Pelajar tingkatan 4, 6 asrama penuh kembali bersekolah pada 15 Julai - KPM


KUALA LUMPUR: Pelajar tingkatan empat dan enam semester satu tahun 2020 di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), akan meneruskan sesi persekolahan pada 15 Julai ini.

KPM berkata keutamaan diberikan kepada kumpulan pelajar itu dalam usaha memastikan mereka mempunyai masa mencukupi untuk persediaan menduduki peperiksaan awam tahun depan.

Manakala, bagi pelajar tingkatan satu, dua dan tiga di sekolah berasrama akan memulakan sesi persekolahan mereka pada 3 Ogos depan, tambah KPM.

“Murid tingkatan satu hingga tingkatan tiga akan meneruskan pembelajaran yang berasaskan home-based learning sehingga mereka kembali semula ke sekolah pada 3 Ogos 2020.

“Keputusan ini terpakai kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM),” demikian menurut KPM dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, KPM memaklumkan pelajar-pelajar berkenaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 31 Julai ini.

“Dengan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard sedia ada, KPM tiada halangan membenarkan murid pulang ke rumah untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.

“KPM sentiasa mengambil kira pandangan dan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan semua murid sekolah berasrama dapat mengikuti pembelajaran di sekolah dalam keadaan yang selamat,” ujar kementerian itu lagi.

Sehubungan itu, KPM memohon supaya ibu bapa, guru serta murid dapat memberi kerjasama bagi memastikan pembukaan semula sekolah, khususnya sekolah berasrama, berjalan dengan lancar.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pelajar-tingkatan-4-6-asrama-penuh-kembali-bersekolah-pada-15-julai-kpm-250479

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post