The King Maker dalam PRU-14



Memang pertandingan tiga penjuru ini amat ditakuti Lim Kit Siang – “the real existing King Maker amongst Pakatan Harapan.” Bukan “top dog” Tun Mahathir yang mengangkat dirinya sendiri sebagai “Ketua PH”. Lim Kit Siang selaku anak didik Lee Kuan Yew dan sudah 40 tahun lamanya berpolitk tentunya amat faham hati budi Tun M. LKS sekadar senyum dari jauh, menggerakkan strategi badut “Melayu lawan Melayu”nya sekian lama yang diidamkannya, yang sekarang sudah menjadi. - M. Kamal Affandi

oleh: M. Kamal Affandi

Pilihanraya persekutuan pertama telah diadakan pada 27 Julai 1955 (http://www.arkib.gov.my/web/guest/pilihanraya-umum-pertama-1955). Parti Perikatan pimpinan YTM Tunku Abdul Rahman itu telah mengemukakan sebanyak 66 calon untuk bertanding. Parti Negara Dato’ Onn yang berpisah daripada UMNO, bertanding sebanyak 33 kerusi manakala PAS sebanyak 11 kerusi. Perikatan sapu bersih 51 daripada 52 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Tahun 1955 PAS hanya menang di Krian, Perak menerusi wakil tunggalnya, Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Hussin yang kemudian mendapat jolokan “Mr Opposition” di sidang Dewan Parlimen yang pertama dalam sejarah pilihanraya Malaysia. 

Mengikut Allahyarham Ustaz Othman Hamzah(https://dpprompin.wordpress.com/2008/02/07/sejarah-pru-i-malaya-1955-siri-2-pas-menang-1-parlimen-1-dun/), kemenangan calon tunggal PAS ketika itu, antara lain disebabkan 


(i) Pengundi bangsa asing amat kecil jumlahnya dari pengundi Melayu Islam berbanding di tahun 60-an dan sekarang; 

(ii) Perasaan mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam masih bersih dan kuat; dan

(iii) Sikap beliau yang begitu sederhana dan tawadhuk. Yang menarik, dikatakan beliau tidak pernah meminta dirinya diundi sepanjang kempen pilihan raya, kecuali menerangkan tujuan PAS menyertai pilihan raya. Iaitu hendak menyuarakan keinginan bangsa Melayu yang mahukan kemerdekaan berlunaskan Islam selaras dengan kehendak rakyat waktu itu, menyebabkan beliau lebih dihormati ramai.

Ramai penyokong PAS berasa amat yakin bahawa PAS akan memainkan peranan yang sangat crucial dalam pertandingan tiga penjuru yang bakal menyaksikan kewujudan King Maker dalam sebuah pilihanraya umum. Ini sudah dirancang PAS sejak 2015 lagi seperti dalam kenyataan terbuka pimpinan pelapis dan AJK Pusat PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dalam http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/pas-sasar-jadi-king-maker-politik-1.399391.

Peranan King Maker bukanlah baru dalam arena politik Malaysia. Cuma ia tidak dihebahkan secara terbuka sebegitu sehingga dalam PRU-14 ini. Ianya pernah dicuba secara senyap tetapi tidak menjadi dalam pelbagai rundingan tertutup setiap berakhirnya sesuatu pilihanraya seperti yang berlaku pada PRU-12 dan ke-13. Namun kali ini, PAS mengisytiharkan ia akan bertanding lebih 130 kerusi Parlimen dan ini tentunya akan mewarnai PRU-14. 

Matematik politik mencaturkan bahawa PAS hanya perlu menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dan boleh menjadi King Maker yang sangat berkesan menentukan kerajaan baru, sama ada dengan cara:
  1. PAS hanya bekerjasama dengan Barisan Nasional secara keseluruhannya; 
  2. PAS turut bersama UMNO dan parti-parti lain dalam BN berdasarkan angka kemenangan kerusi Parlimen. Ini mungkin akan menyukarkan BN tetapi UMNO boleh bersetuju jika itu sahaja jalan untuk menyelamatkan agenda mengekalkan kedaulatan Islam dan Raja-Raja Melayu; 
  3. PAS bekerjasama dengan parti-parti lain yang boleh bersetuju dengan konsep “memenangkan Islam”nya, jika cukup kerusi untuk menang majoriti mudah, membentuk sebuah kerajaan baru. 
Realiti politik menunjukkan setakat ini PAS sudah berpatah arang dengan DAP dan mana-mana parti yang menyokong DAP dalam PH. Oleh itu kerjasama dengan UMNO dalam apa bentuk sekalipun adalah senario yang almost likely to happen.

Politik adalah alat dan saluran yang diizinkan dalam sesebuah sistem demokrasi moden. Dalam keadaan rata-rata pemimpin Pakatan Harapan yang mentertawakan PAS, spin kata-kata pimpinannya, memomokkan “angan-angan PAS” sebagai King Maker”, masih ada pimpinan PH yang agak bimbang dengan strategi terkini PAS dalam PRU-14. 

Salahudin Ayub pantas mengatakan (dalam http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/23/pakatan-bakal-lancar-kempen-tolak-parti-kingmaker-bantu-bn/) bahawa “mana-mana gabungan pembangkang selain Pakatan Harapan pada PRU-14 nanti perlu ditolak kerana ia bukan bertujuan untuk membantu pembangkang sebaliknya menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN).”

Katanya lagi, “rakyat mesti diyakinkan bahawa kewujudan blok ketiga ini adalah satu perancangan sulit dan rapi untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang yang semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat dewasa ini.” 

Memang pertandingan tiga penjuru ini amat ditakuti Lim Kit Siang – “the real existing King Maker amongst Pakatan Harapan.” Bukan “top dog” Tun Mahathir yang mengangkat dirinya sendiri sebagai “Ketua PH”. Lim Kit Siang selaku anak didik Lee Kuan Yew dan sudah 40 tahun lamanya berpolitk tentunya amat faham hati budi Tun M. LKS sekadar senyum dari jauh, menggerakkan strategi badut “Melayu lawan Melayu”nya sekian lama yang diidamkannya, yang sekarang sudah menjadi.

Pertandingan tiga penjuru di hampir semua medan Parlimen ataupun DUN yang melibatkan “BN lwn PH lwn PAS” akan membawa beberapa impak dan impilkasi. Tetapi ia memerlukan perancangan licik lagi strategik atas faktor-faktor berikut:-

(i) BN menang mudah di kawasan kuat BN.
(ii) PAS menang mudah di kawasan PAS dan mengambil kesempatan terutama di kawasan AMANAH/PAN sedia ada.
(iii) BN boleh menang tipis di kawasan 50-50 yang dahulunya dimenangi PH dengan sokongan ahli PAS.
(iv) PAS boleh menang tipis di kawasan 50-50 yang dimenangi BN dahulunya dengan sokongan ahli UMNO. 

Jika persefahaman ini dicapai, PRU-14 akan membawa satu dimensi politik baru selepas negara mencapai umur matang 60 tahun kemerdekaan.

Terkini, PAS menerusi Presidennya yang juga merupakan Naib Ketua Ulamak Sedunia bertekad untuk turun ke medan pilihanraya dengan azam (https://www.malaysiakini.com/news/394721) bahawa “PAS tidak bergantung pada kerusi!” 

Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan:

“Keyakinan PAS tetap bersama Islam yang berwawasan dunia sehingga akhirat, bukan sahaja mempertahankan apa yang sudah dicatat dalam perlembagaan itu, bahkan berusaha dan berjuang supaya disempurnakan mengikut Al-Quran dan kebijaksanaan Sunnah Rasulullah SAW, serta bekerjasama dengan sesiapa yang mahukan konsep kesempurnaan Islam ini ditegakkan.” 
“Dalam masa yang sama, PAS mengajak umat Islam dan bukan Islam dalam masyarakat majmuk menolak kumpulan yang bersekongkol menghalang usaha yang mulia ini untuk kebaikan bersama. Bagi umat Islam menjadi kewajipan akidah, syariat dan akhlaknya menegakkan kepimpinan Islam dan mempertahankannya dalam negara ini supaya menjadi teras kedaulatannya. PAS tidak mengira siapa sahaja yang mendukung cita-cita ini walaupun kehilangan kerusinya, kerana pergantungan PAS kepada Islam bukannya kerusi dan siapa orangnya.”

“Kerusi hanya alat dan wadah melaksanakan kewajipan, apabila ada orang di atas kerusinya yang boleh menunaikan kewajipan, kita wajib menolongnya. Maka jangan dapat kerusi sahaja tanpa menunaikan amanah menegakkan Islam, tanpa menafikan betapa pentingnya kerusi yang dapat, dan PAS boleh berpijak bersama Islam kalau dinafikan kerusinya sekalipun. PAS tetap berusaha mendapatkan kerusi bagi memimpin atau menjadi pembangkang yang menasihat, bukan merosak.
Jika benar bahawa itulah azam dan tekad seluruh jentera PAS pimpinan beliau dalam PRU-14 nanti, maka teringat kita akan suatu kisah 53 tahun dahulu di mana telah diceritakan bagaimana semasa menghadapi PRU ketika itu, Dr. Burhanuddin al-Helmi berceramah di dalam sebuah kebun getah selama lebih satu jam dengan dihadiri oleh sekitar 20-30 orang sahaja di Kg. Relau, Kedah. Dr. Burhanuddin menolak cadangan pihak penganjur untuk mengalihkan ceramah ke tempat lain yang lebih bersesuaian dengan tarafnya sebagai YDP PAS memandangkan majlis ceramah anjuran Kg Relau pada malam itu kurang sambutan dengan berkata: 

‘Biar pokok-pokok getah menjadi saksi bahawa kita telah datang untuk menyampaikan dakwah dan memberi peringatan…” (Pengkisahan Sejarah 50 Tahun PAS Kulim Bandar Baharu, Kulim: Dewan Pemuda PAS KBB, 2001 susunan Mohd. Nabil bin Abdul Hamid sempena sambutan 50 tahun PAS: 1951-2001, ms.22). 
Jawaban yang disertai ruh perjuangan mantap yang berkumandang pada tahun 1964 itu jugalah yang telah menjana dan membakar semangat pendukung PAS sehingga meraih kejayaan besar dalam Pilihanraya November 1999. 

Apakah semangat itu bakal berulang? Kita nantikan peranan mereka selaku King Maker!
















Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget