NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Syarikat dibenarkan boleh beroperasi sepenuhnya - MITI

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi kebenaran beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan.

Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada kewajipan mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap bagi sektor masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, inisiatif itu akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

"Kebenaran ini berkuatkuasa mulai esok. Syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan dikenakan tindakan undang-undang.

"Ini tentunya akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan 'kebiasaan baharu' dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan," katanya.

Beliau berkata, penularan wabak COVID-19 memberi kesan kepada kesihatan rakyat dan juga ekonomi negara, sekali gus menyaksikan kerajaan mengambil langkah proaktif khususnya pelaksanaan PKP bagi membendung penularan wabak itu.

Katanya, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memulihkan ekonomi termasuk melindungi mata pencarian rakyat, di mana usaha itu adalah untuk membina semula ekonomi yang mampan, berdaya saing, mengembalikan keyakinan pelabur serta menjamin pekerjaan.

"Usaha memerangi COVID-19 belum berjaya sepenuhnya tetapi kita telah dapat melandaikan keluk (curve) ke tahap yang terkawal. Namun, kita tidak seharusnya alpa dan akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat," katanya.

Mohamed Azmin berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bersidang membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Mesyuarat meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional, selain disertai Kementerian Kesihatan (KKM) yang diwakili oleh Menteri Kesihatan serta Ketua Pengarah Kesihatan yang membentangkan pandangan dan maklum balas di atas perkara yang dibincangkan.

"Perbincangan semalam tertumpu kepada keperluan untuk memulakan semula (restarting and reviving) rantaian bekalan ekonomi secara menyeluruh yang dapat membantu perniagaan untuk meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang efisyen kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata, keputusan mesyuarat EAC dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang pada pagi tadi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta turut dihadiri oleh semua Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/04/682771/syarikat-dibenarkan-boleh-beroperasi-sepenuhnya-miti

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo