Header Ads

Krisis Diplomatik Asia Barat: Apa Yang Berlaku.?


1. Pada pagi Isnin, 05 Jun 2017: Negara Arab Saudi bersama Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir mengisytiharkan mereka memutuskan hubungan diplomatik dengan Negara Qatar. Berkuatkuasa serta merta, segala jalan perhubungan melalui darat, udara dan air turut diputuskan.Tidak lama kemudian, Kerajaan Yaman, Timur Libya dan Maldives turut mengumumkan langkah yang sama.Namun demikian, tindakan ini tidak pula diikuti oleh Negara Kuwait dan Oman yang juga ahli dalam Gulf Cooperation Council (GCC). 

2. Mengapa Hubungan Diplomatik Diputuskan?

Arab Saudi bersama dengan negara yang seangkatan dengannya membuat keputusan ini kerana mendakwa Qatar terlibat dalam unsur aktiviti keganasan dan ektremisme iaitu menaja kumpulan Ikhwanul Muslimin, Al Qaeda, ISIS dan kumpulan pengganas yang disokong Iran. 
Dalam erti kata lain, Arab Saudi mengajak negara rakan yang bersekutu dalam GCC memulaukan Qatar kerana Qatar dilihat lebih cenderung, terbuka dan mesra terhadap Iran. 

3. Qatar bukanlah sebuah negara yang besar, ia hanya berkeluasan 11,586 kilometer persegi dengan jumlah penduduk 2.2 juta orang sahaja. Kelebihan pada Qatar ialah kekayaannya dalam sumber minyak dan gas asli. Negaranya kecil tetapi kaya. Maka, tidak hairanlah pendapatan perkapita rakyatnya adalah yang tertinggi di dunia iaitu $129,700 yang bersamaan dengan 595% purata pendapatan per kapita dunia. Dengan kekayaan negara tersebut, Qatar telah terpilih menjadi negara tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022 FIFA. 

Selain itu, aset strategik Qatar yang amat bernilai ialah rangkaian media Al Jazeera.  
Negara yang bersistemkan raja monarki keluarga Al Thani ini merupakan bekas tanah jajahan Inggeris, ia merdeka pada tanggal 3 September 1971.  Qatar kini dipimpin oleh Amirnya yang bernama Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

4. Apa beza Qatar dengan negara Arab yang lain?

Bezanya ialah pada dasar dan polisi antarabangsa yang bersifat lebih terbuka dan neutral. Polisi antarabangsa yang terbuka ini lebih mementingkan "soft power" seperti media, diplomasi, pendidikan, kebudayaan, sukan, pelancongan, ekonomi dan bantuan kemanusiaan. Ia membina hubungan strategik dengan negara yang berkuasa besar dan pertengahan. 

Hal ini membuatkan Qatar agak 'bebas' dalam menentukan dasar diplomatiknya. 

Di Qatar, terdapat pusat pengkalan tentera Amerika Syarikat yang terbesar di Asia Barat dengan jumlah tentera seramai 10,000 orang.

Pada masa yang sama, Qatar juga sering menjadi tempat transit dan pertemuan pimpinan utama gerakan Islam Hamas dan Ikhwanul Muslimin.

Bahkan, Syeikh Yusof Al Qardhawi yang menjadi buruan Kerajaan Mesir telah mendapat perlindungan di negara Qatar. Doha menjadi ibu pejabat Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh  Syeikh Yusof Al Qardhawi. 

Qatar juga bersikap agak terbuka dengan Iran.

Aneh bukan? Qatar ini berpihak kepada siapa sebenarnya?

Inilah yang dinamakan 'open foreign policy'.

5. Apa yang berlaku sebelum krisis ini?

a) Pada 21 Mei 2017: Arab Saudi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat. Tetamu istimewa sidang itu ialah Presiden US Donald Trump yang diberikan peluang berucap di hadapan kalangan 56 pemimpin negara Islam. Dalam ucapannya,Trump menyerang Iran yang dikatakan punca keganasan dan ketidakstabilan khususnya di rantau Asia Barat. Maka, dalam Deklarasi Riyadh mereka bersepakat untuk menentang keganasan yang secara tidak langsung ditujukan kepada Iran sebagai musuh yang perlu diperangi bersama. 
Hebat bukan?

Pemimpin Negara Arab sanggup bersekongkol dengan US yang berlagak suci lagi alim itu dalam menentang Iran yang dikatakan sumber keganasan. 

Adakah mereka ini terlupa selama ini US jugalah yang mencetus peperangan, menghuru-harakan dan mencabul kedaulatan negara ummat Islam.?

6. Siapa yang untung daripada krisis ini?

Antara respon terawal yang menyambut baik keputusan Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar ialah Israel melalui kenyataan Menteri Pertahanannya, Avigdor Lieberman yang memuji langkah menentang keganasan.Sungguh menyedihkan, negara ummat Islam sanggup memutuskan hubungan ukhwah sesama negara yang seakidah dengannya di bulan Ramadhan yang mulia ini demi mengikut telunjuk acuan kafir.

Namun, ini tidaklah mengejutkan sangat kerana pada 04 Jun 2017 telah didedahkan melalui media bahawa dalam emel Yousef al-Otaiba, Duta Negara UAE ke US. Dalam emel tersebut terkandung komunikasi yang begitu rapat antara Duta UAE dengan wakil Foundation for the Defense of Democracies, kumpulan pemikir strategik pro Israel yang berpusat di Washington. Mereka merancang untuk memburukkan imej Qatar dan Kuwait, peranan UAE dalam episod rampasan kuasa yang gagal di Turki, dan usaha menentang Hamas dan Ikhwanul Muslimin.  

7. Apa penyelesaian krisis ini?

Apabila berlakunya sesuatu krisis diplomatik, jalan yang terbaik ialah kembali ke meja rundingan. Pihak ketiga perlu memainkan peranan untuk mendamaikan yang bertelagah. Kelihatannya, usaha ini sedang giat dijalankan oleh Amir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah dan Presiden Turki Recip  Tayyip Erdogan.

Proses mediasi ini penting agar dapat merungkaikan perselisihan yang berlaku.
Akhirnya, kita akan dapat lihat nanti samada Qatar akan tunduk terhadap desakan Arab Saudi itu atau ia terus tegas  mempertahankan prinsipnya yang tersendiri.

*Nota Tambahan;
Semestinya kita menantikan ulasan Tuan Guru Presiden PAS berkenaan isu ini kerana beliau sememangnya individu pakar dalam bidang geopolitik antarabangsa. 

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli, 
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS 
06 Jun 2017