Kebangkitan Islam Akan Terus Berlaku Walaupun Ditekan



PUTRAJAYA – Kebangkitan umat Islam akan terus berlaku dalam usaha membebaskan Baitulmuqaddis walaupun mendapat tekanan daripada pelbagai pihak, kata Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Berucap merasmikan Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmuqaddis di sini hari ini, beliau berkata kehadiran lebih 100 ulama dari seluruh dunia pada persidangan itu juga satu manifestasi kesedaran umat Islam dalam usaha menyelesaikan isu Palestin.

“Kita tahu terdapat usaha untuk memperkecilkan perjuangan membebaskan Palestin. Mereka memperkecil-kecilkannya sehingga ke ‘lubang biawak’.

“Namun mereka gagal untuk memberi alasan kukuh bagi mengetepikan isu Palestin ini supaya dilupakan (umat Islam),” katanya.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata tindakan 128 buah negara mengundi menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang langkah Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel juga menunjukkan isu Palestin adalah isu semua pihak.


“Kita lihat hari ini pelbagai pihak seluruh negara telah bersatu di saf pertama berdepan dengan pihak berkenaan (rejim Zionis dan Amerika Syarikat),” kata Abdul Hadi.

Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Ulama Palestin Diaspora Sheikh Dr Nawaf Takruri dalam ucapannya menekankan kepentingan peranan ulama Islam dalam menyelesaikan isu Palestin.

Beliau berkata para ulama dalam persidangan tersebut perlu menghasilkan resolusi lebih praktikal yang seterusnya akan dibawa pulang ke negara masing-masing dan memberikan tekanan lebih hebat dalam memperjuangkan kebebasan Palestin.

“Kesatuan Ulama Palestin Diaspora meletakkan harapan begitu tinggi bahawa setiap negara bersama-sama ulama mereka menjelaskan tindakan Presiden Amerika Donald Trump adalah satu pencabulan kepada umat Islam dan menggerakkan umat Islam di seluruh dunia untuk membebaskan Baitulmuqaddis,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas usaha yang dilakukan termasuk memberi keutamaan membincangkan isu Palestin dengan ulama dari seluruh dunia.

Katanya persidangan itu diharap dapat menghidupkan semula isu Palestin dan menjelaskan kepada dunia bahawa isu melibatkan Baitulmuqaddis amat mendalam di hati umat Islam secara keseluruhannya.

“Pertemuan ini merupakan pertemuan untuk membincangkan identiti ummah. Al-Quds (Baitulmuqaddis) ialah ibu kota Palestin dan ibu kota seluruh umat Islam dan akan terus dijaga kepentingannya,” katanya.

Lebih 100 ulama dari 30 negara menyertai persidangan selama tiga hari itu yang diadakan bersempena Festival MyAQSA yang akan mula di Dataran Putrajaya, di sini malam ini.


Resolusi persidangan itu dijangka dibentangkan esok dan diangkat menjadi fatwa baharu bagi diserahkan kepada ketua-ketua negara Islam dunia untuk tindakan lanjut.

Persidangan itu dianjurkan secara bersama oleh Yayasan MyAQSA, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kesatuan Ulama Palestin Diaspora dan Kesatuan Ulama Islam Sedunia. – BERNAMA
________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget