NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Monolog

Kuat pun tidak, perlahan pun tidak. Cukup diriku saja mendengarnya.

Oleh: AtTapawi

Jam 11.00 malam. Tubuh amat merasa letih. Usai kerja lapangan tanpa henti dari pagi hingga malam.

Kerut dahi pun belum reda. Minda kotor datang berceloteh.

"Sampai bila aku nak hidup macam ni. Letih. Takde hasil."

Tuala di penyangkut disambar. Kaki melangkah ke tandas. Air pancutan dibuka. Habis basah seluruh badan.

Aku berdiri sambil kepala menunduk ke bawah.

Suasana jeda seketika. Bunyi air pancutan menghempas lantai membawa aku berkhayal sementara. Ahhh. Keluhan tadi meracau kembali.

"Kenapa aku fikir macam tu tadi?" Hatiku bermonolog.

"Tak patut macam tu."

Tanganku menyikat rambutku yang panjang. Jari-jariku yang kasar membelah sisir rambut yang membasah. Air pancutan masih setia menumpah ke badanku.

Aku terduduk. Dadaku sebak. Air mataku bercucuran mengalir. Sederas air mandi yang mengalir membasahi tubuhku.

"Setan mana yang mengacau aku ni?" Aku berdialog dengan nada perlahan. Kuat pun tidak, perlahan pun tidak. Cukup diriku saja mendengarnya.

"Tak patut aku mengeluh begitu. Sedang Tuhan mendengar keluhan aku."

Jeda. Bunyi air menumpah menutup sunyi.

"Jika nak dibandingkan letih aku, dengan letihnya para sahabat, para anbiya' dan para ulama'. Tak tumpah macam sebutir pasir."

Hukkkk.. hukkk.. hukkk..

Tiba-tiba esakan memecah suasana. Terkeluar dari rongga suara yang bertakung dengan sebak.

Mindaku membilang-bilang nama sahabat yang diuji.

Khabab, Bilal, Ammar, Sumayyah, Saad bin Muadz. Esakanku semakin menjadi-jadi. Sebak yang seakan tiada henti.

Tokkk. Tokkk. Tokkk.

Pintu bilik air diketuk.

"Hasan. Kau okay ke?" Musa menyapa dari luar.

"Haaa. Aku okay." Perlahan suara menyahut. Baki sebak masih tersisa dalam nada itu.

Bangkit sambil sapu-sapu air mata.

Usai berwuduk, pili air ditutup. Kaki kanan melangkah keluar dari ruangan bilik mandi. Menuju ke bilik persalinan.

Tubuhku mengadap kiblat. Tanganku menadah tinggi ke langit.

"Ya Tuhan, Ampunilah keluhan hamba-Mu ini. Sungguh aku lalai dari mengingati-Mu."

Harapan seorang hamba pada Tuhan.

"San. Jom solat dengan aku. Aku tak solat lagi." Musa datang dari belakang. Menyapa ringkas.

"Baik. Tengah bersiap ni."

(Attapawi)

Bekerja kerna ikhlas, bukan mahukan balas.

Bekerja kerna Tuhan, bukan kerna pujian.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo