NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GAGASAN Menyokong Penggubalan Akta Sumbangan Dan Perbelanjaan Politik


GAGASAN memberi sokongan penuh kepada usaha yang dirintis oleh kerajaan untuk menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik, serta langkah-langkah untuk membasmi amalan politik wang dan budaya rasuah.

SIDANG AKHBAR GAGASAN SEJAHTERA (GAGASAN)

GAGASAN MENYOKONG PENGGUBALAN AKTA SUMBANGAN DAN PERBELANJAAN POLITIK

Pada hari ini, 28 November 2016, GAGASAN secara tegasnya menyokong usaha Kerajaan Malaysia untuk menggubal satu akta baru yang dinamakan AKTA SUMBANGAN DAN PERBELANJAAN POLITIK seperti yang telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, pada 30 September 2016 yang lalu. GAGASAN melihat usaha yang dirintis oleh Kerajaan Malaysia ini merupakan satu langkah penyelesaian akar umbi yang penting untuk membasmi amalan politik wang dan budaya rasuah yang sudah menjadi barah yang tersangat serius kepada negara pada masa kini. Sehubungan dengan itu, GAGASAN mendesak supaya penggubalan akta tersebut dan kelulusannya di Parlimen dicapai sebolehnya di sesi Parlimen pada awal tahun hadapan, iaitu awal 2017. 

Adalah dimaklumkan bahawa GAGASAN sebenarnya telah membentuk sebuah Jawatankuasa Bertindak mengenai Amalan Politik Wang dan Budaya Rasuah bulan Julai 2016, dua bulan sebelum deraf Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik diumum oleh Datuk Paul Low baru-baru ini. Jawatankuasa Bertindak tersebut telah menyediakan sebuah memorandum mengenai kawalan urus selia dana politik dan pembasmian amalan politik wang. Di dalam memorandum tersebut, GAGASAN telah mencadangkan beberapa langkah penting untuk mengurus selia dana politik dan membasmi politik wang termasuklah cadangan supaya digubal satu akta yang berkaitan. Cadangan ini selari dengan usaha yang dilakukan oleh Datuk Paul Low untuk menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik tersebut.

Bagaimanapun, memorandum yang akan dikemukakan oleh GAGASAN ini turut meliputi beberapa langkah yang lebih proaktif ke arah membasmi amalan politik wang dan budaya rasuah dalam negara ini. Antara langkah proaktif yang dicadangkan GAGASAN ialah cadangan supaya membenarkan sesebuah parti politik menubuhkan syarikat bagi membiayai kegiatan politik mereka secara telus dan saranan supaya kerajaan memberi geran tahunan kepada parti-parti politik dalam melaksanakan kegiatan mereka dalam kalangan masyarakat. Memorandum tersebut juga mencadangkan penggubalan akta baru selari dengan apa yang diusulkan oleh Kerajaan Malaysia. Bagaimanapun, memorandum GAGASAN turut mencadangkan beberapa aspek penting yang tidak begitu disentuh oleh deraf cadangan Datuk Paul Low seperti penglibatan industri haram dalam membiayai ahli dan parti politik, serta beberapa perkara penting yang lain.

GAGASAN juga dengan tegasnya tidak dapat menerima beberapa perkara yang telah diusulkan dalam deraf cadangan yang telah diisytiharkan oleh Datuk Paul Low baru-baru ini. Jika cadangan-cadangan tersebut diterima, maka bukan sahaja pengawalan urus selia dana politik tidak akan Berjaya malah ia akan memburukkan lagi rasuah yang sudah menular dan membara di seluruh badan negara dan system kerajaan sekarang. Antara cadangan yang dibantah adalah cadangan agar dibuang terus segala had terhadap perbelanjaan politik, khususnya pada waktu musim pilihanraya. Begitu juga dengan cadangan agar tidak dikenakan had untuk sebarang sumbangan politik atau penerimaan sumbangan tersebut dalam kalangan pihak-pihak berkenaan. Cadangan-cadangan seperti ini, kami pasti bukan sahaja akan menggagalkan segala tujuan murni dalam deraf cadangan untuk menggubal undang-undang tersebut malah sebaliknya akan memburukkan lagi keadaan yang sedia ada.

GAGASAN sedang berusaha untuk bertemu dengan Datuk Paul Low, SPRM, Jabatan Hasil Dalam Negeri dan lain-lain agensi Kerajaan yang berkaitan untuk mengemukakan memorandum yang telah disediakan. Dalam pertemuan tersebut akan dijelaskan secara lebih terperinci cadangan-cadangan yang terdapat dalam memorandum yang telah GAGASAN sediakan. Adalah diharapkan dengan pertemuan-pertemuan tersebut, GAGASAN akan turut dilibatkan secara lebih aktif dalam usaha membasmi amalan politik wang dan budaya rasuah di masa akan datang, terutama yang berkaitan dengan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh GAGASAN dalam memorandum tersebut. Sekali lagi GAGASAN memberi sokongan penuh kepada usaha yang dirintis oleh kerajaan untuk menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik, serta langkah-langkah untuk membasmi amalan politik wang dan budaya rasuah.


Yang Ikhlas

Dato’ Tuan Ibrahim Bin Tuan Man
Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Bin Hj. Sheikh Fadzir
Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo