Mengaitkan Kuota Matrikulasi Dan Peluang Kerja Adalah Sangat Tepat


oleh:DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
UTMKL
20 Mei 2019

Pihak pemimpin DAP, termasuk yang memegang jawatan dalam kerajaan, telah mengkritik Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang bertegas dengan keputusan mengekalkan kuota kemasukan pelajar ke Matrikulasi, dan mengaitkan sistem kuota itu dengan peluang kerja sebagai tidak berasas.

Menteri Pendidikan telah menyebut dalam satu forum baru-baru ini: “Kalau kini kita nak ubah, kalau kita kata Malaysia baru kita tak perlu kuota dan sebagainya, begitu juga kita kena pastikan bahawa peluang pekerjaan kepada Bumiputera tidak dinafikan.” Syarat kemahiran bahasa Mandrain dalam pengambilan kerja misalnya, boleh dianggap sebagai menafikan hak kaum yang tidak bertutur bahasa itu termasuk orang Melayu.

Beliau memberi respons kepada hadirin yang bertanya kenapakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk mengekalkan sistem kuota berasaskan kaum bagi program matrikulasi, yang membolehkan pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran (STPM) untuk memasuki universiti awam.

Bulan lepas kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kuota 90% bagi pelajar Bumiputera bagi program matrikulasi, tetapi pada masa sama menambah angka pengambilan pelajar daripada 25,000 kepada 40,000 orang.

Susulan itu, terdapat pemimpin DAP yang mengkritik keras keputusan itu, terutamanya selepas Menteri Pendidikan mengaitkannya dengan peluang pekerjaan. Kritikan DAP itu berlaku mereka jahil sejarah dan perlembagaan, serta dan gagal memahami realiti sebenar.

Kita ingin tegaskan bahawa apa yang disebut oleh Menteri Pendidikan itu adalah selari dengan satu dapatan dalam artikel bertajuk “When Does Private Discrimination Justify Public Affirmative Action” oleh Ian Ayres dan Fredrick E. Vars dari Yale Law School. Boleh rujuk penulisan berkenaan di sini: https://pdfs.semanticscholar.org/…/215303c46f6c4059f9e0d1e7…

‘Affirmative action’ bermaksud satu dasar atau tindakan kerajaan yang memberikan keistimewaan kepada kumpulan tertentu bagi mewujudkan keseimbangan dalam agihan ekonomi. Prinsip hak istimewa Melayu dan Bumiputera termasuk aplikasi sistem kuota dalam kemasukan ke universiti adalah salah satu bentuk ‘affirmative action’.

Manakala, ‘private discrimination’ atau diskriminasi swasta pula merujuk kepada amalan syarikat-syarikat yang mempunyai unsur diskriminasi. Diskriminasi yang ketara sebenarnya dihalang oleh Perlembagaan dan undang-undang. Namun begitu, sesetengah diskriminasi ini berlaku melalui tindakan pentadbiran yang tidak bertulis, dan sebahagian lagi terlindung atas nama kelayakan khas, seperti penguasaan bahasa tertentu dan seumpamanya.

Artikel di atas berhujah bahawa dalam situasi wujudnya diskriminasi swasta, pihak kerajaan berhak untuk campurtangan bagi mewujudkan keseimbangan melalui dasar ‘affirmative action’. Dalam hal ini kita dapat lihat kaitan yang berasas antara sistem kuota yang merupakan satu bentuk ‘affirmative action’ dengan peluang yang tidak sekata dalam pengambilan kerja—satu bentuk diskriminasi swasta.

Bahkan apa yang lebih penting, kritikan pemimpin DAP itu menggambarkan kejahilan mereka berkenaan prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 153. Fasal 8A menyebut:

(8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Selain itu, dalam konteks proses membuat keputusan, soal kemasukan matrikulasi ini adalah sebahagian dari bidang kuasa Menteri Pendidikan. Pemimpin DAP yang merupakan anggota kerajaan sewajarnya menghormati keputusan yang dibuat dan telah pun diumumkan secara rasmi. Memberikan pandangan yang bertentangan tentunya satu amalan ganjil yang tidak selari dengan konsep ‘collective responsibility’ atau tanggungjawab bersama dalam sistem kabinet dalam negara.

Kita amat berharap agar, pihak-pihak yang cuba menimbulkan kecelaruan dengan mengemukakan pandangan yang bercanggah dengan semangat perlembagaan agar segera menghentikan tindakan demikian. Hubungan antara kaum yang diikat melalui rasa saling menghormati, dan dimateri melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan wajib dijaga dengan penuh teliti. Kita tidak mahu politik berteraskan chauvinisme menjadi dominan dan menjadi modal untuk mengekalkan sokongan dan kuasa parti-parti tertentu. Moga hari esok lebih baik untuk Malaysia.

Sumber: https://www.facebook.com/fathiyusof/posts/10213759366595265

Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget