Peguam Muslim Malaysia: Kenyataan Akhbar Terhadap Penarikan Diri Peguam Didalam Proses Inkues Adib


KENYATAAN AKHBAR
PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA
BERTARIKH 28 MEI 2019


1. Negara semalam dikejutkan dengan penarikan diri seorang Peguam yang mewakili Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Syazlin Mansor di dalam prosiding inkues Allahyarham Mohd Adib Kasim setelah 36 hari prosiding berlangsung dan berbaki dua hari lagi.

2. Dilaporkan penarikan balik tersebut dibuat kerana pihak kerajaan telahpun diwakili oleh Jabatan Peguam Negara yang menjadikan Syazlin sebagai peguam swasta bersifat kelewahan (redundant). Terdapat juga pelbagai perkara lain yang ditularkan mengundang kegelisahan awam tetapi tidak dapat disahkan.

3. Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) musykil sekiranya benar alasan yang dilaporkan kenapa hanya setelah 36 hari prosiding berlangsung barulah tindakan ini diambil. Prosiding tersebut pula hanya berbaki dua hari sahaja lagi. Daripada catatan prosiding inkues ini adalah amat jelas saksi-saksi dikemukakan KPKT keterangannya sangat berbeza dari keterangan diberikan saksi dikemukakan Jabatan Peguam Negara. Timbul persoalan di sini adakah Jabatan Peguam Negara mahu beberapa fakta matan kepada prosiding tersebut tidak diberi pertimbangan coroner?

4. Malah ditularkan juga terdapat arahan pihak tertentu mendesak Syazlin menarik diri. Jabatan Peguam Negara mesti menjelaskan perkara ini supaya kegusaran ramai tentang ketelusan prosiding ini dapat diredakan. Malah Jabatan Peguam Negara juga sehingga hari ini tidak mengesahkan beberapa orang yang diberikan jaminan mulut dibebaskan setelah direman masih berada di dalam pemantauan pihak berkuasa atau tidak.

5. PPMM memahami Syazlin terpaksa menarik diri atas arahan daripada anakguamnya dan tidak boleh mengabaikan arahan tersebut. PPMM mengucapkan terima kaseh atas perkhidmatan yang diberikan bagi membawa keadilan kepada Allahyarham Mohd Adib. Namun pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan yang tuntas berkaitan hal ini.

6. Pada 24 Disember 2018 Menteri KPKT Zuraida Kamarudin dilapor Bernama sebagai berkata selain memberi nasihat guaman Syazlin dilantik bagi turut membantu PDRM dan pihak pendakwaan dalam persediaan prosiding tersebut. Malah Zuraida menegaskan sekiranya terdapat perkara dianggap terlepas pandang atau perlu diberi penelitian dan sebagainya Syazlin boleh memberi pandangan dan input untuk kebaikan semua.

7. Namun semalam pada 27 Mei 2019 Menteri yang sama dilaporkan berkata Syazlin tidak perlu lagi mewakili mereka kerana Jabatan Peguam Negara mewakili pihak Kerajaan walaupun dahulu beliau mahukan semua perkara diambilkira.

8. Melalui penelitian PPMM dalam prosiding tersebut, Syazlin telah bekerja keras membawa kes beliau dan membantu koroner dengan pelbagai input dan keterangan yang tidak disentuh oleh Jabatan Peguam Negara. Inilah peranan yang dimainkan Syazlin sebagaimana yang dikehendaki Menteri KPKT melalui siaran medianya pada 24 Disember 2018 walaupun beliau kemudiannya dilaporkan berubah pendirian.

9. Peguam Negara perlu menjelaskan hal ini dengan terperinci kenapa tindakan sebegini diambil dan telus di dalam menjalankan amanah beliau. Jika benar Syazlin adalah bersifat kelewahan kenapa dari awal prosiding Syazlin dibenarkan membantu koroner di dalam prosiding tersebut.

10. Seperkara lagi yang perlu dijelaskan ialah segala keterangan yang diambil koroner sebelum ini dibuat secara bersumpah di dalam suatu prosiding yang sah di sisi undang-undang. Oleh yang demikian keterangan-keterangan tersebut tidak boleh dibuang begitu sahaja semata-mata kerana peguam menarik diri. Koroner mesti mengambil kira segala keterangan yang diambil walaupun peguam telah menarik diri.

11. Persoalan kini adakah apabila pegawai Jabatan Peguam Negara mengambil alih tugas Syazlin pegawai tersebut boleh memohon kepada koroner untuk membuang apa-apa keterangan yang telah diterima masuk oleh koroner tersebut? Implikasinya pula ia akan mengakibatkan inferens bertentangan (adverse inference) berkenaan fakta pihak pendakwaan atau mana-mana pihak berkepentingan termasuk keterangan yang telah membangkitkan secara langsung dan tidak langsung berkaitan ketiadaan kerdibiliti fakta kes pendakwaan mahupun pihak berkepentingan selain daripada kepentingan Allahyarham Mohd Adib. Adakah terdapat motif tertentu apabila tiba-tiba sahaja penukaran peguam dibuat?

12. Malah kita juga masih ingat di mana Peguam Negara telah memfailkan suatu affidavit yang bersetuju dengan pandangan seorang saksi yang menyatakan Allahyarham Mohd Adib meninggal dunia akibat kemalangan bertentangan dengan pandangan saksi yang menyatakan sebaliknya walhal mahkamah koroner masih lagi bersidang dan belum membuat sebarang dapatan. Hal yang demikian menzahirkan pihak Peguam Negara telah mengambil alih peranan mahkamah koroner walaupun prosiding masih belum selesai.

13. Perlu difahami bahawa inkues bukanlah suatu prosiding dimana ada pihak yang bertentangan atau berlawan, ada yang menang atau kalah, tujuan inkues adalah untuk mendapat tahu apa yang berlaku melalui saksi-saksi. Oleh itu jika semua fakta dan pandangan tidak dizahirkan sepenuhnya adakah matlamat inkues ini dapat dicapai?

14. PPMM kesal dengan tindakan tidak profesional seperti ini dan keadilan mestilah dilakukan kepada Mohd Adib Kassim. Peguam Negara perlu menjelaskan sepenuhnya apa yang berlaku tanpa berselindung disebalik kuasa yang ada pada beliau.


Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget