NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UEC: Malaysia hilang identiti jika diiktiraf


KUALA LUMPUR 14 Julai- Kerajaan Pakatan Harapan didesak supaya meneliti dengan mendalam kesan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) terhadap identiti negara dan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, tuntutan pengiktirafan UEC merupakan satu isu yang telah dibincangkan sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri buat kali pertama dahulu dan beliau sendiri telah menyatakan pendiriannya dengan tegas menolak pengiktirafan UEC sebagai kelayakan masuk ke universiti awam.

Katanya, antara sebab titik penolakan kepada tuntutan tersebut adalah kerana UEC tidak mewajibkan peperiksaan bahasa Melayu dan sejarah Malaysia mengikut silibus yang ditetapkan Kementerian Pendidikan setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jika rakyat Malaysia yang berbilang kaum tidak diwajibkan menguasai bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan, pastilah akan lahir generasi rakyat Malaysia yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan fasih dan jika ini dibiarkan, Malaysia akan hilang identiti yang menyatukan masyarakat majmuk di negara ini.

“Isu UEC bukan satu isu perkauman tetapi ia merupakan satu kebimbangan berkenaan identiti negara dan perpaduan dalam kalangan rakyat kerana bahasa dan sejarah merupakan asas kepada perpaduan rakyat dan identiti sesebuah negara maka menjadi kemestian untuk semua bangsa dalam Malaysia diikat dengan satu persamaan melalui bahasa dan sejarah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo