Palestin rayu keperluan perubatan perangi COVID-19




GAZA, 19 Syaaban 1441H, Isnin – Kementerian Kesihatan memberi amaran keadaan penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza kritikal kerana makmal perubatan utama kekurangan bekalan perubatan yang penting di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Dalam sidang media, jurucakap kementerian, Dr Ashraf al-Qudra meminta semua pihak, penderma dan organisasi untuk membantu wilayah yang dikepung Israel, untuk mengatasi penularan dengan menghantar keperluan perubatan dan makmal serta alat pernafasan dan katil kegunaan unit rawatan rapi (ICU).

Gesaan itu dibuat hanya dua hari selepas beliau mengumumkan bahawa makmal utama di Gaza telah kehabisan persediaan yang diperlukan untuk memproses ujian COVID-19, memberi amaran bahawa ketiadaan bekalan adalah cabaran baru kepada kementerian dalam usaha untuk memerangi COVID-19, yang berleluasa di seluruh dunia.

Beliau menegaskan, keadaan yang buruk akan menangguhkan prosedur yang diperlukan untuk mengakhiri pengasingan ratusan orang yang dikuarantin selepas memberikan sampel untuk ujian.

Terdahulu, Qudra turut menyeru masyarakat antarabangsa dan organisasi bantuan untuk menyediakan keperluan perubatan dan makmal penting, termasuk 100 alat pernafasan dan 140 katil ICU, khususnya di kawasan terkurung.

Penyakit COVID-19 telah menular di 210 negara dan wilayah di seluruh dunia. Ia telah menjangkiti lebih daripada 1,795,180 orang dan membunuh lebih daripada 109,950 orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik global.

Angka rasmi kementerian kesihatan Palestin menunjukkan, 268 orang telah disahkan positif COVID-19 dan dua meninggal dunia di Tebing Barat yang dijajah dan Semenanjung Gaza yang dikepung.

Dalam perkembangan lain, Qudra mengatakan bahawa Kementerian Kesihatan minggu lalu meluluskan pembebasan 1,381 orang dari pusat kuarantin di Gaza, termasuk beberapa pekerja kesihatan dan anggota keselamatan.

Majoriti penduduk Gaza tinggal di kem pelarian berpenduduk padat, di mana penjarakan sosial hampir tidak dapat dilakukan dan penularan COVID-19 mudah berlaku jika langkah keselamatan yang diperlukan tidak segera diambil. – Agensi

Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/04/13/palestin-rayu-keperluan-perubatan-perangi-covid-19/

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post