#AKTA164 Wajar Di Kaji Semula Secara Menyeluruh - 1Media.My

Header Ads

#AKTA164 Wajar Di Kaji Semula Secara Menyeluruh

Implikasi menyeluruh yang bakal timbul daripada Akta 164 ini adalah sangat serius, iaitu terhadap kebebasan umat Islam untuk mengamalkan agama mereka dan mempertahankan aqidah tanpa gangguan daripada mana-mana pihak sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, pencemaran terhadap keutuhan institusi Mahkamah Syariah dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan etnik dalam negara kita. - Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.
Kenyataan Media Presiden PAS

AKTA 164 WAJAR DI KAJI SEMULA SECARA MENYELURUH

Sebagaimana yang tertera dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada hari Selasa 4 April 2017 (D.R.20/2016), pihak Kerajaan adalah dalam proses untuk meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 yang juga dikenali kini sebagai Akta 164.  Akta 164 ini adalah secara langsung berkaitan terhadap hak kekeluargaan orang Islam di Mahkamah Sivil, status agama anak, hak penjagaan, nafkah dan pengagihan harta.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berpandangan bahawa implikasi menyeluruh yang bakal timbul daripada Akta 164 ini adalah sangat serius, iaitu terhadap kebebasan umat Islam untuk mengamalkan agama mereka dan mempertahankan aqidah tanpa gangguan daripada mana-mana pihak sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, pencemaran terhadap keutuhan institusi Mahkamah Syariah dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan etnik dalam negara kita.

Oleh yang demikian, PAS mencadangkan agar Akta 164 ini dikaji semula secara mendalam, menerusi pembentukan satu Jawatankuasa Khas untuk merangka dan mengemukakan satu penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif. Jawatankuasa ini perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan sama ada daripada kalangan penganut Islam dan juga agama-agama lain, mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil, pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya yang merupakan pihak yang terkesan secara langsung dalam pindaan Akta 164 ini.

“Inilah Penyelesaian Kita” 

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

7 Rejab 1438H / 4 April 2017M

Sumber: https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/11192-kenyataan-media-presiden-pas-akta-164-wajar-dikaji-secara-menyeluruh