NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nasib Pos Malaysia


oleh: Ab Jalil Baker

CADANGAN Presiden Donald Trump untuk membawa Amerika Syarikat (AS) keluar daripada Universal Postal Union (UPU) bakal memberi kesan kepada caj penghantaran antarabangsa pada masa akan datang.

Sebahagian kita mungkin berasa hairan dengan riuh-rendah kisah pos dan posmen ini. Sebahagian kita tampak seperti telah melupakan kehadiran dan kewujudan entiti perkhidmatan mel tradisional ini.

Perkembangan teknologi telefon dan internet telah mengubah cara komunikasi rakyat, daripada surat-menyurat kepada perbualan telefon, e-mel dan kemudiannya mesej dalam bentuk WhatsApp dan Telegram.

Walaupun penggunaan mel tradisional bukan lagi keutamaan namun ia masih mempunyai permintaan yang tinggi dan penting kepada sebahagian daripada kita terutama organisasi perniagaan, entiti kerajaan dan untuk penghantaran dokumen-dokumen yang masih belum memasuki dunia digital.

Sebahagian urusan pemakluman tidak dapat dilakukan melalui kaedah elektronik kerana keperluan rasmi dan kekangan teknologi. Perkhidmatan penghantaran bungkusan dan barangan masih memerlukan khidmat pos.

UPU ditubuhkan sekitar 144 tahun lalu bagi mewujudkan kawalan dan operasi standard perkhidmatan dan caj pos untuk mel tradisional dan bungkusan kecil merentasi sempadan antara 192 negara anggotanya.

UPU menentukan caj setem bagi penghantaran antara negara anggota. Penentuan ini bukan sahaja mengambil kira jarak tetapi juga faktor-faktor lain termasuk kekuatan ekonomi masyarakat.

Sejak beberapa dekad lalu AS tidak ‘gembira’ dengan sistem penentuan caj penghantaran antara negara yang tidak berubah sejak 1960-an.

Walaupun caj penghantaran meningkat, namun penentuannya menggunakan asas ekonomi 1960-an yang mensubsidi negara-negara membangun ketika itu.

Akibatnya negara-negara yang telah mencapai kemajuan luar biasa seperti China masih mendapat kadar subsidi seperti negara membangun.

Ini menimbulkan ketidakpuasan hati AS kerana kos penghantaran mel dan barangan dari China ke AS lebih murah berbanding sebaliknya. Malah dilaporkan ada penghantaran bungkusan antara negeri-negeri AS lebih mahal daripada penghantaran bungkusan China ke AS.

Dengan kata lain perkhidmatan pos AS mensubsidi penghantaran dokumen dan bungkusan dari China kepada pengguna di AS.

Pertikaian ini sedikit sebanyak akan menjejaskan kewangan Pos Malaysia Berhad dan mereka yang masih menggunakan perkhidmatan itu bagi menghantar dokumen dan barangan ke AS.

Jika AS keluar daripada UPU, setiap negara perlu merunding sendiri caj penghantaran ke AS dan pastinya kos akan meningkat.

Di Malaysia, pihak yang paling banyak terkesan mungkin peniaga online dan industri kecil dan sederhana yang bergantung kepada perkhidmatan Pos Malaysia.Kerugian

Namun polemik UPU bukanlah masalah terbesar Pos Malaysia. Pada tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2019, Pos Malaysia Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM141.13 juta. Ini berbeza daripada tahun kewangan sebelumnya yang mencatat keuntungan bersih RM29.03 juta.

Antara punca kerugian utama adalah kos pengurusan Pos Malaysia agak tinggi berbanding hasil yang diperoleh. Pos Malaysia berhadapan kejatuhan pengguna mel tradisional sebanyak 13 peratus namun kadar caj penghantaran domestik tidak pernah dinaikkan sejak 2010.

Walaupun jumlah pengguna berkurangan namun jumlah kawasan liputan Pos Malaysia makin bertambah setiap tahun berikutan pembukaan kawasan kediaman dan perniagaan baharu. Dalam lima tahun lepas terdapat peningkatan 17 peratus dalam alamat pos baharu, daripada 7.6 juta kepada 8.9 juta alamat untuk diberi perkhidmatan.

Ini semua merupakan tambahan bebanan kos pengurusan kepada Pos Malaysia. Pos Malaysia tidak dapat mengurangkan kos logistik kerana mereka mempunyai tanggungjawab memastikan kelancaran sistem penghantaran mel dan bungkusan di seluruh negara.

Pos Malaysia mempunyai sejarah panjang sejak awal tahun 1800-an apabila perkhidmatan pos pertama diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka, dan Singapura) dan seterusnya berkembang ke seluruh Tanah Melayu pada abad ke-20.

Jika kita tidak mahu perkhidmatan ini berkubur atau menjadi beban kewangan besar kepada kerajaan, maka sudah tiba masanya caj penghantaran surat dan bungkusan oleh Pos Malaysia dikaji semula supaya sesuai dengan tuntutan semasa.

*Ab Jalil Baker ialan Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo