KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberi penjelasan kepada rakyat mengenai jumlah keuntungan yang dikutip selama enam minggu oleh kerajaan mengenakan cukai hasil jualan petrol.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata Kementerian Kewangan atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta memberi perbezaan harga sejak 8 November lalu sehingga sekarang sementara menunggu pengumuman harga runcit baharu petrol pada 1 Januari 2019.
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia baharu sebab (selain pemansuhan GST), menunaikan salah satu janji besar pilihan raya iaitu menstabilkan harga minyak. Seperti yang kita maklum, harga RON95 kekal pada harga RM2.20 seliter dari Mei sehingga akhir tahun ini.
“Syukur dapat kerajaan yang mengutamakan rakyat. Ini mestilah sebab kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyediakan subsidi yang besar untuk memastikan harga minyak tidak naik, bukan seperti zaman Barisan Nasional (BN)!.
“Tetapi, betul juga cakap ‘lunch buddy’ (rakan makan tengah hari) saya, Saudara Rafizi Ramli, bukan ke harga minyak dunia sudah turun? Beliau ada buat kiraan sendiri. Saya pun cuba buat kiraan mengikut harga mingguan bagi mengesahkan kiraan Rafizi.
Rupa-rupanya, sudah enam minggu kerajaan PH mengenakan cukai ke atas jualan petrol,” katanya menerusi entri di laman Facebook miliknya, hari ini.
Khairy berkata, sudah enam minggu rakyat membayar lebih daripada harga pasaran. Bukan setakat tidak dapat subsidi, enam minggu rakyat bayar ‘cukai’ kepada Kerajaan setiap kali isi minyak.
Tetapi rakyat tidak boleh mengomel sebab ingat, janji pilihan raya bukan turunkan harga minyak tapi menstabilkan harga minyak. Jadi, walaupun harga minyak di pasaran dunia sudah turun, kerajaan tidak berbuat demikian kerana janji yang dilakukan.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu, kerajaan PH memutuskan untuk mengembalikan penentuan harga runcit petrol bermula 1 Januari 2019 mengikut sistem Automatic Pricing Mechanism (APM) berdasarkan apungan harga semasa seperti yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini.
“Saya pernah menulis mengenai mekanisme penentuan APM bagi harga petrol sebelum ini yang mana penentuan adalah menerusi indeks Mean of Platts Singapore (MOPS). “Boleh rujuk pautan di bawah untuk penulisan saya sebelum ini: https://www.facebook.com/Khairykj/posts/997572466926021. Ramai akan bertanya kenapa perlu rujuk Singapura?
“Realitinya, indeks MOPS adalah standard yang digunakan oleh banyak negara ASEAN dalam penentuan harga jualan petrol di negara masing-masing, malah Australia juga menggunakan rujukan ini,” katanya.
Walaupun kerajaan belum menjelaskan sama ada penentuan harga jualan petrol akan dilaksanakan secara bulanan atau mingguan, Khairy berkata beliau merasakan mekanisme penentuan secara mingguan adalah lebih baik dan telus berikutan turun naik harga minyak dunia yang tidak menentu sepanjang masa.
“Saudara Rafizi juga bersetuju dengan kaedah mingguan ini. Berbalik kepada isu asal, harga terkini RON95 mengikut APM bagi setiap liter adalah lebih rendah daripada harga jualan yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.20.
“Kadar harga di bawah RM2.20 ini juga bukan baharu berlaku, sebaliknya sudah berlarutan sejak 8 November, lebih daripada sebulan dan selama itu kerajaan sudah mengutip keuntungan atau mengenakan cukai ke atas setiap liter jualan petrol. Boleh rujuk harga MOPS RON95 di sini: https://www.cmegroup.com/trading/energy/refined-products/singapore-mogas….
“Jika disemak, harga jualan petrol RON95 bagi minggu ini adalah sekitar RM1.94 manakala bagi tempoh lima minggu sebelum ini, harga jualan RON95 sepatutnya adalah antara RM1.95 sehingga RM2.18 saja,” katanya.
Namun, tambah beliau, kerajaan masih tetap membuat keputusan untuk mengekalkan harga jualan RON95 pada kadar RM2.20 walaupun berlaku penurunan harga yang agak ketara bagi tempoh terbabit. – BH ONLINE
No comments
Post a Comment