NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Beza kita dengan Israel, kita tidak membunuh sesiapa, kata Fahmi



KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Indeks Kebebasan Media Dunia keluaran Reporters Without Borders (RSF) bukanlah suatu piawaian emas, sebagai respons terhadap kedudukan Malaysia yang lebih rendah berbanding Israel dalam indeks itu.

Memetik penutupan operasi rangkaian televisyen Al Jazeera dan serbuan ke atas pejabatnya di Israel, Fahmi berkata, tindakan-tindakan ini mencetuskan persoalan berhubung kedudukan ke-101 Israel dalam indeks itu, berbanding Malaysia pada kedudukan ke-107.

“Berbeza dengan Israel, kita tidak membunuh orang seperti yang berlaku di Gaza. Kita juga tidak menutup mana-mana (saluran) media seperti yang berlaku kita baca semalam,” katanya pada sidang media.

“Jadi (indeks kebebasan media RSF) mungkin satu kayu ukur, tapi bukan kayu ukur yang sejati, yang orang kata ‘the golden standard’. (Indeks) itu adalah untuk kita meneliti, mempertimbang mungkin ada tindakan yang boleh ditambah baik,langkah-langkah yang lebih baik (boleh diambil).”

Polis Israel menyerbu pejabat Al Jazeera dan merampas peralatannya semalam. Menurut Reuters, perkhidmatan satelit Israel Yes memaparkan mesej berbunyi: “Selaras dengan keputusan kerajaan, siaran stesen Al Jazeera telah dihentikan di Israel.”

Bagaimanapun, Al Jazeera tidak disekat sepenuhnya di Israel kerana saluran itu masih boleh diakses melalui Facebook.

Fahmi juga berkata, beliau akan bertemu dengan RSF dalam masa terdekat untuk membincangkan kedudukan Malaysia dalam indeks tersebut, dan cadangan organisasi itu. Beliau akan menjadi menteri komunikasi Malaysia yang pertama berbuat demikian, katanya.

Beliau berkata, beliau menerima penilaian RSF “dengan hati terbuka”, dan kementeriannya akan meneliti cadangannya.

“Saya alu-alukan mereka. Mereka kata di X, mereka bersedia untuk jumpa (Malaysia),” katanya.

“Kerajaan akan dimaklumkan tentang cadangan (RSF). Kita mungkin tak terima semua cadangan mereka, tetapi kita akan kaji dan lihat apa yang sesuai untuk Malaysia.”

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata, kedudukan terkini Malaysia dalam indeks itu masih lebih baik berbanding kedudukan ketika pentadbiran terdahulu.

“Walaupun penurunan kepada (kedudukan) 107 tidak memuaskan, ia tidak terlalu buruk. Dalam laporan 2021, kita berada pada kedudukan ke-119; pada 2022 pula, kita berada pada kedudukan ke-113.

Dalam Indeks Kebebasan Media Dunia RSF terbaru, Malaysia ketinggalan di belakang Thailand (87), walaupun masih berada di tempat kedua dalam kalangan negara Asean, mendahului Indonesia (111); Brunei (117); Singapura (126); Filipina (134); Kemboja (151); Laos (153); Myanmar (171); dan Vietnam (174).


Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo