NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes ‘Bin Abdullah’-JPN Akur Fatwa Tindakan Betul – Peguam


Putrajaya: Dalam hujah rayuan kes ‘bin Abdullah’ semalam, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan menegaskan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak wajar dengan mengikut fatwa Johor untuk enggan memberikan anak tidak sah taraf beragama Islam membawa nama bapa kandung. 


Ini kerana walaupun tiada istilah anak tidak sah taraf di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA), namun Seksyen 111 Enakmen Keluarga Islam Johor 2003 diguna pakai ke atas orang Islam, menjadikan pasangan itu dan anak mereka terikat dengan fatwa tersebut. 

“Wajar bagi JPN mengikut fatwa dalam undang-undang Islam bagi mencapai objektif BDRA.” 

“Dalam keadaan sebegini, JPN boleh bergantung kepada fatwa mengatakan anak tidak sah taraf beragama Islam dilarang membawa nama bapa kandungnya,” katanya di depan panel 5 hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus Sharif di Mahkamah Persekutuan. 

Suzana mewakili JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan, yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas yang menyatakan fatwa tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang dan tidak boleh membentuk asas undang-undang bagi JPN memutuskan nama bapa seorang anak tidak sah taraf beragama Islam. 


Menurut peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang menjadi pencelah bagi mewakili Jabatan Agama Islam Negeri Johor pula, Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membuat keputusan itu dan mengabaikan undang-undang Islam. 

“Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 tidak boleh diguna pakai untuk mendaftar kanak-kanak Islam. 

Mahkamah Syariah adalah forum yang sesuai dan terbaik untuk berhujah berhubung isu ini.” Hujah beliau lagi, JPN bertindak dengan betul kerana mengikut fatwa dikeluarkan pihak berkuasa Islam Johor. 

“Fatwa ini mungkin belum diwartakan tetapi ia mempunyai kuat kuasa undang-undang asalkan tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya. 

Mahkamah Rayuan pada 25 Mei tahun lalu membenarkan rayuan pasangan suami isteri dan anak lelakinya dalam permohonan semakan kehakiman difailkan mereka untuk memastikan Ketua Pengarah JPN menukar perkataan ‘Abdullah’ sebagai bin untuk nama kanak-kanak itu kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran. 




















________________

Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo