Penarikan Semakan Semula Pulau Batu Puteh Rugikan Masa Hadapan



oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

1. Pada 2 Februari 2017, Malaysia secara rasminya telah memfailkan permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

2. Apabila kerajaan Malaysia memfailkan permohonan semakan berhubung keputusan ICJ dalam kes tuntutan bertindih ke atas pulau itu, ia membuka satu pintu kesedaran kepada rakyat bahawa kita sebenarnya masih berpeluang untuk memiliki semula Pulau Batu Puteh. Permohonan semakan oleh Malaysia adalah berdasarkan Perjanjian Khas bertarikh 9 Mei 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama. Semua dilakukan berlandaskan undang-undang antarabangsa dan mengikut ketetapan ICJ di The Hague, Belanda.

3. Permohonan semakan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Singapura mempunyai hak untuk membuat permohonan semakan kepada ICJ sekiranya wujud dokumen baharu yang tidak digunakan semasa perbicaraan asal, maka disebabkan itu tindakan Malaysia adalah mengikut peruntukan perundangan ICJ dan ianya mestilah dipohon bagi semakan semula pada Mei 2018.

4. Mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah menjelaskan bahawa tiga fakta baharu yang diperoleh bagi menyokong permohonan Malaysia menyemak keputusan ICJ telah ditemui selepas Pejabat Peguam Negara meneliti lebih 3,000 dokumen milik National Archives of the United Kingdom atau Arkib Negara United Kingdom di sana.

5. Pada peringkat awal, semua dokumen-dokumen tersebut telah diklasifikasikan sebagai sulit namun ia telah didedahkan kepada umum pada September 2013 iaitu selepas lima tahun keputusan dibuat. Malaysia pula hanya memperolehi dokumen tersebut di antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 ketika menyemak kembali fail arkib pentadbiran tanah jajahan selepas didedahkan kepada umum.

6. Bukti bersejarah ini adalah sesuatu fakta yang sangat bermakna kepada kita untuk kembali menuntut hak kedaulatan melalui semakan semula terhadap Pulau Batu Puteh.

7. Pada 5 Februari 2017, Setiausaha Agung Pertubuhan Perundingan Undang-undang Asia-Afrika (AALCO), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad telah menyatakan bahawa bukti sejarah yang tidak boleh dicabar bahawa Pulau Batu Puteh sememangnya berada dalam wilayah Malaysia dalam setiap keadaan akan memberi peluang cerah kepada Malaysia dalam proses semakan semula keputusan ICJ. Beliau memberi contoh dengan merujuk kepada kes kuil purba Preah Vihear yang mana ICJ memutuskan kuil itu terletak dalam kedaulatan Kemboja kerana wujud bukti sejarah yang tidak boleh disangkal Thailand.

8. Ia dituruti dengan kenyataan Timbalan Pengarah Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sufian Jusoh pada 6 Februari 2017 mendakwa bahawa Singapura juga mengetahui mengenai rekod komunikasi antara pemimpin tertinggi British pada lewat 1950-an yang menyatakan Pulau Batu Puteh bukan milik Singapura tetapi mereka menyembunyikannya selama ini. Sebagai seorang yang pakar undang-undang antarabangsa, beliau percaya Malaysia mempunyai peluang cerah dalam proses semakan semula keputusan ICJ tersebut.

9. Mengikut laporan yang disiarkan oleh ICJ, dokumen yang dikatakan sebagai fakta baharu adalah termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada tahun 1958, laporan mengenai satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an. Melihat kepada dokumen-dokumen ini sudah tentu ia membuka ruang untuk Malaysia kembali memiliki Pulau Batu Puteh.

10. Keterangan ringkas tiga dokumen yang dinyatakan dalam permohonan kerajaan Malaysia kepada ICJ adalah seperti berikut ;

i. Dokumen Pertama adalah merupakan telegram sulit pada 1958 daripada Gabenor Singapura kepada Setiausaha Negeri-negeri Jajahan yang mencadangkan pembentukan koridor perairan antarabangsa kira-kira 1.6 kilometer dari pulau tersebut sekali gus menunjukkan beliau tidak menganggap Pulau Batu Puteh sebagai sebahagian daripada wilayah Singapura.

ii. Dokumen Kedua adalah merupakan laporan insiden kapal pada 1958 yang menyebut tentang ketidakmampuan tentera laut Britain untuk membantu kapal Malaysia yang diekori oleh bot bersenjata Indonesia dekat pulau tersebut kerana ‘kawasan itu berada dalam wilayah perairan Johor’. Kandungan dokumen ini secara jelas menunjukkan bahawa Britain mengiktiraf perairan di sekitar pulau berkenaan adalah milik Johor dan Britain tidak melihat bahawa perairan di sekitar pulau itu milik Singapura.

iii. Dokumen Ketiga pula adalah merupakan peta pada 1962 yang mempunyai nota tulisan tangan pada 1969 yang menunjukkan wilayah perairan Singapura tidak melebihi sekitar Pulau Batu Puteh.

11. Ia adalah jauh lebih penting daripada keputusan ICJ sebelum ini bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura yang hanya bersandarkan kepada bukti bahawa republik itu telah mentadbir pulau tersebut buat sekian waktu melalui pengendalian Rumah Api Horsburgh.

12. Kedudukan dan jarak Pulau Batu Puteh yang hanya berada 12.8 km dari pantai Pengerang, Johor dan 64 km dari perairan terdekat Singapura secara logiknya sepatutnya adalah milik Malaysia tetapi ia tidak mampu untuk meyakinkan ICJ kerana faktor kelemahan pasukan daripada Malaysia pada ketika itu untuk mengemukakan bukti bertulis bahawa pulau tersebut adalah milik Malaysia sejak dari era Kesultanan Johor lagi.

13. Sejarah telah membuktikan bahawa Pulau Batu Puteh adalah sebahagian daripada jajahan takluk Kesultanan Di Raja Johor, bersandarkan kepada Perjanjian Inggeris-Belanda pada 17 Mac 1824 dan Perjanjian Crawfurd pada 2 Ogos 1824, yang mana ia telah menggariskan persempadanan kedaulatan Kesultanan Diraja Johor dan ianya masih sah hingga ke hari ini.

14. Pasti ramai yang masih ingat lagi pesanan almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail sebelum mangkat, baginda berpesan bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Johor dan pulau itu mesti kekal menjadi sebahagian daripada Johor. Titah almarhum dibuat setelah memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura sejak 1979 adalah milik Singapura oleh ICJ.

15. Bertepatan dengan pesanan itu, pada 29 Mei 2014, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah bertitah dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya kerajaan negeri menubuhkan sebuah pasukan khas mengkaji untuk membuat rayuan terhadap keputusan ICJ itu.

16. Di atas kesungguhan kerajaan Malaysia untuk membuat semakan semula terhadap hak milik Pulau Batu Puteh telah mendapat pujian daripada Sultan Ibrahim yang menzahirkan ucapan syabas kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan pasukannya yang berjaya menjumpai bukti baharu berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh.

17. Sultan Ibrahim juga bertitah bahawa walaupun saiz Pulau Batu Puteh kecil, namun setiap inci tanah negeri Johor mesti dipertahankan kerana itu adalah lambang kedaulatan Johor dan menjadi sebahagian kedaulatan Malaysia.

SINGAPURA MULAKAN PERANG SARAF

18. Pertembungan di antara Malaysia dengan Singapura bukanlah perkara baharu dan ianya berterusan khususnya yang melibatkan kepentingan kedua-dua negara. Sebagai contoh yang diketahui umum adalah berkaitan dengan isu Tambak Johor yang tidak boleh diusik kerana paip yang membekalkan air ke Singapura berada di atas tambak yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura. Sebelum ini Malaysia pernah mencuba untuk mengubah struktur Tambak Johor namun ia akan memberi kesan kepada paip air dan ia akan dianggap melanggar peruntukan Perjanjian Air 1961 dan 1962. Itu sebagai satu contoh yang mewakili pelbagai isu yang telah dan sedang berlaku.

19. Maka apabila berhadap dengan isu permohonan tuntutan semakan semula keputusan ICJ 2008 yang difailkan oleh kerajaan Malaysia maka ia sengaja dikaitkan menjelangnya Pilihan Raya Umum Malaysia yang ke 14 (PRU14) walhal isu tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh bukanlah satu perkara yang baharu di Malaysia.

20. Namun perang saraf yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah berjaya menarik perhatian sebahagian daripada pemimpin PH sehingga mereka telah menyahut perang saraf ini dengan hujah yang hampir serupa dengan PM Singapura.

21. Akhirnya, pada 30 Mei 2018 Malaysia telah menarik diri daripada semakan keputusan dan tidak meneruskan prosiding yang dimulakan sebelum ini. Kenyataan ini dikeluarkan sejurus selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada semakan keputusan ICJ mengenai kedaulatan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh yang dicabar semula oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.

APAKAH FAKTOR YANG MENYEBABKAN SEMAKAN KEPUTUSAN DITARIK BALIK?

22. Sehingga kini, ia menjadi satu persoalan yang masih belum terjawab. Pelbagai andaian telah disebarkan namun masih bertemu dengan sebab yang sebenarnya. Dr Mahathir selaku Perdana Menteri sudah pasti lebih mengetahui alasan-alasannya namun masih juga tidak mendedahkan butiran-butiran tersebut.

23. Kerajaan Negeri Johor juga tidak membuat apa-apa bantahan atau tidak berfungsi terhadap isu ini selain meletakkan kesalahan kepada pimpinan kerajaan yang lama. Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Osman Sapian memberikan alasan bahawa beliau masih baru ketika itu dan tidak begitu mengetahui tentang isu pulau ini sedangkan mengikut rekod beliau telahpun dipilih sebagai ADUN Kempas yang mewakili UMNO/BN sejak tahun 1999 lagi.

24. Antara lain beliau menyebut ;

“…saya kurang arif tentang sejarah dan perjalanan Batu Puteh semasa dibawa ke ICJ dulu sebabnya saya masih baru. Saya mengikuti, tetapi tidak secara mendalam”

25. Beliau juga menyalahkan kerajaan dahulu iaitu BN di atas kecuaian yang telah berlaku sedangkan pada Pulau Batu Puteh jatuh ke tangan Singapura, beliau juga adalah pimpinan BN dan ini sudah pasti menimbulkan persoalan.

26. Namun apa yang pasti dan tidak dapat kita nafikan adalah pihak yang paling bergembira dengan keputusan ini adalah Singapura. Penganalisis-penganalisis dari Singapura mengandaikan bahawa isu domestik menjadi punca mengapa Malaysia menarik diri. Apa yang dimaksudkan dengan isu domestik adalah kerajaan baharu pimpinan PH lebih memberi tumpuan dalam menyelesaikan isu politik dan ekonomi domestik dan tidak mahu mewujudkan ketegangan diplomatik dengan negara jiran khususnya Singapura yang mempunyai sejarah yang panjang dengan Malaysia.

27. Ada juga yang mengandaikan bahawa langkah ntuk membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Malaysia mungkin juga mahu mewujudkan “iklim diplomatik yang lebih positif” dengan Singapura.

28. Justeru rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor perlu tahu apakah faktor-faktor yang mempengaruhi semakan semula keputusan di tarik balik. Ini bukan isu politik tetapi isu kedaulatan negara yang perlu ditangani dengan sewajarnya.


“Malaysia Sejahtera”
“Sejahtera Bersama Islam”

Sekian, wassalam.


Khairul Faizi bin Ahmad Kamil adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor
25 Ramadhan bersamaan 10 Jun 2018

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget