Apa peranan warga negara China yang hilang jika perang meletus?



Dato' Iskandar A Samad
29 April 2020

Konflik di antara Negara China dan Amerika Syarikat yang sedang memuncak di Laut China Selatan berupaya melarat menjadi peperangan yang meluas.

Menurut Al Jazeera, Tentera Laut Amerika telah mengesahkan pada 20 April lepas 2 kapal perang mereka, USS America dan USS Bunker Hill sedang beroperasi berhampiran dengan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan China.

Minggu lepas, kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8, telah dilihat berada berhampiran kapal milik Petronas, West Capella. Kejadian ini membuat Amerika menggesa China supaya tidak membuli di perairan yang dipertikaikan dan berhenti memprovokasi operasi mencari gali minyak dan gas.

Pada 20 April lepas, Vietnam telah memprotes kerana China telah mewujudkan 2 daerah pentadbiran di 2 buah pulau yang dipertikaikan iaitu Pulau Paracel dan Pulau Spratly. Pada tahun 1974, China dan Vietnam ( ketika itu Vietnam Selatan ) telah berperang untuk merebut Pulau Paracel. China telah berjaya menguasai pulau itu di dalam pertempuran yang mengorbankan 53 tentera Vietnam dan 18 tentera China.

Jabatan Negara Amerika ( US State Department ) telah mendakwa China mengambil kesempatan ketika dunia memberi tumpuan kepada usaha-usaha melawan pandemik Covid-19. Sementara China telah melaporkan angkatan tentera mereka telah berjaya menghalau kapal perang Amerika, USS Barry, dari perairan Pulau Paracel. Mereka mendakwa provokasi oleh Amerika ini mencabulkan kedaulatan mereka dan meningkatkan lagi risiko keselamatan di rantau ini.

Januari lepas pula China telah membidas Amerika kerana mendakwa satu provokasi telah berlaku apabila kapal perang USS Montgomery belayar melalui perairan Kepulauan Spratly.

Akibat perkembangan-perkembangan terkini, terdapat mereka yang meramalkan Perang Dunia Ketiga boleh bermula akibat konflik di Laut China Selatan.

China begitu agresif mahu menguasai lautan tersebut dengan menuntut kepulauan-kepulauan kecil dan perairan di sekitarnya yang kaya dengan minyak dan pelbagai hasil galian. Sementara Amerika, sebagai kuasa besar sudah tentu tidak mahu ketinggalan dan melihat tindakan China sebagai usaha untuk menjadi "Big Brother" di rantau ini.

Perang dagang di antara kedua-dua negara dan dakwaan pentadbiran Trump terhadap China berhubung pandemik Covid-19 boleh melarat menjadi konflik yang lebih besar. Hanya satu insiden seperti berlaku berbalas tembak di antara 2 kapal perang boleh mencetuskan satu konflik dan akhirnya peperangan.

Jika ini berlaku kemungkinan besar ia tidak akan terhad di lautan tetapi kemungkinan besar akan melarat ke daratan dan melibatkan negara-negara di Asia Tenggara. Kedua-dua negara sudah tentu mahu mewujudkan pengkalan-pengkalan di darat mereka.

Bagi Malaysia ini amat membimbangkan kerana sekurang-kurangnya 76,258 warga China yang telah masuk ke negara kita dan tidak ada rekod mereka meninggalkannya. Adakah kehilangan ini di atas sebab-sebab ekonomi, politik, peribadi atau terdapat sebab-sebab lain yang boleh mengancam keselamatan negara?

Sebelum Jepun menduduki Malaya pada Perang Dunia Kedua, ramai rakyat Jepun telah datang dan menetap di negara kita. Menurut Brian Bridges dalam "Britain and Japanese Espionage in Pre-War Malaya : The Shinozaki Case" ( 1986 ), pada permulaan abad ke 20 terdapat hanya 1,000 rakyat Jepun di Malaya tetapi pada awal tahun 30an bilangan ini telah meningkat kepada lebih 6,000 orang. Mereka menjadi nelayan, tukang gunting, tukang gambar dan membuka kedai runcit secara kecil-kecilan. Ian Morrison di dalam Malayan Postscript ( London, 1942 ) menulis di hampir setiap bandar atau kampung yang penting di seluruh Malaya akan terdapat satu atau dua kedai Jepun.

Setelah Jepun berjaya menduduki Malaya dalam tahun 1942 barulah disedari ada di antara mereka yang merupakan pegawai tentera Jepun atau pengintip yang ditugaskan untuk mengumpul maklumat untuk tentera Jepun.

Justeru itu kerajaan tidak boleh memandangkan ringan kehilangan warga negara China itu. Di zaman yang begitu canggih hari ini mana-mana negara tidak perlu menghantar rakyat mereka untuk melakukan kerja-kerja risikan kerana ia dapat dilakukan menggunakan peralatan jarak jauh seperti satelit. Walau bagaimanapun selagi kita gagal menjejaki mereka selagi itu keselamatan negara dihantui dengan pelbagai persoalan. Tambahan pula jika meletus peperangan.

Kita perlu belajar dari sejarah kerana sesiapa yang enggan belajar dari pengalaman lampau maka mereka akan terperangkap untuk kali kedua.

Sumber: https://www.facebook.com/iasamad/posts/3219328124752829
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post