NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tabung Haji layak pantau syarikat pengendali umrah palsu - PPIM


Oleh Nadia Hamid
nnadia@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tabung Haji disyor menubuhkan Biro Pengurusan Kawal Selia Umrah, yang dikendalikan sepenuhnya agensi itu atau anak syarikatnya bagi menjamin hak pengguna daripada berterusan dianiaya syarikat pengendali umrah palsu. 

Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhamad Yusof Azmi, berkata Tabung Haji turut digesa menyediakan satu bentuk sistem pangkalan data berintegrasi antara agensi untuk membolehkan syarikat pelancongan membuat semakan atau kemaskini maklumat jemaah mereka.

Beliau berkata kerajaan menerusi agensi tertentu, juga digesa melahirkan lebih ramai mutawif tempatan dan tidak hanya bergantung kepada tenaga kerja mutawif luar, yang biasanya rakyat negara jiran, Indonesia.

Katanya, tiga penambahbaikan itu sekiranya dapat dilaksanakan dengan baik oleh kerajaan dan Tabung Haji, berupaya menyediakan satu mekanisme mengawal penipuan umrah dengan berkesan. 

"Kami (PPIM) bersetuju Tabung Haji mengambil alih tugas memantau syarikat pengendali umrah di seluruh negara kerana ia institusi berpengalaman dan diiktiraf cemerlang menguruskan jemaah haji serta umrah profesional.

"Kalau Tabung Haji boleh ambil tanggungjawab ini, saya yakin syarikat yang selama ini menipu jemaah tidak akan berani lagi menipu pengguna," katanya ketika dihubungi BH.

Beliau mengulas pembatalan pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) yang dilancarkan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, kelmarin.

Difahamkan, mekanisme baharu menggantikan sistem itu antara lain mempertimbangkan pengecualian GST, selain urusan dalam mekanisme baharu itu juga tidak akan membabitkan orang bukan Islam, selaras Lesen Khas Umrah (LKU).
 
Peraturan LKU menetapkan hanya warga tempatan beragama Islam boleh mengendalikan pakej umrah.

Selain itu, Muhamad Yusof turut mengesyorkan hanya syarikat pelancongan dan pengendali umrah dimiliki orang Islam dibenar menawarkan perkhidmatan itu, selain menetapkan syarat wajib syarikat baharu didaftarkan dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC).

Katanya, semua pihak perlu meletakkan kepentingan pengguna melebihi perkara lain dalam urusan Rukun Islam kelima kerana Islam adalah agama rasmi di negara ini.

"Analogi mudah, takkan urusan agama kita, nak suruh orang bukan Islam masuk campur dan tentukan keputusannya. Ini urusan kita, biarlah kita yang selesaikan," katanya.

© all rights reserved
made with by templateszoo