NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Matrikulasi dan perang dagang


oleh: Abdul Muein Abadi

MEMASUKI fasa separuh malam terakhir Ramadan 2019, kita di Malaysia dihadapkan dengan dua pertembungan besar yang mengimpak perjalanan kita sebagai sebuah negara dalam kedinamikan arena politik antarabangsa.

Pertembungan pertama adalah berkenaan isu matrikulasi di mana Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik telah dikecam hebat oleh pemimpin DAP, Gerakan dan MCA. Pertembungan kedua pula di luar negara iaitu sekatan perniagaan ke atas beberapa entiti berkaitan China oleh Amerika Syarikat terutama sekatan ke atas gergasi pengeluar teknologi China, Huawei.

Bagaimana kedua-dua isu ini saling berkait rapat dalam konteks masa hadapan kita di Malaysia? Pastinya, terdapat beberapa pengajaran utama yang wajib kita insafi daripada kedua-dua pertembungan ini.

Perang perdagangan Amerika - China memasuki fasa yang makin hangat apabila Presiden Trump bertindak melaksanakan sekatan perniagaan ke atas syarikat China atas alasan keselamatan negara dan kepentingan nasional.

Impak serta-merta dirasakan syarikat Huawei apabila syarikat Amerika seperti Google dilaporkan akan berhenti membekalkan teknologi mereka dalam produk keluaran Huawei. Bermakna tiada lagi aplikasi Google seperti Gmail dan Google Play Store yang boleh diakses dalam peranti Huawei yang akan datang.

Huawei dikatakan telah bersedia untuk menghadapi sekatan ini dengan menyimpan cip serta komponen penting lain dengan jumlah yang banyak, memadai untuk mereka bertahan selama tiga bulan. Dalam masa yang sama membangunkan teknologi mereka sendiri untuk menggantikan teknologi dari Amerika ini.

Meskipun banyak pihak mempersoalkan keupayaan Huawei dan China khususnya auntuk benar-benar bebas daripada kebergantungan pada cip buatan Amerika, namun hakikat mereka telah mempersiapkan langkah ke arah matlamat sedemikian perlu kita teladani. China dan Huawei berusaha dengan serius untuk mengatasi syarikat gergasi Amerika. Kesemua ini hampir mustahil tanpa sistem pendidikan yang bersepadu.

Sebaliknya kita di Malaysia masih mengamalkan sistem pendidikan yang berpecah-belah. Tiada impak positif boleh dijangkakan daripada sistem vernakular ke atas agenda penyatuan dan perpaduan kebangsaan.


Terbaharu, beberapa pemimpin DAP sejak April menggesa Putrajaya supaya menamatkan amalan ‘mengutamakan pelajar Bumiputera bagi program matrikulasi dengan alasan ia bersifat diskriminasi.

Dalam kenyataannya, Leong Yu Sheng yang mengetuai jawatankuasa hal ehwal universiti Pemuda DAP berkata dasar sekarang yang memperuntukkan hanya 10 peratus tempat kepada pelajar bukan Bumiputera di 15 pusat matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan seluruh negara adalah ‘tidak adil’ kerana pusat itu ditanggung oleh ‘wang pembayar cukai’.

Kemudian, apabila Dr Maszlee mengumumkan Kabinet bersetuju menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini, ia sekali lagi ditentang pemimpin DAP apabila Biro Hal Ehwal Universiti Pemuda DAP menuduh dasar itu akan menghalang lepasan STPM daripada memasuki universiti awam.

Tidak cukup dengan tingkah laku sedemikian, apabila Dr. Maszlee ‘menjentik’ golongan ultra-kiasu yang agresif melakukan diskriminasi dalam sektor pekerjaan swasta terutama sekali mereka yang meletakkan syarat bahasa Mandarin.

Pemimpin DAP sekali lagi melenting. Exco DAP Selangor, Teng Chang Khim secara terbuka mengecam Dr. Maszlee di laman Facebook. Malah, tindak balas pemimpin DAP, Gerakan dan MCA jelas bersatu suara dalam memperjuangkan isu Matrikulasi bagi kepentingan kaum Cina dan bukan Bumiputera.

Sama seperti mana mereka bersatu dalam isu UEC, sekolah vernakular dan peruntukan kepada institusi swasta bukan Bumiputera.

Berdasarkan senario sebegini, kita bukan sahaja berdepan kesukaran untuk menjadikan pendidikan sebagai wadah penyatuan dan perpaduan, sebaliknya jauh sama sekali untuk menjadikan pendidikan sebagai pelindung kepentingan nasional daripada cabaran luar seperti mana dalam kes China.

*Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo