Budaya hedonisme , seronok santai dalam bulan ramadhan musim PKP..



Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Ramadhan berlari meninggalkan kita yang masih termanggu dan culas memohon keampunan. Allah membuka ruang seluas mungkin untuk mengampunkan kita , para pendosa yang tak sedar dek untung. Bulan pengampunan dengan bonus pahala yang meruah namun sebahagian kita masih leka dan terbuai diulit mimpi. Masa yang sangat berharga, dihabiskan dengan menonton siaran televisi dan menggodek telefon pintar. Media sosial meriah dimusim PKP , umpat keji bergentayangan dan kita terus terlalai walau jasad terpasung didalam rumah.

Saya teringat pesan-pesan berharga almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat agar lidah kita dibiasakan menyebut bulan Ramadhan, bukan memanggilnya bulan puasa. Hujjah almarhum , disebut bulan puasa maka tergambar pesta makanan dan berpuasa semata-mata. Jika diratib bulan Ramadhan maka pakejnya pelbagai seperti bulan al Quran, bulan jihad, bulan pengampunan dan pelbagai gelaran yang lain.

Rugilah kita semua jika musim PKP saat Ramadhan ini,namun kalam suci tak mampu kita sulam dan menghayatinya tetapi dijarah masa dengan menonton daripada satu rancangan ke rancangan hiburan yang lain. Tujuannya untuk membunuh masa, sedangkan masa adalah modal dunia kita paling berharga untuk dibawa ke negeri abadi. Alangkah singkatnya umur umat Muhammad, sehingga Allah anugerahkan Ramadhan kepada kita semua dengan semua amalam akan dilipatkali gandakan.

Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista. Lebih malang juga kali ini ,kita menghina orang miskin dan yang memerlukan bantuan. Kita menjadi sangat rapuh dalam menimbang baik dan buruk , bahkan menjadi kurang manusiawi. Berakar daripada kerancuan berfikir dalam beragama maka tak sedikit umat Islam menjadi liberal dan menjunjung nilai pragmatisme.
Penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dam akhlak tiada dalam neraca pemikiran

Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam. Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulamak telah mengggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai method dakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada "sensate culture", budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Masyarakat muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Entahlah, mungkin rasa bosan terkurung menjadikan kita kecanduan berhibur atau kita menyalahi catatan taqdir . kita semua , peserta -peserta universiti tarbiah Ramadhan sepatutnya insaf dengan membuncahnya aktiviti penagihan najis dadah dikalangan anak muda, gejala buta agama, kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda. Moga Ramadhan musim PKP ini merubah cara kita melihat sarwajagat, jadilah insan peduli ummah , ringan membantu orang lain, menyintai petunjuk Rabbani, berteleku memohon keampunan Tuhan dan bercermin diri. Entah ini Ramadhan terakhir buat kita teman-teman!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post