Raja naik takhta, turun takhta


oleh: A KADIR JASIN
Semalam 6 Januari 2019 semua saluran utama media massa Malaysia melaporkan yang Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V (kelima) meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV (kelima belas).

Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita Yang di-Pertuan Agong mengosongkan jawatan dan turun takhta.

Bernama memetik Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, sebagai berkata dalam satu kenyataan media bahawa Seri Paduka memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutus kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

“Bagi menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa 6 Jan, 2019 bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Saya perhatikan boleh kata semua laporan media massa tempatan menggunakan istilah “letak jawatan” atau dalam bahasa Inggeris “resign”.

Izinkan saya menggunakan istilah “turun takhta” atau dalam bahasa Inggeris “abdicate” seperti yang digunakan oleh kebanyakan akhbar Inggeris dari United Kingdom (UK) dan merata dunia.

Ikut kelaziman, dalam bahasa Inggeris apabila seorang raja melepaskan jawatan dia dikatakan “abdicates” iaitu turun atau kosongkan takhta.

Ini adalah tanda memuliakan institusi raja dan membezakan kedudukan raja dengan orang biasa.

Nikahi bekas ratu cantik Moscow

Berkenaan Sultan Muhammad V, pembaca bahasa Inggeris tentu sudah maklum yang baginda menjadi tajuk sensasi dalam media antarabangsa khususnya di UK, apabila dilaporkan menikahi bekas ratu cantik Mosow 2015, Okana Voevodina.

Majlis perkahwinan di Rusia yang disiarkan oleh media antarabangsa Media massa Malaysia pula hanya sekadar melaporkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan tidak tahu secara rasmi peristiwa tersebut.

Yang menyiarkan berita sensasi itu hanyalah beberapa buah blog dan media sosial.


Sedangkan berita Sultan Muhammad V menikahi ratu cantik Moscow tahun 2015 itu menjadi berita panas media antarabangsa apabila pasangan itu mengadakan majlis sambutan (reception) gilang-gemilang di Moscow.

Akhbar Daily Mail dari UK yang memetik saluran “Islam News” berkata majlis itu diadakan pada 22 November lalu di Dewan Konsert Barvikha di pinggir Moscow.

Ia memetik pengarah ratu cantik Tatiana Andreeva sebagai berkata pasangan itu bertemu di Eropah ketika Voevodina bertugas mempromosikan jam tangan mahal.

Raja atas takhta

Izinkan saya terus menggunakan istilah turun takhta kerana kepada saya, seorang raja mahkota, apatah lagi Yang di-Pertuan Agong, bukan sekadar memegang jawatan tetapi memegang jawatan dengan bersemayam di atas takhta.

Itulah yang membezakan seorang raja dengan rakyat biasa. Rakyat biasa memegang jawatan atau membuat kerja untuk cari makan dan kekayaan.

Raja kita naik takhta dan memerintah negara dengan bersumpah atas nama Allah dan bersaksikan al Quran.

Sebab itulah saya tidak putus-putus menekankan bahawa tempat raja adalah di atas takhta.

“Rahmat bahagia
Tuhan Kurniakan
Raja kita
Selamat bertakhta.”

Dan dalam nada yang sama saya telah berulang kali berkata bahawa tempat raja bukan dalam bilik lembaga merancang IPO atau memohon konsesi IPP, dalam hutan belantara dan lautan samudera raya mencari hasil bumi untuk diri sendiri atau mengambil alih tanah negeri.

Wajib pegang ikrar

Sultan negeri mana pun yang akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong keenam belas wajib berpegang kepada ikrar:

“Dengan ini, beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan perlembagaan negara, serta memelihara dengan sempurna setiap masa, agama Islam, dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.”

Tanggungjawab raja:

1. Berlaku adil.

2. Mengikut undang-undang dan perlembagaan negara.

3. Memelihara agama Islam.

4. Berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Akhir kalam, apa yang baik yang Sultan Muhammad V lakukan untuk negara ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong, kita menjunjung kasih.


A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget