Header Ads

Petugas kesihatan digerakkan ke semua pusat pemindahan banjir

Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengutamakan kebersihan persekitaran dan mendapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di pusat pemindahan atau kemudahan kesihatan yang berhampiran sekiranya mengalami sebarang gejala penyakit.

KUALA LUMPUR: Pasukan perubatan dari pejabat kesihatan daerah yang terbabit dengan banjir telah digerakkan ke semua pusat pemindahan dan bersedia melakukan pemeriksaan serta rawatan sekiranya ada mangsa yang tidak sihat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasukan kesihatan juga telah dihantar untuk menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi memantau, mengesan dan mengawal penyakit berjangkit.

"Sehingga kini tiada kejadian wabak penyakit berjangkit dilaporkan berlaku di kawasan yang terlibat," katanya dalam kenyataan, di sini pada Ahad.

Menurutnya sehingga kini tiada kemudahan kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan yang dilaporkan terjejas akibat banjir.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata kementerian akan terus memantau situasi banjir dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sekiranya keadaan bertambah buruk.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit, antaranya tidak bermain dengan air banjir, mengambil air minuman dan makanan yang bersih dan tidak tercemar, serta sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri semasa banjir.

Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mengutamakan kebersihan persekitaran dan mendapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di pusat pemindahan atau kemudahan kesihatan yang berhampiran sekiranya mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, batuk dan sebagainya. – Bernama


http://www.astroawani.com/berita-malaysia/petugas-kesihatan-digerakkan-ke-semua-pusat-pemindahan-banjir-kp-kesihatan-127613