NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

HARAPAN perlu akui tak dapat penuhi manifesto


Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Wan Saiful Wan Jan bersetuju dengan kenyataan Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) hanyalah panduan.

Bagaimanapun, kata Wan Saiful, ia bukan alasan untuk tidak melaksanakan perkara yang termaktub dalam Buku Harapan.

Sebagai salah seorang penulis manifesto HARAPAN, Wan Saiful memberitahu tidak semua 'janji-janji' yang ditulis itu mudah untuk dilaksanakan.

Namun, katanya, kerajaan HARAPAN tetap berusaha untuk memastikan segala janji itu dapat ditunaikan.

"Saya amat bersetuju dengan pandangan (Dr Mahathir) itu. Manifesto adalah panduan secara umum ke mana kita nak pergi.

"Dengan kekangan yang ada, saya sendiri sebagai penulis terfikir bahawa benda ini (janji-janji) susah sebab tak ada maklumat tentang apa yang boleh buat dan tak boleh buat.

"Apa yang disebut Tun (Dr Mahathir) itu penting untuk kita terapkan pemahaman kepada masyarakat bahawa dokumen ini panduan bagi kita.

"Mana yang boleh laksana kita boleh laksana, mana yang mencabar untuk dilaksanakan kita kena usaha, mana yang tak boleh laksanakan kita kena mengaku, inilah realitinya," katanya.

Wan Saiful berkata demikian dalam seminar anjuran Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) bertajuk Buku Harapan: Satu Dokumentasi Penyediaan Sebuah Manifesto di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Terdahulu, beliau disoal hadirin yang bertanya tentang kenyataan perdana menteri yang menyifatkan bahawa manifesto bukan 'kitab suci'.

Selain itu, ketika ditemui pemberita bagi mengulas perkara berkenaan, Wan Saiful yang kini menjawat jawatan penasihat khas kepada menteri pendidikan menjelaskan bahawa HARAPAN akan tetap berusaha untuk melaksanakan semua janji yang terkandung dalam manifesto berkenaan.

Tetapi sekiranya ia tidak dapat dilaksanakan, Wan Saiful berkata, pihak kerajaan HARAPAN perlu mengakuinya.

"Seboleh-bolehnya kita semua kena laksanakan, usaha. Jangan jadikan perfection as the enemy of good.

"Untuk selesaikan 100 peratus ia memang matlamat tetapi kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran. Paling penting ialah, kita kena ada komitmen untuk laksanakan dan itu yang kita sedang lihat sekarang.

"Di waktu yang sama, kalau tak boleh buat kita kena beritahu rakyat apa yang kita tak boleh buat," ujar pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu lagi.

Isnin lalu Dr Mahathir yang juga perdana menteri mengingatkan bahawa manifesto HARAPAN "bukan kitab suci" yang wajib dipatuhi sebaliknya ia hanyalah panduan.

Menurut Dr Mahathir, pihaknya perlu berfikiran praktikal dalam melaksanakan sesuatu perkara dan adakalanya ia menyebabkan manifesto mereka tidak dapat dipatuhi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo