ECRL Mungkin Boleh Diteruskan, Tetapi Dalam Skala Kecil – PM


KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pembinaannya pada Julai tahun lalu berkemungkinan mampu diteruskan dalam skala yang lebih kecil sekiranya China bersetuju dengan langkah berkenaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia dan China masih membincangkan perkara berkenaan dan sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian terbaik.

“Apa yang kita cuba lakukan kini adalah memastikan kita tidak berbelanja terlalu besar dan China tidak mengalami kerugian,” katanya kepada Sin Chew Daily, kelmarin.

Menurut beliau, Malaysia kini dalam dilema sama ada ingin membatalkan projek ECRL atau meneruskannya dengan perbelanjaan yang besar.

“Malaysia bagaimanapun akan cuba sedaya upaya untuk meminda projek berkenaan atau mencari alternatif lain.

“Kita sedang berunding secara rasmi atau tidak rasmi bersama mereka (China). Bagi mereka, jika ia adalah kontrak yang menguntungkan, mereka tidak mahu melakukan sebarang perubahan,” katanya.

Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada 9 Mei tahun lalu, Pakatan Harapan (PH) yang kini diketuai oleh Dr Mahathir berjanji untuk menamatkan projek ECRL memandangkan kontrak dan terma pinjaman tidak menguntungkan Malaysia.

“Tetapi, perkara ini tidak mudah untuk dilaksanakan kerana kita terikat dengan kontrak. Ini kerana kita tidak mempunyai wang untuk membayar China… kita sudah pun membayar sejumlah wang kepada China selepas penangguhan itu,” katanya.

Projek ECRL yang bernilai RM81 bilion itu diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Oktober 2016.

Projek pembinaan itu akan dikendalikan oleh China Communication Construction Company Ltd (CCCC) manakala pembiayaan itu akan disediakan oleh Export-Import Bank of China (Exim Bank of China).

Malaysia akan memperoleh sebahagian daripada pinjaman daripada Exim Bank of China dengan syarat bahawa CCCC membina laluan kereta api.

Projek kereta api sepanjang 688 kilometer (km) itu jika dibina, akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan dan akan dibina dalam dua fasa.

Dr Mahathir berkata, ECRL adalah satu pembaziran kerana kerajaan tidak akan mendapat apa-apa pulangan daripada projek itu selain kerajaan tiada cara untuk membayar cukai syarikat konsesi itu.

Beliau berkata kerajaan tidak pernah menerima sesen pun keuntungan daripada perkhidmatan kereta api Pantai Timur biarpun penggunaannya berat.

“Dalam projek ECRL, terdapat beberapa individu yang miskin yang mana mereka tidak menjalankan perniagaan besar seperti mereka di kereta api Pantai Timur, jadi anda tidak boleh mendapatkan pelaburan anda semula.

“Pulangan daripada projek itu hampir kepada ‘sifar’ dan kita perlu membayar hutang sebanyak RM55 bilion,” katanya.

Dr Mahathir juga menafikan bahawa dia adalah pemimpin ‘pro-Jepun, anti-China’, dengan menyatakan bahawa dia mempertahankan China ketika dia menghadiri forum di Jepun.

“Mereka bertanya mengenai perasaan saya terhadap China, saya berkata bahawa Malaysia sentiasa berhubung dengan China dan kita adalah rakan dagang, kita sentiasa mesra dengan China,” katanya.

Jelasnya, China datang ke Malaysia untuk berdagang berabad lalu tetapi tidak pernah menjajah Malaysia, tidak seperti Portugis.

“Jadi, negara mana yang harus (anda) takutkan? China atau Eropah?,” soalnya.

“Orang Cina mengenal saya sebagai rakan mereka. Sekarang, saya dikatakan tidak ramah kepada mereka, semata-mata kerana kerajaan sedang mengkaji projek ECRL dan Paip Gas Trans-Sabah (TSGP)?

“Kerajaan China memahami masalah kewangan kita, bukannya kita tidak mahu projek ini, tetapi ini adalah projek yang teruk pada awal lagi dan kita tidak mampu untuk menampung perbelanjaannya,” katanya sambil menambah bahawa dia akan ke China jika perlu.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Putrajaya tidak akan memulangkan dua panda yang diberikan kepada Malaysia pada 21 Mei 2014 lebih awal dari tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.

“Tidak, ini adalah hadiah,” katanya, mengakui panda adalah simbol yang bermakna kepada hubungan dua hala antara China dan Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah membincangkan isu panda dan beliau tidak tahu mengenai kenyataan yang dibuat oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

November lalu, Xavier berkata, kerajaan akan berbincang dengan China berhubung status Program Pemuliharaan Panda Giant pada tahun ini yang membabitkan kos perbelanjaannya.

“Rundingan itu perlu dijalankan dengan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China sama ada untuk terus memelihara panda berkenaan dan anaknya,” kata Xavier sambil menambah kerajaan membelanjakan RM4.65 juta bagi haiwan itu pada 2018.

Beliau berkata, kos pengurusan bagi haiwan itu turut dijangka meningkat kepada RM7.38 juta pada tahun ini.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika dihubungi mengesahkan temubual dengan Sin Chew Daily berkenaan. – BERITA HARIAN

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/01/515526/ecrl-mungkin-boleh-diteruskan-tetapi-dalam-skala-kecil-pm
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget