NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Exco DAP Selangor bukan salah guna tatabahasa, tapi…: Firdaus Wong



Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Rabiulawal 1440H, Selasa – Exco Kerajaan Negeri Selangor, V Ganabatirau bukan menyalahgunakan tatabahasa, sebagaimana didakwa Menteri Besar, Amiruddin Shaari, sebaliknya ia lebih daripada sekadar itu, kata pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.

Tanpa menyatakan maksud 'lebih daripada sekadar itu', beliau berkata, maksud tatabahasa yang sebenar menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua ialah, pengetahuan atau pelajaran mengenai pembentukan kata dan mengenai penyu­sunannya dalam ayat; nahu.

Dalam kenyataan awal di Facebooknya semalam, Ganabatirau yang juga Adun Kota Kemuning, menuduh umat Islam menyerang Kuil Sri Mariamman di Subang Jaya, menyebabkan tercetusnya rusuhan. Dia kemudian mengubah suai kenyataan itu dengan menuduh 'gangster' yang terbabit – membuang perkataan 'muslim'.

Bagaimanapun, Menteri Besar kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan Ahli Exco daripada parti tamak haloba dan anti-Islam itu, dengan mendakwa kenyataan Ganabatirau mungkin mempunyai kesilapan dari segi penggunaan tatabahasa.

Mengulas mengenainya, Firdaus Wong berkata, ia nyata jauh beza dari segi maksud perkataan 'Muslim Group' dan 'Group of Gangster' sepertimana dalam kenyataan Ganabathirau.


Pada masa sama, Firdaus yang juga seorang mualaf terkilan apabila ramai wakil rakyat beragama Islam bersikap apologetik terhadap mereka yang mencerca Islam.

"Apabila muslim yang didapati bersalah, terus dikritik manakala sahabat wakil rakyat mereka yang belum muslim memilih bulu dan berat sebelah, wakil rakyat muslim pula seolah-olah menjadi jurucakap dan mempertahankan mereka.

"Apabila seorang Melayu muslim memaki seorang promoter arak belum muslim yang tindakannya adalah salah, terus wakil rakyat belum muslim bersama sekumpulan peguam membuat laporan polis tetapi apabila Sultan, Raja, Islam dan muslim dihina, wakil rakyat muslim entah ke mana.

"Bukan diminta buat yang bukan-bukan, tetapi berani bertegas bukannya berkeras. Dulu isu Ramasamy, menteri agama backup sebelum berjumpa, hari ini dalam sidang media, Waytha Moorthy salahkan polis, dua wakil rakyat muslim di tepi, duduk diam tak bersuara, kini Ganabatirau buat salah, Menteri Besar Melayu muslim backup," katanya yang kesal dengan sikap sesetengah menteri dalam kerajaan PH sekarang.

Walhal, katanya, ketika isu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik diserang dan dikritik pelbagai pihak yang memiliki agenda tersendiri, tidak ada pun menteri bukan Islam yang mempertahankan beliau.

"Adakah anda wahai wakil rakyat muslim nampak wakil rakyat belum muslim backup beliau? Walhal anda sendiri pun tak backup beliau. Takut hilang rakan sekutu dan kuasa?

"Saya masih berdakwah dan akan terus berdakwah tetapi saya akan bersuara apabila melihat agamaku dipijak dan dihina dan apabila saudara seagamaku diperli dan dibuli serta apabila sahabat senegaraku tanpa mengira bangsa dan agama ditindas.

"Tak takut ke disekat berdakwah dan berceramah kerana mengkritik politikus? Lebih baik takut pada Allah kerana kita semua akan kembali kepadaNya. Bertakwalah kita semua kepada Allah," katanya.


Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/11/27/exco-dap-selangor-bukan-salah-guna-tatabahasa-tapi-firdaus-wong/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo