Oleh:Hj. Zainal Zainuddin,
Felo Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)
Gambar: Zahariz
Gambar: Zahariz
Hidup di akhir zaman memang begitu hebat cabarannya sebagaimana yang telah digambarkan oleh hadith Nabi SAW bahawa manusia nanti, diibarat bagi buih-buih terapung di lautan yang begitu luas. Kita juga dapati, daripada sejumlah 1.6 bilion warga dunia menjadi Muslim dan mengaku Keesaan Allah SWT, namun pada hakikatnya ramai juga yang tidak sanggup hidup berpegang (ta‘alluq) kepada al-Quran dan hadith dalam konteks huraian yang diberikan oleh sumber-sumber sahih Islam sebagaimana yang telah dihuraikan oleh ulamak muktabar dalam kitab-kitab muktabar mereka.
Para ulamak juga telah menampilkan konsep “cintakan Allah” dan “cintakan Rasul” sebagai di antara elemen terpenting untuk insan mengenali Allah dan Rasul-Nya selaku Ilah dan Rabbnya. Malah dalam pengajian tasawwuf kita diajarkan mencintai Allah dan Rasul sebagai antara darjat maqam tertinggi dalam perjalanan insan untuk mengenali dirinya dan Allah SWT.
Di dalam Islam juga, kita telah diajarkan untuk (a) mematuhi ajaran Allah dan (b) menjauhi larangan-Nya. Itulah perkara-perkara paling asas dan dasar dalam ajaran Fiqh Islami, yakni amru bi’l-ma‘ruf, wa nahyu ‘anil-munkar ( Ų§Ł
Ų± ŲØŲ§ŁŁ
Ų¹Ų±ŁŁ Ł ŁŁŁ Ų¹Ł Ų§ŁŁ
ŁŁŲ± ) – menyuruh kepada kebaikan dan menjauhi daripada perkara-perkara dilarang. Fiqh Islam menuntut kedua-dua elemen itu berjalan serentak tanpa terpisah. Memisahkannya akan menjebakkan kita ke lorong maksiat dan semakin jauhlah kita daripada Allah SWT (Said Hawwa, Batas-Batas Iman dan Kufur, 1982).
Dalam sebuah syarahan pengukuhan perjawatan profesor, Syed Muhammad Naquib al-Attas, pernah mengisahkan:
“Telah sampai cerita bahawa pada suatu hari, Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun. Apabila tiba Laila di hadapannya Baginda bertanya: ‘Wahai Laila, kau yang kecantikanmu masyhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi! – aku ingin menatap wajah Majnun , ingin tahu sifat rupa yang kaucintai dengan teguh dan jujur itu.’ Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun, bahawa kekasihnya itu telah hilang tiada yang tahu ke mana. Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa ke hadapannya. Pesuruh mencari di kota, di kampung, di dusun hingga akhirnya di perpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Di situ beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara di padang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang yang sudah gila. Orang itu dibawa ke hadapan Baginda Sultan yang, sambil terkejut heran memandang rupa menyangkal sangkaan berkata: ‘Inikah Majnun? Inikah rupa yang kaucintai: yang hitam legam kurus kering ini, yang kotor hodoh – wahai Laila, inikah Majnunmu!’ ‘Tuanku’, sahut Laila, ‘Tuanku harus memandang dia dengan pandangan mataku’. Sebagaimana Laila cintakan Majnun, teguh dan jujur laksana Bintang Utara’.” (Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Penerbit UKM, ms. 60-61)
Demikianlah erti sebuah perspektif yang benar yang ditinjau daripada cinta luhur seorang Laila. Namun nilai sebuah cinta manusia itu juga dikatakan buta dan hanya boleh melarutkan minda manusia jika tidak didasarkan kepada ilmu yang betul.
Perspektif cintakan Allah melebihi cintakan manusia itu juga diperlihatkan di dalam al-Qur’an berkaitan erti sebenar sebuah ‘korban’ yang diinginkan Allah ke atas manusia sebagai tanda patuh kepada-Nya. Ini dapat kita saksikan menerusi kata-kata Nabi Ismail AS kepada ayahandanya Nabi Ibrahim AS supaya meneruskan mimpi ayahanda di mana Allah SWT telah memerintahkan supaya Nabi Ismail dikorbankan. Atas Sifat Rahmat Allah SWT yang sedemikian rupa, telah difirmankan Allah kepada Nabi Allah Ibrahim AS supaya menggantikan korban seorang insan bernama Ismail dengan seekor binatang sebagai menyempurnakan Titah Korban Allah ke atas makhluk dan bukti cinta tulus tertinggi makhluk kepada Khaliqnya.
Betapa episod cinta berasaskan iman, ukhuwwah (persaudaraan) dan mahabbah (kasih sayang) ini juga terakam dalam sebuah hadith bagaimana apabila sudah berada di syurga seorang sahabat teringat akan seorang sahabatnya yang lain lalu bertanya kepada Malaikat:
“Apabila penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga, lalu mereka tidak menemukan sahabat-sahabat mereka yang selalu bersama mereka dahulu sewaktu di dunia. Mereka pun bertanya tentang sahabat mereka kepada Allah: "Ya Rabb. Kami tidak melihat sahabat-sahabat kami yang sewaktu di dunia solat bersama kami, puasa bersama kami dan berjuang bersama kami." Maka Allah berfirman: "Pergilah kamu ke neraka, lalu keluarkanlah sahabat-sahabat mu yang di hatinya ada iman walaupun hanya sebesar zarah." (Hadis riwayat Imam Ibnul Mubarak dalam kitab "Az-Zuhd").
Imam Al-Hasan Al-Basri berkata: “Perbanyaklah sahabat-sahabat mukminmu, kerana mereka memiliki syafa'at pada hari kiamat nanti.” Imam Ibnul Jauzi pernah berpesan kepada sahabat-sahabatnya sambil menangis: “Jika kalian tidak menemukanku nanti di syurga bersama kalian, maka tolonglah bertanya kepada Allah tentang aku: ‘Wahai Rabb Kami. Hamba-Mu si fulan, sewaktu di dunia selalu mengingatkan kami tentang Engkau. Maka masukkanlah dia bersama kami di syurga-Mu’.”
Semakin hari, semakin kuat cabaran ke atas umat Islam. Kini sudahpun wujud precedent dalam Dunia Melayu-Islam itu sendiri, individu yang berani mentafsirkan al-Qur’an dengan akal logik dan rasional semata-mata, menolak hadith sebagai sumber hukum perundangan Syariah. Mereka sebenarnya tertipu dengan pemikiran liberalisme, sekularisme dan pluralisme Barat yang menganggap Islam sebagai musuh utama dunia selaras dengan peringatan Allah SWT dalam al-Qur’an. Sebahagian sarjana seperti Prof. al-Attas (Islam and Secularism,1978) berpandangan bahawa mereka sebenarnya kehilangan adab Islam dan tidak memahami tasawwur atau wordview Islam dalam perspektifnya yang benar dan tepat.
Alhamdulillah ‘arus kebangkitan Islam’ lewat tahun 70-an telah membadai Dunia Islam dan Malaysia turut menerima kesan positifnya. Kini perkataan Islamik seperti “da’i” menggantikan “pendakwah”, “solat” lebih kerap digunakan berbanding “sembahyang” dan jumlah wanita yang ‘menutup rambut’ dan aurat semakin meningkat. Alhamdulillah, syukur kepada-Mu Ya Allah.
Satu hal yang berlaku juga ialah, di samping mereka cukup rajin melakukan ibadah solat dan berpuasa, namun masih ramai juga yang gagal mengawal diri, tidak memelihara akhlak Islamiyyah malah terus melakukan “dosa-dosa lain” dalam amalan seharian. Dua sifat dichotomy ini seolah-olah berlaku serentak. Menjaga solat berjemaah dan membuat amalan solat sunnah memang sifat terpuji yang amat dituntut; namun pelaku yang sama keluar dating berpacaran tanpa ikatan perkahwinan yang sah, menghisap vape, rokok dan dadah dan tidak menjaga mulut serta kuat berbohong.
Dichotomy ini juga termasuklah mereka yang dikatakan berfahaman “sederhana” dan ‘liberal’ (dalam erti dan konteks tafsiran epistemologi istilah ‘liberal’ yang tepat) dan menilai Islam atas pertimbangan dan neraca liberalisme, di antara lainnya dengan berkata “kesalahan syariah yang dilakukan oleh umat Islam adalah dosa bersifat peribadi” dan “amalan menutup rambut dan aurat bagi wanita bukanlah bersumberkan hukum daripada Allah SWT” dan seumpamanya.
Lebih daripada itu, ada liberalis tegar yang dengan bangganya mengatakan “masyarakat hatta negara sekalipun tidak berhak menghukum ‘kesalahan’ Syariah yang dilakukan oleh individu kerana itu adalah ‘hak Allah’ semata-mata”. Sehubungan itu, mereka berpandangan segala undang-undang negara berkaitan hukuman atas “kesalahan syariah” mesti dibatalkan.
Atas premis itulah “golongan liberal” seperti ini, yang walaupun tetap di hati mereka mengakui beragama Islam sebagaimana yang mereka fahami itu, menolak pengistitusian elemen agama dalam perundangan negara. Secara mudah, seolah-olah mereka ingin berkata, dalam konteks Malaysia: pisahkan elemen agama, terutamanya Agama Islam, daripada sebarang peruntukan undang-undang negara bermula dengan menghapuskan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutan, sebagaimana silapnya orang-orang terdahulu memaktubkannya menjelang Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Dengan kata lain mereka seolah-olah berkata: “sepatutnya, kekalkan keadaan Malaysia sebagai sebuah negara sekular”!
Jika inilah kefahaman mereka dan jika itulah tuntutan manusia Melayu-Islam pada masa kini, maka ada benarnya kerisauan yang dibangkitkan oleh KDYMM Raja-Raja Melayu khususnya berkaitan keserabutan pemikiran Melayu-Muslim terkini. Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Negeri dan Yang DiPertuan Agong selaku Ketua Agama Islam Persekutuan memikul amanah yang sangat berat “menjaga Islam pada setiap masa.” (Lafaz Sumpah Jawatan YDP Agong dalam Perkara 37, Perlembagaan Persekutuan).
Melayu-Muslim kini seakan terkeliru dengan amalan agama yang mereka anuti malah semakin dikelirukan oleh kalangan tertentu. Jika benar tanggapan ini, na’uzubillahi min zalik, kita berada di persimpangan yang amat berbahaya, sebagaimana yang pernah dapat dibayangkan oleh bekas ilmuwan Yahudi (bernama Leopold Weiss) yang telah menemui Islam dan menjadi pemikir Islam bernama Muhammad Asad (Islam at the Crossroads, 1934) lebih lapan puluh tahun yang lalu.
Tiada jalan keluar kecuali kita kembali ke akar jati diri seorang Muslim sejati dengan mencintai Islam menerusi hakikat keindahan dan kebenaran Islam itu sendirinya. Dengan sedemikian itulah kita boleh kembali menikmati betapa kuatnya hakikat sebuah cinta luhur lagi suci kerana Allah, demi mengisi sebuah kebenaran.
Carilah dan kejarilah cinta itu ke arah mendekatkan diri kepada Ilahi Rabbi. Kata orang: Tak kenal pastinya tak cinta. Kenalilah Allah, pastinya cinta kukuh lagi kekal abadi itu akan terjelma. Yang demikian itulah hakikat cinta sejati yang mampu menautkan hati insan dengan Khaliqnya yang dicarinya selama ini sebagai bekalan hari ini sementara meniti hari menjelang esoknya sehinggalah saat insan dipanggil Ilahi.