NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengadili Polemik Adakah Politik Usul Atau Furu'.


oleh: Abdul Mu'izz Muhammad
4 Ogos 2019.

Bagi ahli gerakan Islam yang menggunakan silibus Usul 20 susunan Imam Hasan al-Banna, kita boleh melihat huraian topik berkaitan politik melalui Usul yang kelima.

Sehubungan itu, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengarang sebuah kitab yang berjudul al-Siyasah al-Syar'iyyah untuk membahaskan usul tersebut secara tuntas.

⚫ Status Politik.

Ketika memulakan perbahasan, Syeikh al-Qaradhawi terlebih dahulu mengupas berkenaan topik adakah Imamah adalah perkara usul atau furu'? Bermakna pertikaian yang menjadi polemik hari ini bukanlah asing.

Ternyata topik ini memunculkan 2 aliran:

• Ahli Sunnah berpandangan bahawa Imamah sebagai perkara furu'.

• Syiah Imamiyah pula menegaskan bahawa Imamah merupakan perkara usul agama.

Terlebih dahulu, kita perlu memahami apakah konteks perbahasan Imamah. Jika diterjemahkan maka ia mudah difahami sebagai kepimpinan. Lantas kepimpinan pula mudah dikaitkan terus dengan politik.

Sedangkan, topik Imamah lebih khusus dari topik politik pemerintahan yang selalu ditanggap oleh ramai orang. Hal ini kerana, topik Imamah lebih menjurus kepada perbahasan berkenaan siapa yang layak diberikan kuasa kepimpinan.

Maka tidak peliklah dalam hal ini Syiah Imamiyah menstatuskan Imamah sebagai perkara usul. Sememangnya aspirasi fahaman mereka memperjuangkan kelayakan memimpin perlu diserahkan kepada Ahli Bait.

Bahkan prinsip tersebut menghasilkan konsep kemaksuman untuk pemimpin. Jika kita memahami konteks tersebut, maka adalah wajar sama sekali bagi Ahli Sunnah meletakkan ia sebagai perkara furu', bukan usul.

⚫ Falasi.

Namun yang menjadi kekeliruan adalah apabila kita memborongkan topik tersebut sebagai tajuk besar politik. Lantas dengan premis tersebut, maka dikategorikanlah politik secara keseluruhannya hanya sebagai perkara furu'.

Kekeliruan inilah yang dijelaskan oleh Syeikh al-Qaradhawi berkenaan munculnya sikap meremehkan politik, atas alasan ianya hanyalah perkara furu'. Lantas beliau menegaskan sungguhpun ia dianggap furu', itu tidaklah bermakna kita boleh meremehkannya.

Hal ini kerana di dalam Islam, perkara furu' itu menghubungkan kita dengan perkara usul. Bukankah iman yang bersifat usul itu, perlu dibuktikan dengan amal perbuatan yang dikategorikan sebagai furu'?

Begitu juga halnya dengan politik. Bukankah politik yang dianggap sebagai furu' itu menghubungkan kita dengan usul perlaksanakan hukum Allah?

Maka meremehkan perkara furu', bukanlah sikap yang benar terhadap perkara usul. Justeru keduanya saling berkaitan antara satu sama lain.

⚫ Anologi al-Quran Berkenaan Helah Eskapisme.

Allah telah mengingatkan kita akan kisah sejarah golongan yang mengemukakan alasan-alasan berbentuk furu', sebagai eskapisme agar mereka boleh terlepas dari komitmen syariat yang bersifat usul.

Ł‚َŲ§Ł„ُŁˆŲ§ Ų§ŲÆْŲ¹ُ Ł„َŁ†َŲ§ Ų±َŲØَّŁƒَ ŁŠُŲØَŁŠِّŁ† Ł„َّŁ†َŲ§ Ł…َŲ§ Ł‡ِŁŠَ Ų„ِŁ†َّ Ų§Ł„ْŲØَŁ‚َŲ±َ ŲŖَŲ“َŲ§ŲØَŁ‡َ Ų¹َŁ„َŁŠْŁ†َŲ§ ŁˆَŲ„ِŁ†َّŲ§ Ų„ِŁ† Ų“َŲ§Ų”َ Ų§Ł„Ł„َّŁ‡ُ Ł„َŁ…ُŁ‡ْŲŖَŲÆُŁˆŁ†َ

"Mereka berkata: "Mohonlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menjelaskan lagi kepada kami. Bagaimana hakikatnya lembu betina itu? Kerana sesungguhnya lembu itu masih samar bagi kami. Dan sesungguhnya kami insyaAllah akan mendapat petunjuk" - al-Baqarah 70.

Nabi Musa menyampaikan perintah Allah kepada Bani Israel supaya mereka menyembelih lembu betina. Allah merakamkan alasan demi alasan mereka.

Jika diamati, alasan-alasan mereka tidaklah sampai mempertikai perkara usul. Tidaklah sampai mereka mengingkari taklifan syariat menyembelih lembu.

Tetapi mesej melalui kisah ini, Allah mendedahkan sikap Bani Israel yang cuba bermain helah dengan mengemukakan alasan-alasan yang dianggap sebagai furu'. Walhal hakikatnya motif mereka bertujuan sebagai eskapisme dari melaksanakan perintah Allah yang bersifat usul.

⚫ Motif Sekularisme.

Apa yang membimbangkan adalah dari polemik ini akan membawa umat supaya akhirnya terjebak menyetujui aspirasi sekularisme. Doktrin tersebut sememangnya sejak dari dahulu berusaha cuba memisahkan Islam dari urusan politik kenegaraan.

Antara jalan untuk mewajarkan fahaman sedemikian, maka dilontarkan kesimpulan simplistik bahawa politik hanyalah sebagai perkara furu'. Apabila ia diterima, lantas jalan untuk menghakis komitmen & pantauan agama terhadap politik menjadi semakin mudah.

Sehubungan dengan itu Syeikh al-Qaradhawi menegaskan bahawa konflik pemikiran seperti ini perlu disanggah. Ia membawa kepada tuduhan yang keseterusnya, iaitu berkaitan dengan pertikaian Hakimiyah Ilahiyah.

⚫ Stigma Hakimiyah.

Topik Hakimiyah Allah kerap menjadi sasaran. Ia dibingkaikan sebagai justifikasi kepada dakwaan kononnya gerakan Islam membawa doktirn ekstrimis lagi takfiri.

Maka disebabkan itu, golongan yang bersungguh membawa naratif bahawa politik adalah furu', kerap kali mengulang-ulang falasi mereka. Mereka menyuarakan kebimbangan kononnya akan menularnya amalan takfiri kerana disebabkan berpegang dengan fahaman Hakimiyah.

Maka terlebih dahulu kita perlu faham, apakah itu Hakimiyah? Secara ringkas, ia adalah istilah yang merujuk kepada kefahaman & pegangan bahawa yang hanya layak menetapkan syariat untuk manusia, adalah Allah.

Justeru jika itu pengertiannya, di manakah unsur bahayanya? Melainkan ia secara terus terang menyanggahi doktrin sekularisme yang cuba memberi hak kepada manusia untuk bebas mencorak aturan hidupnya sendiri.

Lantas tersingkaplah di sebalik stigma Hakimiyah. Hakikatnya yang benar-benar terancam adalah survival pemikiran sekularisme. Syeikh al-Qaradhawi menjelaskan kekeliruan, ramai yang menganggap kononnya konsep Hakimiyah merupakan pegangan baharu yang diada-adakan oleh Said Qutb & Maududi.

Sedangkan jika diamati dalam muqaddimah perbahasan Usul Feqh, terlebih dahulu kita akan melalui sebuah perbahasan siapakah al-Hakim yang berautoriti menetapkan syariat? Ia sebagai penegasan ke arah beriman bahawa Allah sebagai al-Hakim.

Bahkan meletakkan Allah sebagai satu-satunya yang berautoriti menetapkan syariat, merupakan kesepakatan antara Ahli Sunnah & Mu'tazilah. Ini sebagai satu perbandingan, bahawa Mu'tazilah yang dianggap menyeleweng itu pun bersetuju dengan apa yang digagaskan melalui Hakimiyah.

⚫ Naratif Barat.

Justeru persepsi yang prejudis terhadap Hakimiyah, merupakan reaksi-reaksi dari fahaman sekularisme. Sehubungan dengan itu, tidak pelik jika badan-badan pemikir Barat kerap kali mengkaitkan gerakan pengganas dengan konsep Hakimiyah.

Mereka mengkambing-hitamkan nama-nama seumpama Said Qutb & Maududi sebagai legitimasi terhadap tuduhan-tuduhan liar mereka ke atas gerakan Islam. Ironinya, tokoh yang dikatakan takfiri itu, dikafirkan pula mengikut naratif propaganda Barat.

Dakwaan mereka kononnya umat Islam jadi radikal disebabkan fahaman Hakimiyah. Malangnya persepsi keji tersebut disambut & disambung oleh umat Islam untuk menaruh sangka buruk sesama muslim yang mahu menegakkan agama mereka sendiri.

Justeru yang perlu dipersoalkan, mengapa umat Islam perlu mengikuti pembingkaian propaganda Barat untuk menyah-kreditkan gerakan Islam? Bukankah secara prinsip, kita disuruh berpadu tenaga merealisasikan syariat Islam?

⚫ Islamis Takfiri?

Antara dakwaan yang klasik dikenakan ke atas gerakan Islam, kononnya mengamalkan sikap suka mengkafirkan golongan yang tidak sehaluan. Kritikan-kritikan di serata dunia ke atas gerakan Islam itu nampaknya seragam.

Awalnya cuba diremehkan komitmen berpolitik berpandukan syariat. Kemudian dituduh kononnya fahaman Hakimiyah menyebabkan gerakan Islam berpotensi menjadi radikal. Akhir sekali gerakan Islam disesatkan kerana didakwa gemar mengkafirkan sesama muslim.

Dakwaan-dakwaan fitnah sedemikian sama sekali bercanggah dengan silibus yang didokumenkan di dalam Usul 20. Kita boleh memeriksa usul yang terakhir, diperjelaskan tegahan mengkafirkan sesama muslim. Bermaksud, gerakan Islam sendiri secara serius telah mensilibuskan peringatan betapa amalan takfiri adalah dilarang.

Adapun perilaku segelintir yang jahil, tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk memborong tanggapan bagi sebuah gagasan secara keseluruhannya. Kita pun pernah menyaksikan sekularis tegar yang berterus terang mengkafirkan pejuang Islam secara spesifik & ia diwartakan oleh media. Namun kita mengira sikap tersebut didorong dari kejahilan yang menebal.

⚫ Cabaran Mendatang.

Kini adalah zaman pertarungan idea & hujah. Di setiap slogan, masyarakat akan bertanya huraiannya secara terperinci. Pada masa yang sama, kempen Islamofobia direncanakan dalam segenap segmen. Samada secara telanjang atau secara halus.

Adalah perlu bagi ahli gerakan Islam membudayakan ilmu, serta meneliti kritikan-kritikan pihak yang berbeza dengan kita & cuba mencari hujah melalui perbahasan yang sihat. Semoga kita beroleh saham dalam usaha mencerahkan umat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo