NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Terima kasih atas penghormatan ini, YB'



KUALA LUMPUR: Wakil keluarga Rosli Abdul Aziz, guru yang maut selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah baru-baru ini, menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, kerana menziarahi keluarga Allahyarham baru-baru ini.

Adik ipar Allahyarham, Dr Mohd Azhar Abdullah, berkata mereka sekeluarga tersentuh dengan kehadiran Radzi menziarahi keluarga dan menunggu hingga pengebumian jenazah.

"Bagi kami, tindakan YB (Radzi) menziarahi balu arwah di bilik mayat pada jam 11 malam, kemudian hadir solat Subuh dan solat jenazah di masjid, mengiringi jenazah ke kubur, bertahlil, berdoa dan meletakkan pokok bunga di pusara Allahyarham, sangat menyentuh perasaan seluruh keluarga.

Dr Radzi turut membantu mengangkat jenazah Allahyarham Rosli selepas solat jenazah di Masjid Besar Tanah Merah, kelmarin. - Foto Twitter
Dr Radzi turut membantu mengangkat jenazah Allahyarham Rosli selepas solat jenazah di Masjid Besar Tanah Merah, kelmarin. - Foto Twitter
"Kami anggap itu satu 'penghormatan negara' terhadap jasa Allahyarham dalam pendidikan negara, sekali gus mengangkat darjatnya sebagai 'ketua keluarga' kami sebelum ini," katanya menerusi surat yang dikirim kepada Radzi dan salinannya diperoleh BERNAMA, hari ini.

Mohd Azhar dalam surat bertarikh 16 Julai itu berkata, keluarganya percaya pendidik di negara ini bangga atas teladan yang dipaparkan Menteri Pendidikan itu dan lebih bersemangat untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

"Kami doakan YB Dr (Radzi) terus berkhidmat dengan cemerlang dan YB Dr (Radzi) jadikan seluruh pendidik di negara ini menjadi satu keluarga pendidik yang berganding bahu dan saling menyayangi," katanya.


Pada 14 Julai lalu, Rosli, 54, maut selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan ketika sedang memeriksa sistem paip dan sinki sebagai persiapan untuk menerima kemasukan pelajar.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa tergelincir ketika memijak kerusi plastik lalu terjatuh dari balkoni dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala. - BERNAMA

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/711988/terima-kasih-atas-penghormatan-ini-yb

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo