Header Ads

Lembaga Pengampunan Boleh laksana Diyat?




MELAKSANAKAN DIYAT MELALUI LEMBAGA PENGAMPUNAN: PERSPEKTIF PERLEMBAGAAN

OLEH: MUHAMMAD FATHI YUSOF

http://razakschool.utm.my/fathi/melaksanakan-diyat-melalui-lembaga-pengampunan-perspektif-perlembagaan/

Cadangan Lembaga Pengampunan Negeri Pahang untuk melaksanakan kaedah diyat atau pengampunan daripada waris mangsa adalah satu cadangan yang sangat dialu-alukan. Dalam majlis pada 2 Mei 2017, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa kaedah yang dicadangkan itu akan memberi peluang bagi pesalah untuk merujuk kepada keluarga mangsa bagi mendapat diyat atau diberi pengampunan, bergantung kepada jenis kesalahan.

Menurut Imam Al-Nawawi, diyat adalah harta yang wajib dibayar disebabkan oleh jenayah yang dilakukan ke atas nyawa atau selain nyawa. Abdul Qadir ‘Awdah pula berpendapat diyat adalah hukuman gantian kepada hukuman qisas sekiranya mengambil tempat kepada hukuman qisas, dan dalam masa yang sama, ia turut merupakan hukuman asal kepada kesalahan jenayah yang bersifat separuh sengaja.

Contoh hukum diyat ialah apabila seorang tertuduh disabitkan kesalahan membunuh dengan sengaja, maka keluarga mangsa mempunyai hak untuk menuntut diyat sebagai ganti kepada hukuman mati yang dikenali sebagai qisas, atau memaafkan pesalah itu tanpa sebarang tuntutan. Contoh lain ialah dalam kes pembunuhan secara tidak sengaja, apabila disabitkan bersalah, pembunuh itu akan dikenakan hukuman diyat, melainkan jika keluarga si mati memaafkannya. Hukuman diyat juga digunakan untuk kesalahan mencederakan orang lain. Kadar diyat adalah berbeza mengikut anggota yang cedera dan tahap kecederaan.

Nilai diyat bagi kesalahan membunuh secara umumnya ialah 100 ekor unta. Memandangkan sesetengah negara mengalami kesukaran untuk mendapatkan unta, maka perkiraan diyat boleh juga disandarkan kepada matawang mengikut kadar nilaian 100 ekor unta pada zaman Rasulullah SAW atau zaman khulafa’ al-Rasyidin iaitu sekitar 1000 dirham. Nilai 1000 dirham dalam ringgit Malaysia adalah sekitar RM600,000 hingga 700,000 ribu ringgit bergantung kepada harga semasa emas.

Dalam kes pembunuhan, hak diyat sepatutnya diberikan selepas mahkamah mendapati tertuduh itu bersalah. Maksudnya, mahkamah perlu memberikan hak kepada keluarga mangsa untuk membuat pilihan sama ada meneruskan hukuman mati (qisas) atau memilih hukuman diyat atau memaafkan pesalah tanpa sebarang hukuman.

Namun, dalam undang-undang jenayah yang digunapakai hari ini, iaitu berasaskan Kanun Kesiksaan, peruntukan berkaitan diyat dan kemaafan tidak dimasukkan. Mahkamah hanya boleh menjatuhkan hukuman yang diperuntukkan seperti hukuman gantung sampai mati, penjara atau sebat. Jika hukuman berbentuk diyat dan kemaafan hendak dikuatkuasakan, maka Parlimen perlulah meminda Kanun Kesiksaan dan Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan hakim menyerahkan pilihan kepada keluarga mangsa. Inilah langkah yang patut diambil oleh pemimpin kerajaan Persekutuan jika ingin memartabatkan hukuman diyat.

Peraturan bersabit diyat ini sebenarnya amat baik bagi menjamin keadilan, terutamanya untuk mangsa jenayah dan keluarganya. Dalam sistem sedia ada, wujud pengasingan yang tegar antara mahkamah jenayah dan mahkamah sivil. Mahkamah jenayah adalah melibatkan dua pihak iaitu pendakwaraya yang mewakili negara dan tertuduh. Mangsa boleh dipanggil sebagai saksi, tetapi tidak boleh menuntut pampasan dalam mahkamah jenayah. Bentuk-bentuk hukuman pula adalah terhad, dan tidak membela kepentingan mangsa atau keluarganya. Oleh itu, mangsa jenayah atau keluarga terpaksa membuat tuntutan sendiri melalui mahkamah sivil jika ingin menuntut ganti rugi atau pampasan seperti diyat.

Oleh itu, cadangan yang dinyatakan oleh Baginda Pemangku Raja Pahang telah membuka satu dimensi baru kepada mangsa dan keluarga mangsa untuk diberikan keadilan. Namun begitu, persoalan yang timbul ialah bagaimana konsep diyat ini boleh diaplikasikan melalui kuasa Lembaga Pengampunan. Sebelum menjawab persoalan ini, perlu diteliti terlebih dahulu kedudukan kuasa pengampunan dalam undang-undang Malaysia.

Menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkuasa memberi ampun (pardon), tunda hukum (reprieves) dan lega hukum (reprites) berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan dan kesalahan di bawah mahkamah tentera. Manakala Raja atau Yang Di-Pertua Negeri mempunyai kuasa yang sama bagi kesalahan yang berlaku di negeri masing-masing. Misalnya, jika jenayah itu berlaku di Kangar, Perlis, maka kuasa pengampunan itu adalah di bawah YAM Raja Perlis.

Walau pun kuasa ini diletakkan kepada YDPA, Raja-raja dan Yang Di-Pertua Negeri-negeri (YDPN), fasal (4) dan (11) dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Raja-raja dan YDPN serta YDPA melaksanakan kuasa ini melalui nasihat Lembaga Pengampunan Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan. Maksudnya dalam soal pengampunan ini, YDPA dan Raja-raja serta YDPN perlu bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan.

Siapakah anggota Lembaga Pengampunan? Menurut Perlembagaan, lembaga ini perlu dianggotai oleh Peguam Negara atau wakilnya, Menteri Besar atau Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan, dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik. Mesyuarat lembaga ini perlu dipengerusikan sendiri oleh YDPA, Raja-raja atau YDPN.

Apabila kita membincangkan soal kuasa pengampunan ini, adalah wajar untuk kita meneliti lebih mendalam berkenaan kuasa ini. Memandangkan YDPA dan Raja-raja juga adalah ketua bagi agama Islam, maka timbul persoalan sama ada kuasa pengampunan ini mempunyai kaitan dengan ajaran Islam atau tidak.

Jika diteliti prinsip Islam dari sudut hukuman, kita dapati Islam menetapkan keadilan untuk semua tanpa sebarang pilih kasih. Keadilan adalah sesuatu yang wajib ditegakkan tanpa ada pengaruh kecenderungan kasih sayang atau permusuhan. Rasulullah SAW sendiri menyebut bahawa, jika anak kesayangannya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, dia juga pasti akan dihukum dengan hukuman potong tangan.

Lebih jauh lagi konsep pengampunan dan kemaafan tertakluk kepada tahap-tahap yang berbeza-beza. Dalam Islam manusia mempunyai had dalam memberikan kemaafan dan pengampunan. Dosa yang melibatkan hak Allah seperti meninggalkan solat, atau kesalahan mencuri dan merompak yang terletak di bawah kategori hudud tidak boleh diampunkan oleh manusia. Manusia hanya boleh memaafkan kesalahan orang lain ke atas dirinya sendiri.

Pemerintah dalam Islam, memegang amanah Tuhan, bukannya mewakili kuasa Tuhan sebagaimana yang diamalkan dalam konsep pemerintahan teokratik pada Zaman Pertengahan di Eropah. Oleh itu, dalam Islam, pemerintah tidak mempunyai kuasa pengampunan bagi mana-mana kesalahan jenayah. Jika ada pertimbangan untuk meringankan hukuman sekalipun, ia perlu dibuat mengikut kaedah yang jelas, telus dan adil.

Konsep pengampunan yang tersurat dalam Perlembagaan kita ini sebenarnya bukan dari tradisi Islam atau Kesultanan Melayu. Andrew Harding misalnya mengaitkan konsep ini dengan amalan ‘royal prerogative of mercy’ atau ‘prerogatif belas kasihan diraja’ yang wujud dalam sistem perundangan Inggeris sejak tahun 1617. Dalam kes, Sim Kie Chon lwn. Superintendent of Pudu Prison & Ors [1985] 2 MLJ 385, HB (Malaya) Abdul Hamid menyebut bahawa kuasa pengampunan adalah kuasa tinggi prerogative of mercy yang bersifat eksekutif tetapi sifatnya itu menjadikannya tidak boleh diganggu atau diubah oleh kajian semula kehakiman. Pendirian yang serupa juga dibuat dalam kes Juraimi Bin Husin lwn. Lembaga Pengampunan, Negeri Pahang & Ors [2001] 3 MLJ 458.

Walau pun konsep ‘prerogatif belas kasihan diraja’ yang dikuatkuasakan melalui Perkara 42 ini bukan berasal dari prinsip Islam, namun tidak menjadi halangan kepada pemerintah untuk memanfaatkan konsep ini untuk kebaikan Islam. Jadi, asal usul konsep ini tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menolak saranan yang dikemukakan oleh Baginda Pemangku Raja Pahang baru-baru ini. Menyerahkan kuasa pengampunan kepada mangsa atau keluarga mangsa dalam kes-kes yang tertentu berasaskan prinsip diyat merupakan satu langkah berjiwa besar bagi menjernihkan penggunaan kuasa pengampunan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mungkin ada yang mempertikaikan cadangan ini dengan alasan bahawa penetapan diyat tidak disebut dalam Perkara 42 dan di luar bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan YDPA, Raja-raja dan YDPN. Perlembagaan menyebut tiga betuk kuasa iaitu memberi ampun (pardon), tunda hukum (reprieves) dan lega hukum (reprites) tanpa menyebut sebarang halangan kepada Lembaga Pengempunan untuk mengenakan syarat atau prosedur kepada salah satu atau ketiga-tiga kuasa tadi. Oleh yang demikian, pada dasarnya tidak ada apa-apa halangan kepada Lembaga Pengampunan untuk meletakkan syarat kepada pengampunan tadi.

Oleh itu, pihak Lembaga Pengampunan Pahang misalnya, boleh membuat satu garis panduan amalan diyat yang berkuatkuasa di bawah kuasa Sultan dan Lembaga Pengampunan Pahang menurut kuasa umum Perkara 42. Contohnya, apabila seorang tertuduh dikenakan hukuman mati kerana kesalahan membunuh, urusetia Lembaga Pengampunan boleh mendapatkan maklumbalas dari keluarga si mati menurut hukum syarak sama ada ingin menuntut diyat, atau memafkan terus atau meneruskan hukuman mati itu. Jika keluarga si mati memilih untuk menerima diyat, maka Lembaga Pengampunan boleh memberikan tawaran pengampunan menurut kuasa di bawah Perkara 42, dengan syarat pesalah itu terlebih dahulu menguruskan pembayaran diyat pada jumlah yang ditetapkan oleh syarak. Bila pembayaran diselesaikan, maka pesalah itu dibebaskan tanpa perlu dikenakan hukuman mati.

Jika kaedah ini dilaksanakan, maka sebahagian daripada prinsip hukum Islam dapat dilaksanakan. Walau bagaimana pun mekanisme ini hanya sesuai untuk kesalahan yang melibatkan hak mangsa atau keluarga mangsa terutamanya di bawah kategori qisas dan diyat. Kaedah ini tidak boleh digunapakai untuk kesalahan seperti mencuri, merogol dan merompak walau pun atas alasan untuk membela nasib mangsa. Pembelaan kepada mangsa boleh dibuat melalui kaedah lain seperti melalui tuntutan sivil, atau melalui pindaan kepada undang-undang bagi memperuntukkan hak mangsa untuk menerima pampasan dalam prosiding jenayah.

Adalah diharapkan langkah ini turut diikuti oleh negeri-negeri lain serta di peringkat Wilayah Persekutuan. Secara tidak langsung langkah yang datang dari inisiatif istana ini mampu memberikan dorongan kuat kepada pemimpin politik yang menguasai kerajaan untuk mengerakkan langkah menyeluruh ke arah pembaharuan undang-undang jenayah di Malaysia. Terdapat banyak mutiara-mutiara indah dalam sistem perundangan Islam yang belum dimanfaatkan dalam sistem undang-undang jenayah. Prinsip keadilan Islam seperti diyat dan lain-lain sepatutnya diserap masuk ke dalam Kanun Kesiksaan dan Kanun Tatacara Jenayah, walau pun tanpa label dan jenama Islam.

Kesimpulannya, cadangan yang dikemuakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah satu cadangan yang sangat penting bagi menyebarkan rahmat keadilan yang berasaskan wahyu Ilahi. Prinsip diyat mempunyai bayak manfaat kepada semua pihak dan memang sewajarnya diketengahkan melalui ruang yang ada. Peranan dan kuasa Lembaga Pengampunan dalam soal ini tidak boleh dipertikaikan kerana ia bertindak berdasarkan prerogatif belas kasihan diraja yang secara tradisinya tidak dipertikaikan oleh mahkamah. Namun demikian, usaha ini sewajarnya disusuli dengan langkah yang lebih bermakna untuk meluaskan rahmat keadilan hukum Allah melalui pembaharuan dalam undang-undang jenayah di Malaysia.