Header Ads

Jumpa Di Mahkamah, Dr Mujahid!

Seperti yang saya tulis di dalam satu lagi artikel Facebook saya bertajuk “Dr Mujahid Lambang Hipokrasi Pemimpin AMANAH” pada 31 Mei, tindakan Dr Mujahid mengambil tindakan undang-undang terhadap saya ini memberikan imej yang sangat buruk terhadap AMANAH. Ia menggambarkan bahawa AMANAH adalah sebuah parti “jumud” yang tiada kemampuan untuk berdialog seperti yang sering diwarwarkan dan bukannya sebuah parti “progresif” seperti yang terpamer di dalam cogan katanya. Ia juga menggambarkan bahawa ayat-ayat muluk yang terdapat di dalam Perlembagaan AMANAH mengenai “negara dan masyarakat madani”, “pendekatan berhikmah, kesederhanaan (wasatiyyah), keterbukaan dan demokrasi” dan “kebebasan-kebebasan asasi” hanyalah sekadar hiasan untuk mengelabukan mata semata-mata. - Dr. Kamarul Yusoff

Seperti dijangka, hari ini saya telah menerima satu notis tuntutan dari peguam bela Naib Presiden AMANAH merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, iaitu Awi & Co, sebuah syarikat guaman milik Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi, dan anak beliau yang merupakan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Mohd Fitri Asmuni.

Notis tuntutan ini menyebut bahawa artikel Facebook saya bertajuk “Dr Mujahid Antara Kuda Tunggangan Terbaik DAP” mengandungi beberapa kenyataan berunsur fitnah, iaitu:

“Saya waktu itu cukup terkejut bagaimana peruntukan-peruntukan yang mengiktiraf ketidakpercayaan agama serta mengiktiraf orientasi dan identiti seks songsang ini boleh wujud di dalam Rang Undang-Undang yang dirangka oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr Mujahid, yang waktu itu merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.”

“Bagaimanapun, setelah ini berlaku, tambahan pula setelah Dr Mujahid sendiri bertindak keluar dari PAS bersama-sama rakan-rakan sefikrah beliau untuk menubuhkan parti baru bernama AMANAH yang menunjukkan keintiman luar biasa pula dengan parti sekular tegar, DAP, maka tidaklah pelik bila beliau memerli saya mengenai buku Hannah ini.”

“Bila cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama yang pernah diutarakan oleh Karpal Singh ini diutarakan semula oleh Dr Mujahid maka terbuktilah bahawa Dr Mujahid, dan seterusnya AMANAH, adalah antara kuda tunggangan terbaik DAP.”

Notis tuntutan ini juga menyebut bahawa artikel Facebook saya ini mengakibatkan reputasi, karier dan nama baik Dr Mujahid telah tercemar, terjejas dan tercedera di mata rakyat negara ini sama ada di dalam dan/atau luar negara yang mendapat akses secara langsung dan tidak langsung kepada artikel tersebut.

Ekoran itu, saya diarahkan oleh Dr Mujahid supaya membuat permohonan maaf tidak bersyarat kepada beliau dalam tempoh tujuh hari dari notis ini dan jika saya gagal membuat permohonan maaf tidak bersyarat ini peguam bela beliau tidak akan teragak-agak untuk meneruskan prosiding undang-undang tanpa merujuk kepada saya semula.

Sebagai maklum balas, sukalah saya tegaskan kepada Dr Mujahid bahawa saya tidak sama sekali akan membuat sebarang permohonan maaf kepada beliau. Sebaliknya, saya tegas berpendirian bahawa apa yang saya nyatakan dalam artikel Facebook saya ini adalah tidak mengandungi sebarang fitnah.

Perlu dinyatakan bahawa kritikan saya terhadap kandungan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi yang dirangka oleh Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara, yang Dr Mujahid pengerusikan adalah kritikan sama yang telah saya buat di dalam artikel Facebook saya pada 21 Jun 2014.

Kritikan ini saya asaskan kepada Seksyen 4(1) Rang Undang-Undang ini yang mendefinisikan “kepercayaan” sebagai apa-apa kepercayaan agama atau falsafah dan satu rujukan kepada kepercayaan merangkumi satu rujukan kepada ketidakpercayaan dan yang mendefinisikan “agama” sebagai apa-apa agama dan merangkumi apa-apa kepercayaan atau ketidakpercayaan agama. 

Ia juga saya asaskan kepada Seksyen 6(1) Rang Undang-Undang ini yang memperuntukkan bahawa Kerajaan dan semua orang tidak boleh mendiskriminasi secara tidak adil terhadap mana-mana orang atas asas agama dan Seksyen 7(1)(ii) yang memperuntukkan bahawa Kerajaan dan semua orang tidak boleh mendiskriminasi secara tidak adil terhadap mana-mana orang atas asas jantina, termasuk orientasi dan identiti seks.

Dr Mujahid sedia maklum mengenai kewujudan kritikan ini sejak 21 Jun 2014 lagi kerana pada pukul 9:29 malam hari sama saya telah men”tag” akaun Facebook beliau dengan menulis “Minta komen Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa” yang ditambah dengan satu “tag” lagi pada pukul 10:49 malam hari sama dengan menulis “Mana Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ni, kurang gentleman nampaknya Datuk kita ni sebab tak sudi berwacana dengan orang seperti saya”. 

Jika benar kritikan saya terhadap kandungan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi ini adalah berunsur fitnah, mengapa Dr Mujahid tidak pernah mempertikaikannya waktu ia mula ditimbulkan pada 21 Jun 2014 sedangkan saya sendiri memberi ruang dan menjemput beliau mengulasnya?

Kenyataan saya bahawa Dr Mujahid adalah antara kuda tunggangan terbaik DAP kerana beliau mengutarakan semula cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama yang pernah diutarakan oleh bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, juga bukanlah berunsur fitnah.

Ini kerana sehingga kini Dr Mujahid tidak pernah menafikan ketepatan laporan portal berita The Malaysian Insight pada 24 Mei di bawah tajuk berbunyi “Hapuskan Parti Politik Berasaskan Kaum Dan Agama”. Selain tertera di dalam tajuknya, intipati apa yang saya nyatakan juga terkandung di dalam laporannya yang menyebut beliau mencadangkan bahawa satu perkara yang Pakatan Harapan perlu lakukan jika pakatan pembangkang memenangi Kerajaan Persekutuan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ialah untuk memastikan tiada lagi parti politik yang berasaskan kaum dan agama.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, yang juga merupakan anak lelaki Karpal Singh, iaitu Ramkarpal Singh, di dalam kenyataan media beliau bertajuk “Fully Agree With AMANAH Vice-President Dr Mujahid Yusof Rawa’s Proposal That The Time Has Come For Malaysia To Do Away With Race- And Religion-Based Politics” pada 25 Mei, yang menyokong cadangan Dr Mujahid ini juga memetik perkara sama mengenai cadangan ini iaitu, “to do away with race- and religion-based politics” (menghapuskan parti politik yang berasaskan kaum dan agama), dan ini juga tidak pernah dinadikan oleh Dr Mujahid.

Hakikat bahawa cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama ini pernah diutarakan oleh Karpal Singh juga turut saya buktikan di dalam artikel Facebook saya ini dengan memuatkan transkripsi rakaman sidang media beliau pada 5 November 2013 yang berbunyi “The government cannot allow associations which operate on racial lines, which operate on religious lines.” dan yang berbunyi “Operating along religious, racial lines, is a very dangerous thing in a multi-racial and a multi-religious society like ours. I think the time has come perhaps for all racial (and religious) parties to be deregistered, that will include unfortunately even PAS.”

Ramkarpal Singh, di dalam kenyataan media beliau, pun mengesahkan ketepatan kenyataan saya ini dengan menyebut bahawa cadangan mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama ini juga pernah diutarakan oleh Karpal Singh dengan menyebut “Such a proposal was also mooted by the late Karpal Singh in November, 2013 who suggested that such racial and raced based parties were a setback to the country’s unity and that the way forward was for multiracial parties to form the future of the country (The Star Online, 6.11.2013).”

Jadi di manakah letaknya unsur fitnah di dalam artikel Facebook saya ini?

Seperti yang saya tulis di dalam satu lagi artikel Facebook saya bertajuk “Dr Mujahid Lambang Hipokrasi Pemimpin AMANAH” pada 31 Mei, tindakan Dr Mujahid mengambil tindakan undang-undang terhadap saya ini memberikan imej yang sangat buruk terhadap AMANAH. Ia menggambarkan bahawa AMANAH adalah sebuah parti “jumud” yang tiada kemampuan untuk berdialog seperti yang sering diwarwarkan dan bukannya sebuah parti “progresif” seperti yang terpamer di dalam cogan katanya. Ia juga menggambarkan bahawa ayat-ayat muluk yang terdapat di dalam Perlembagaan AMANAH mengenai “negara dan masyarakat madani”, “pendekatan berhikmah, kesederhanaan (wasatiyyah), keterbukaan dan demokrasi” dan “kebebasan-kebebasan asasi” hanyalah sekadar hiasan untuk mengelabukan mata semata-mata.

Jika istilah “kuda tunggangan” yang menimbulkan masalah kepada Dr Mujahid, apa sangatlah istilah itu berbanding istilah-istilah yang jauh lebih teruk yang lebih dahulu digunakan oleh para pemimpin dan penyokong AMANAH untuk mengecam saya ekoran tindakan saya membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh. 

Tulisan Dr Mujahid bertajuk “Disiplin Ilmu Bukan Sentimen Murahan” pada 30 Mei pun menggunakan istilah-istilah yang teruk juga untuk mengecam saya, termasuk dengan menyifatkan saya sebagai “gila”, “jahil”, “bodoh” (‘cerdik’) dan “penulis upahan”.

Apa pun, seperti pernah saya tegaskan sebelum ini, saya sentiasa bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang dari Dr Mujahid. Tindakan undang-undang ini, bagi saya, sangat penting kerana ia adalah lambang kepada kehipokrasian pemimpin AMANAH.

Bila Dr Mujahid memilih mahkamah sebagai forum untuk berwacana dengan saya, maka kita jumpa sajalah di mahkamah. Tiada sekelumit pun rasa takut di dalam hati saya untuk berhadapan dengan beliau di mahkamah.