NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU 355: Hanya Pinda Akta, Bukan Perlembagaan

Kekeliruan timbul kerana ramai yang salah erti akan pindaan akta ini sebagi pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Sebenarnya isu ini hanya membabitkan usul pindaan Akta 355  dan Mahkamah Syariah, dan bukannya membabitkan perlembagaan.
RASANYA ramai yang masih keliru berhubung rancangan Pas Kelantan mengusulkan pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). Perkara utama yang perlu difahami di sini ialah, usul ini bukan untuk meminda Perlembagaan, tetapi sekadar meminda satu akta yang bertujuan memantapkan kedudukan Mahkamah Syariah.

Sebab itu, untuk meluluskan akta ini hanya memerlukan majoriti mudah di Parlimen dan bukanya majoriti dua pertiga.

Kekeliruan timbul kerana ramai yang salah erti akan pindaan akta ini sebagi pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Sebenarnya isu ini hanya membabitkan usul pindaan Akta 355  dan Mahkamah Syariah, dan bukannya membabitkan perlembagaan.

Majoriti mudah (simple majority) bermaksud jumlah undi yang diperolehi mestilah sama atau melebihi jumlah undi yang menentang.

Manakala untuk tujuan meminda Perlembagaan Persekutuan pula diperlukan persetujuan dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Ini bermaksud jumlah persetujuan yang lebih banyak daripada majoriti mudah, iaitu undi majoriti dua pertiga ahli parlimen. Maknanya pertiga 148 daripada 222 orang ahli parlimen mesti bersetuju atau menyokong.

Realiti politik hari ini kalau digabungkan semua ahli Parlimen beragama Islam dari UMNO, Pas, PKR, Amanah, PBB dan DAP jumlah mereka hanya 135 orang. Ini tidak memenuhi bilangan majoriti untuk meminda Perlembagaan.

Persoalannya sekarang ialah apakah yang sebenarnya yang dicadangkan oleh Pas Kelantan? Pas Kelantan mencadang untuk meminda akta berhubung Mahkamah Syariah dan bukannya meminda Perlembagaan Persekutuan. Perkara utamanya adalah cadangan meminda Akta 355 supaya bidang kuasa Mahkamah Syariah dapat dipertingkatkan dan diperluaskan sejajar dengan peningkatan janayah keganasan masa kini.

Secara tidak langsung, ini dapat menaikkan taraf Mahkamah Syariah yang masih di takuk lama dengan hukumannya yang paling tinggi jauh lebih rendah dari Mahkamah Majistret iaitu maksimum tiga tahun penjara, enam kali sebatan, denda RM5000 atau kombinasi antaranya.

Secara realiti, kesalahan-kesalahan jenayah syariah sudah termaktub dalam undang-undang sedia ada Malaysia, sama ada di dalam Kanun Keseksaan atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri.

Namun, hukumannya tidak selari dengan hukuman sebenar yang disediakan oleh syariah kecuali kesalahan yang membawa hukuman takzir. Sekiranya pindaan Akta 355 ini diluluskan, empat daripada enam kesalahan syariah itu sudah boleh dilaksanakan.

Apabila berlaku pertentangan di antara undang-undang negeri yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan undang-undang persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen, maka Perlembagaan memperuntukkan bahawa undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen yang dikira sah. Ini bermakna, dalam kes jenayah Kanun Keseksaan akan terpakai. Di sinilah perlunya kepada usul untuk menggunapakai Perkara76A(1). Usul ini bukan bermaksud meminda Perlembagaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan pada 29 Mei 2016 berulangkali mengingatkan bahawa hanya Perkara 76A(1) digunapakai dan bukannya meminda Perlembagaan.

Perkara 76A(1) memberi kuasa kepada Parlimen untuk membenarkan mana-mana negeri membuat undang-undang untuk dilaksanakan dalam negeri tersebut walaupun ia adalah di bawah bidang kuasa Parlimen. Untuk meluluskan usul pindaan Akta 355 dan usul di bawah Perkara 76A(1) ini pula hanya memerlukan undi majoriti mudah sahaja dan bukannya majoriti mutlak dua pertiga.

Jika perlembagaan yang hendak dipinda sudah tentu memerlukan persetujuan majoriti dua pertiga. Namun apa yang diusulkan oleh Pas Kelantan bukannya untuk meminda perlembagaan. Sebaliknya, Pas Kelantan hanya memohon kebenaran Parlimen untuk menggunakan perkara 76 (A) 1 bagi meminda Akta 355 memandangkan ia di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Sekiranya usul ini diluluskan dan pindaan dibuat terhadap Akta 355, ia akan terpakai kepada kesemua Mahkamah Syariah di Malaysia. Dengan itu semua Mahkamah Syariah boleh menggunakan pakai semua jenis hukuman melainkan hukuman mati dengan syarat kesalahan-kesalahan itu diperuntukkan di dalam enakmen masing-masing.

Kenapa pindaan ini perlu dibuat di Parlimen? Walaupun kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam urusan agama Islam,ini tidak bermakna kerajaan negeri mempunyai kuasa eksklusif untuk membuat undang-undang dalam semua perkara berkaitan dengan Islam.

Keadaan ini berlaku kerana Perlembagaan hanya menghadkan kuasa kerajaan negeri di dalam perkara yang berkaitan dengan undang-undang keluarga, wakaf, zakat dan jenayah-jenayah syariah, sedangkan hukum Islam adalah luas mencakupi segala bidang kehidupan.

Isu ini timbul buat pertama kalinya ketika Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan dengan sebulat suara Enakmen Jenayah Syariah II, 1993 pada 25 November 1993. Seterusnya Dewan Undangan Negeri Terengganu pula meluluskan Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 bagi menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam pada tahun 2002.

Pada ketika itu enakmen-enakmen ini tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa faktor di antaranya halangan perundangan dan tidak mendapat persetujuan dari kerajaan Persekutuan walaupun pada dasarnya enakmen-enakmen ini adalah sah dan boleh dikuatkuasa sebagai undang-undang negeri.

Antara halangan perundangan yang berkaitan ialah enakmen ini merangkumi kesalahan-kesalahan yang sebahagian besarnya bertindih dengan kesalahan-kesalahan yang termasuk di dalam Jadual Kesembilan Senarai Persekutuan. Oleh kerana kesalahan-kesalahan ini terdapat dalam undang-undang Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan, ia juga bercanggah dengan butiran 1, Senarai Negeri yang menghadkan kuasa membuat undang-undang jenayah Islam setakat mana ia tidak ‘berkaitan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan’.

Berikutan itu, Prof. Ahmad Ibrahim mencadangkan dua tindakan yang boleh dilakukan oleh Parlimen iaitu, pertama, meluaskan kuasa kerajaan Negeri Kelantan melalui Perkara 76A serta meminda atau memansuhkan Akta 355 1965; atau kedua, meminda Senarai Negeri dengan meluaskan bidang kuasa perundangan negeri-negeri.

Sejajar dengan itu, Pas Kelantan memohon usul untuk mengguna pakai Perkara76A(1) dan meminda Akta 355 dan ini hanya memerlukan persetujuan majoriti mudah di Parlimen bagi membantu memperkasakan Mahkamah Syariah. 

Penulis merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, email: roosniza@outlook.com


See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/ruu-355-hanya-pinda-akta-bukan-perlembagaan-1.417411#sthash.nN4xhDZH.dpuf
© all rights reserved
made with by templateszoo