NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kita perlukan lebih ramai SHIRO !!!



Oleh: Asmak Husin
Ahli Dewan Negara

Saya ingin mengucapkan tahniah buat kumpulan Shiro yang komited mengangkat isu sosial masyarakat secara kreatif dalam rancangan Maharaja Lawak Mega.

Sudah lama saya memerhatikan persembahan dan falsafah yang digarap oleh mereka. Walaupun cara mereka mungkin tidak memastikan mereka menjadi johan tetapi yang penting konsistensi mesej yang dibawa jelas dan sarat dengan falsafah Islam dan Malaysia yang matang. Seringkali di Malaysia penggiat seni memasukkan mesej secara nipis dan menjadikan ia sebagai kulit yang menyimpulkan persembahan tetapi yang menonjol pastinya hiburan yang tiada makna yang membina.

Kita perlukan lebih ramai Shiro yang bijak menggunakan pentas hiburan yang biasanya dianggap melalaikan dan menghidangkan makna mendalam tetapi jelas difahami dan mudah dihadam. Tidak perlu membataskan persembahan dengan pakaian, ayat dan penampilan pentas tertentu untuk menjadi pendakwah berimpak.

Jadilah diri sendiri iaitu pelawak yang membesar bersama kematangan umur, pengalaman dan cita-cita. Menjadi pelawak otai bukan secara sengaja tetapi ditentukan Allah penuh dengan hikmah dan tuntutan tugas kekhalifahan. Andai Shiro diberi pendedahan yang lebih meluas tentang falsafah dan dasar di Malaysia sebagaimana saya pernah bangkitkan da am dewan negara sebelum ini kepada menteri komunikasi dan multimedia, sudah pasti rakyat lebih mudah menghadam dan mengikut.

Kita perlukan lebih ramai Shiro tatkala sodomi mula dijadikan bahan lawak secara terbuka di pentas hiburan ternama. Saya sangat terkejut, mungkin sebelum ini saya kurang masa untuk memperhatikan suasana hiburan semasa, apabila pengacara AC Mizal pengacara otai duduk atas seorang penonton lelaki sambil membuat pengumuman dan membayangkan elemen sodomi secara lelucon. Malah aksi tersebut disambut dengan gelaktawa dan sudah pasti anak2 juga mula memahami elemen tersebut. Kebetulan sebelum ini pada 2018, ketika menghadiri mesyuarat di Indonesia, saya juga melihat trend peningkatan kes jenayah liwat terhadap kanak2 lelaki di Jakarta dalam salah satu pembentangan. Apakah kes seperti ini bermula dengan tontonan yang dinormalisasikan melalui media yang diakses terbuka oleh semua masyarakat sebagaimana hari ini masyarakat sudah boleh menerima aksi berpelukan dan eleman erotis terbuka dalam drama popular, malah mempertahankannya atas nama profesional dan lakonan sahaja.

Kita perlukan lebih ramai Shiro yang tekun mendidik masyarakat dengan pendekatan dan bahan yang bermanfaat pada saat ramai penghibur dan penggiat seni kehilangan arah kerana tuntutan komersial demi kelangsungan hidup dan karya. Bukan bermakna Shiro tidak ada kelemahan dan kecacatan dalam perjalanan seni tetapi sekurang2nya mereka antara yang mula mengorak langkah ke fasa yang lebih bermakna iaitu bertanggungjawab dan berdakwah dalam setiap persembahan.

Demi masa depan yang lebih baik buat rakyat Malaysia, kita perlukan Shiro untuk mendidik pelapis agar dapat melahirkan ramai Shiro yang lebih baik pada masa depan, yang bersedia menyuntik masyarakat dengan nilai dan falsafah Islam dan Malaysia yang ilmiah secara kreatif dan berimpak.

Saya berharap semoga satu hari dapat berjumpa dengan SHIRO secara berdepan sekiranya mereka sudi bertukar-tukar fikiran dengan pendakwah yang dangkal seperti saya. Teruskan SHIRO demi Malaysia yang lebih berjaya

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo