NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahasiswa dan politik: Sekadar mitos atau realiti?



MAHASISWA adalah generasi yang akan mewarisi seterusnya memimpin negara dan menjadi tonggak kepada perpaduan dan hala tuju negara pada masa akan datang, seterusnya dihormati masyarakat kerana ketinggian tahap pelajaran dan dapat memikirkan masa depan kemajuan masyarakat.

Kadang-kadang mereka menganggap bahawa setiap perkara yang mereka lakukan pada zaman belajar sekadar pengalaman mengisi masa lapang mereka tanpa memikirkan asbab dan kesan terbaik untuk masa depan masyarakat dan negara.

Menurut kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, seramai 233 orang (50.6 peratus) mahasiswa Melayu sudah mendaftar sebagai pengundi berbanding belum mendaftar seramai 218 orang (49.4 peratus).

Kajian artikel ini menjelaskan kepentingan sebagai pengundi muda yang berstatus mahasiswa serta kecaknaan terhadap permasalahan serta pembangunan sesebuah negara, bergantung kepada anak muda khususnya golongan mahasiswa yang mempunyai daya intelektual yang sangat padu.

Persoalannya, adakah mahasiswa merasakan kepentingan mereka membantu negara bagi mewujudkan sistem demokrasi dan pentadbiran sesebuah negara yang efisen akan tercapai?

Mari kita lihat dari sudut perspektif kerajaan dalam menjelaskan pembangunan sesebuah negara dengan pembabitan mahasiswa dan anak muda dari pelbagai aspek bagi memastikan negara mengiktiraf keberadaan mereka dalam dunia politik.

Pinda AUKU

Selepas 40 tahun, sejarah tercipta apabila sidang Dewan Rakyat pada 10 Disember 2018 meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang akan membolehkan mahasiswa terbabit dalam aktiviti parti politik di dalam kampus.

Perkara ini menggamit seribu kenangan kerana kerajaan membuka ruang seluas-luasnya kepada mahasiswa untuk mencorak budaya intelektual dan sistem demokrasi yang bersih serta sihat di dalam kampus mahupun luar kampus.

Percaya atau tidak, semangat mahasiswa dan anak muda semakin berleluasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Hal ini kerana, banyak perkara yang membangkitkan suara mereka selepas pembentangan manifesto daripada pihak kerajaan sekarang dan pembangkang yang menyebut berkaitan hak mahasiswa sebagai contoh isu Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN).

Bukan ingin mengulas isu berikut, tetapi mengajak semua untuk melihat seketika bahawa betapa pentingnya mahasiswa dalam membina aspek politik walaupun perkara itu ada yang membabitkan mahasiswa mahupun tidak, ia sudah semestinya tanggungjawab mahasiswa untuk mencungkil, mengulas dan membina pandangan yang baik demi kesejahteraan sesebuah negara.

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/surat-pembaca/2019/04/554284/mahasiswa-dan-politik-sekadar-mitos-atau-realiti

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo