padang Terap, kerajaan perlu meningkatkan usaha membantu anggota masyarakat yang terjejas teruk kerana tidak dapat bekerja atau kehilangan kerja.

Ramai mereka ini peniaga kecil, petani, pesawah dan pekebun kecil yang hanya bergantung pendapatan terhadap hasil padi, getah, kelapa sawit atau buah-buahan. Apabila mereka hilang pendapatan, keadaan hidup sangat terjejas hingga sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Walaupun bantuan Kerajaan Persekutuan disampaikan, ia pasti tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian mereka. Isu inilah perlu menjadi fokus utama kerajaan pimpinan Muhammad Sanusi terutama ketika umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Krisis dalam sekuriti makanan terutama meneliti tahap kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam memastikan keperluan asas pemakanan adalah mencukupi perlu kepada tindakan bersepadu semua pihak. Aspek rantaian makanan perlu dititikberatkan bagi memastikan Kedah tidak akan terjejas teruk sekiranya bekalan makanan terputus akibat kenaikan harga barangan atau kegagalan negara pengimport makanan untuk menghantar bekalan makanan.

Di samping itu, cabaran besar yang menunggu beliau juga ialah menyelesaikan kemelut krisis air. Isu ketiadaaan air baharu, bahkan membelenggu negeri ini sejak sekian lama. Pelbagai usaha dibuat, namun krisis air masih antara isu paling kerap dibangkitkan masyarakat setempat.

Selepas kemelut politik di Kedah berakhir dan kembali ditadbir kerajaan pimpinan PN, Muhammad Sanusi perlu mendapatkan kembali sokongan masyarakat umum, terutama mereka yang berasakan kepentingan awam sering terabai kerana ahli politik terlalu sibuk berpolitik.

Usaha membantu semua masyarakat perlu diberi tumpuan dan kerjasama daripada pegawai kerajaan negeri (KCS) perlu ditingkatkan kerana jentera pentadbiran efisien pasti memudahkan kerajaan negeri untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

***Penulis ialah Ketua Kluster Governance dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post