NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS beri gred D prestasi kerajaan PH



PAS menganggap kerajaan Pakatan Harapan gagal mentadir sepanjang 100 hari pentadbiran, berikutan tidak mampu melunaskan janji-janji kepada rakyat.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, melihat kepada kesungguhan kerajaan, mereka hanya di tahap antara 27 hingga 30 peratus sahaja, sekaligus layak menerima gred D.

Katanya, ahli jawatankuasa yang menggubal manifesto perlu bertanggungjawab kerana gagal membuat kajian terlebih dahulu mengenai janji-janji tersebut.

"Saya letak dalam 27 hingga 30 peratus daripada 100 peratus dan PH hanya berjaya mendapat gred D, mereka perlu ulang dan ambil balik kertas peperiksaan tersebut.

"Bila mereka gagal bermakna jawatankuasa ini gagal membuat kajian yang teliti sebelum mengemukakan kepada rakyat termasuk soal-soal hutang sebab perkara ini bukan sulit," katanya.

Pentadbiran 100 hari kerajaan akan genap esok, selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Berdasarkan manifesto Pakatan Harapan 10 janji kepada rakyat, antaranya menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST); menstabilkan harga minyak dan menghapuskan subsidi bersasar; menghapuskan hutang tidak wajar peneroka Felda; skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah serta meningkatkan gaji minimum.

Selain itu ialah penangguhan bayaran balik PTPTN; Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk 1MDB, MARA, FELDA dan Tabung Haji; menubuhkan jawatankuasa khas kabinet untuk Perjanijan Malaysia 1963; Skim Peduli Sihat; dan melancarkan kajian terperinci untuk projek mega yang dikelola syarikat bukan Malaysia.

Namun, antara janji yang ditunaikan adalah penghapusan senarai hitam melibatkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah dan menstabilkan harga minyak.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/08/16/pas-beri-gred-d-prestasi-kerajaan-ph/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo