Kebakaran KBC : Kontraktor Melecur Tahap 2, 3 Lagi Cedera



KEMAMAN – Seorang kontraktor cedera parah manakala tiga yang lain cedera ringan apabila terlibat dalam kebakaran tangki minyak mentah di Kemaman Bitumen Company (KBC) semalam.

Mangsa, Rosli Muhammad, 43, dikatakan melecur di bahagian muka dan tangan sebelah kanan telah dihantar ke Hospital Kemaman sebelum dipindah ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, semalam manakala tiga yang lain menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kemaman.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata kebakaran tangki minyak mentah KBC di Teluk Kalong merupakan kebakaran terbesar yang berlaku di Terengganu melibatkan tiga tangki minyak yang mengandungi 20,059 liter padu minyak mentah.

“Kebakaran ini membabitkan tiga tangki (daripada lima) yang mengandungi minyak mentah iaitu tangki pertama mempunyai 4,800 liter padu minyak mentah, tangki kedua 1,580 liter padu dan tangki ketiga mengandungi 13,679 meter padu.

“Dua tangki telah terbakar sepenuhnya dan kami sedang cuba menangani kebakaran tangki satu lagi agar tidak merebak ke tangki-tangki yang lain. Kami mengawal kebakaran dengan cara memasukkan buih dari aras bawah ke atas,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di kawasan perindustrian Teluk Kalong di sini hari ini.

Menurut Azlimin lagi, bagi menangani kebakaran tersebut pihak bomba menggunakan 14,000 liter buih yang diperoleh daripada syarikat perindustrian (8,000 liter) dan JBPM (6,000 liter).

“Kami juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan sumber bekalan air kerana dapat kerjasama Syarikat Air Terengganu untuk menangani insiden ini, bekalan air yang sedia ada di dalam ini serta bekalan air daripada syarikat Kemaman Supply Base,” katanya.

Katanya JBPM Terengganu menerima panggilan kebakaran pada 6.26 petang semalam dan terus menggerakkan 78 anggota dari Balai Bomba Chukai serta balai-balai berdekatan di negeri ini serta turut dibantu 33 anggota dari Kuantan, Pahang ke lokasi kejadian.

Pihak bomba turut dibantu 41 anggota Emergency Response Team (ERT) daripada KBC dan juga KSB serta lain-lain agensi keselamatan yang terlibat termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam.

Tinjauan Bernama sehingga 11 pagi ini juga mendapati pihak bomba masih bertungkus-lumus memadamkan api kebakaran yang masih marak meskipun sudah lebih 16 jam insiden kebakaran itu berlaku. – BERNAMA
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget