Header Ads

ORANG RAMAI DIMINTA MANFAATKAN APLIKASI VSP


Saya ingin memesan kepada umat Islam yang balik ke kampung masing-masing pada musim perayaan kali ini agar menggunakan kemudahan VSP bagi mengelak berlakunya kejadian jenayah terutama pecah rumah.



Shah Alam, 25 Jun - Seramai 321 orang di Selangor yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri menghantar Borang Maklumat Balik Kampung kepada pihak polis menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam tempoh 18 hingga 24 Jun ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata orang ramai harus memanfaatkan kemudahan itu dengan sebaiknya kerana dengan VSP, mereka tidak perlu ke balai polis berhampiran untuk meminta polis mengawasi harta benda mereka.

"Saya ingin memesan kepada umat Islam yang balik ke kampung masing-masing pada musim perayaan kali ini agar menggunakan kemudahan VSP bagi mengelak berlakunya kejadian jenayah terutama pecah rumah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri jamuan Aidilfiti di sebuah surau di Ibu Pejabat polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Aplikasi VSP yang dilancarkan 25 Mac lepas oleh polis bersempena Hari Polis ke-210, membolehkan masyarakat melaporkan kejadian jenayah dan kemalangan di kawasan mereka.

Menerusi aplikasi VSP ini, pengguna telefon pintar boleh menyalurkan aduan atau maklumat yang dilengkapi dengan video, gambar dan koordinat GPS lokasi kejadian kepada polis bagi membantu membasmi jenayah.

Polis mempunyai dua aplikasi utama iaitu VSP dan ‘Hotline 999’ yang boleh digunakan untuk menyalurkan sebarang maklumat dan panggilan kecemasan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor, SAC K. Kumaran berkata dalam tempoh seminggu Op Selamat 11 dilaksanakan, terdapat penurunan dalam bilangan kemalangan maut.

Namun kemalangan yang tidak membawa maut mencatatkan peningkatan.

Dalam pada itu, beliau berkata hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota polis Selangor dibenarkan cuti sempena hari raya tahun ini. - BERNAMA