Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rafizi perlu muhasabah diri, henti tunding jari – Michael Sia



KUALA LUMPUR — Seorang pemimpin cabang PKR Pahang menggesa bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli supaya berhenti menuding jari kepada pihak lain dan sebaliknya melakukan muhasabah diri berhubung pelbagai isu yang dibangkitkan terhadapnya.

Pengerusi Biro NGO MPN Pahang merangkap Ketua Cabang PKR Maran, Michael Sia Wei Lung berkata, Rafizi seharusnya melihat kembali rekod pentadbirannya serta memberikan penjelasan yang telus kepada rakyat.

“Sehingga hari ini, beliau masih gagal menjawab persoalan asas, ratusan juta duit kerajaan digunakan dan apakah hasil nyata yang benar-benar dirasai rakyat?

“Retorik yang selama ini dilaungkan ternyata tidak diterjemahkan menjadi impak sebenar dalam kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Michael turut membangkitkan isu pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang menurutnya menimbulkan polemik apabila rakyat didakwa ditekan untuk mendaftar.

“Sistem PADU yang diperkenalkan dengan memaksa rakyat berdaftar dan menggambarkan seolah-olah akan kehilangan bantuan kerajaan jika tidak mendaftar.

“Pendekatan berasaskan ketakutan ini bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan gaya kepimpinan yang akhirnya menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan ekonomi negara ketika itu,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh kenyataan Rafizi dalam satu platform podcast semalam yang didakwa tidak menjawab isu pokok, sebaliknya menyalahkan pelbagai pihak.

Disebabkan itu, sentimen akar umbi semakin jelas menunjukkan tiada lagi kepercayaan terhadap Rafizi Ramli,” katanya.

Tegasnya, sudah tiba masanya bekas Menteri Ekonomi itu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu yang dibangkitkan dan tidak lagi berlindung di sebalik retorik.

“Sudah tiba masanya Rafizi Ramli berhenti menyalahkan pihak lain dan mula bermuhasabah. Kepimpinan bukan diukur melalui retorik atau platform podcast, tetapi melalui keupayaan memikul tanggungjawab dan membuktikan hasil yang nyata kepada rakyat,” katanya. — MalaysiaGazette













........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pas Selangor tawar dua ADUN sertai Sumud Flotilla, sanggup tanggung kos sendiri



KUALA LUMPUR – Pas Selangor menawarkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 yang bakal diketuai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, pihaknya menyokong penuh pelantikan Amirudin sebagai wakil khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengetuai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau menegaskan misi berkenaan amat signifikan sebagai simbol solidariti berterusan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus berdepan krisis kemanusiaan semakin meruncing.

“Pas Selangor menawarkan dua ADUN untuk menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Pas sejak sekian lama komited menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin melalui pelbagai saluran termasuk Pas Relief serta kerjasama dengan organisasi kemanusiaan antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, tawaran menghantar dua wakil ADUN dibuat sebagai tanda solidariti tanpa syarat terhadap rakyat Palestin serta komitmen merentas perbezaan politik dalam isu kemanusiaan sejagat.

“Penyertaan wakil Pas dalam delegasi ini diyakini dapat memperkukuh mesej bahawa rakyat Malaysia bersatu dalam membela nasib umat yang tertindas,” katanya lagi.

Beliau berkata, Pas juga bersedia memikul risiko dan tanggungjawab misi mencabar itu sekiranya penyertaan wakil mereka diperlukan dalam apa jua kapasiti.

Dalam masa sama, Pas Selangor memaklumkan pihaknya sanggup menanggung sendiri kos penyertaan sekiranya terdapat kekangan pembiayaan daripada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri Selangor.

Tambahnya, penyertaan pelbagai pihak termasuk pembangkang dalam delegasi tersebut diyakini mampu menghantar mesej jelas bahawa rakyat Malaysia bersatu membela nasib rakyat Palestin serta serius memperjuangkan kebebasan dan keadilan sejagat.

“Pas Selangor percaya bahawa pendekatan inklusif dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk pembangkang akan memberi isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia benar-benar serius dalam memperjuangkan kebebasan dan keadilan untuk Palestin,” kata Ab Halim lagi.

Sebelum ini, Amirudin diamanahkan untuk mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza dan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.

Menurut kenyataan pejabat menteri itu, misi berkenaan akan membawa sebanyak 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang kini berdepan situasi semakin rumit di Gaza. 

Delegasi Malaysia dalam Misi Bantuan Kecemasan ke Gaza serta Global Sumud Flotilla 2.0 yang berlepas pada Ahad ini. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Jangan pindah beban secara senyap kepada rakyat



KUALA LUMPUR – Ekonomi negara tidak boleh dipulihkan dengan cara memindahkan beban secara senyap kepada rakyat yang semakin tersepit dengan kenaikan kos sara hidup.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr. Armin Baniaz Pahamin sebaliknya berkata, kerajaan perlu menangani krisis yang berlaku dengan segera dan berkesan bagi mengelakkannya berkembang menjadi cabaran yang lebih besar.

Menurut beliau, pendapatan rakyat tidak berkembang seiring dengan kenaikan kos hidup sehingga menimbulkan tekanan terhadap isi rumah walhal mekanisme perlindungan yang menyeluruh masih belum dirasai secara efektif di peringkat akar umbi.

Ujar beliau, kenaikan kos hidup yang sedang berlaku berpotensi menimbulkan krisis kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan untuk mengurus ekonomi secara adil, inklusif dan berkesan.

“Apabila rakyat mula hilang keyakinan terhadap keadilan ekonomi, maka yang terhakis bukan sekadar kuasa beli, tetapi asas kepercayaan terhadap sistem itu sendiri,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook hari ini.

Armin Baniaz selanjutnya berkata, rakyat Malaysia hari ini bukan sekadar berdepan kenaikan harga, tetapi sedang melalui satu perubahan struktur ekonomi yang meningkatkan kos hidup.

Katanya, perkembangan itu mengecilkan kuasa beli dan memberi tekanan yang semakin berat kepada golongan pertengahan serta berpendapatan rendah.

Ujar beliau, rakyat kini menilai melalui pengalaman hidup harian berdasarkan harga barang di pasar, kos makan dan minum di kedai kopi, bil elektrik yang semakin meningkat serta kos pengangkutan untuk berulang-alik bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

Katanya, dalam sektor makanan, persatuan peniaga dan laporan media menunjukkan bahawa kos telah meningkat antara 30 peratus hingga 50 peratus dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Jelas beliau, kesan ini dapat dilihat secara langsung pada harga makanan harian, sebagai contoh, harga roti canai yang sebelum ini sekitar RM1.20 kini boleh mencecah RM2.00 hingga RM2.50 di kawasan bandar.

“Pada masa yang sama, tarif elektrik telah meningkat sekitar 14 peratus dalam kitaran pelarasan semasa manakala perbelanjaan subsidi sebelum ini mencecah berbilion ringgit sebelum langkah rasionalisasi dilaksanakan.

“Apa yang sedang berlaku di Malaysia hari ini bukan lagi soal persepsi, tetapi satu realiti ekonomi yang semakin jelas dan tidak boleh disangkal,” ujarnya.

Armin Baniaz seterusnya menyatakan, sejak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan di bawah kerangka MADANI, negara telah melalui satu gelombang pelarasan dasar yang membawa kepada kenaikan kos hidup secara berlapis, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Ujar beliau, meskipun sebahagian tekanan berpunca daripada faktor global seperti harga komoditi dan kadar pertukaran mata wang, dasar domestik tetap memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana beban tersebut dipindahkan kepada rakyat.

Jelasnya, penarikan subsidi diesel telah meningkatkan kos bahan api dalam sektor logistik.

Kata beliau, dalam struktur ekonomi Malaysia yang sangat bergantung kepada rangkaian pengangkutan, kenaikan tersebut hampir pasti dipindahkan kepada pengguna melalui harga runcit yang lebih tinggi.

“Pada masa yang sama, pelarasan tarif elektrik telah meningkatkan kos operasi industri dan perniagaan, yang seterusnya memberi kesan rantaian kepada harga barangan dan perkhidmatan.

“Secara keseluruhan, langkah-langkah ini membentuk satu tekanan inflasi yang bersifat menyeluruh dalam ekonomi domestik,” jelas beliau.

Armin Baniaz selanjutnya menyatakan, kerajaan menggunakan istilah seperti `rasionalisasi subsidi’ dan `subsidi bersasar’ untuk menggambarkan pendekatan ini sebagai sebahagian daripada reformasi fiskal yang perlu.

Namun katanya, realiti pelaksanaan menunjukkan bahawa sebahagian besar beban kewangan telah dialihkan secara berperingkat daripada kerajaan kepada rakyat.

Ujar beliau, apa yang dahulu ditanggung oleh negara kini dipindahkan kepada pengguna, sama ada melalui kenaikan harga secara langsung atau melalui kesan rantaian dalam struktur kos ekonomi.

Ujarnya, kesan yang paling membimbangkan ialah berlakunya fenomena yang boleh digambarkan sebagai `inflasi senyap’ atau inflasi berlapis.

“Apabila kos pengangkutan meningkat, harga barang turut naik. Apabila kos tenaga meningkat, harga makanan dan perkhidmatan juga meningkat,” ujarnya. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Desakan undur Rafizi alih fokus isu lebih besar dalam PKR -INCOTT



KUALA LUMPUR – Desakan agar Datuk Seri Rafizi Ramli berundur daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menyelesaikan isu sebenar, sebaliknya berpotensi mengalih perhatian daripada cabaran lebih besar yang sedang dihadapi parti itu termasuk kemerosotan sokongan rakyat dan persiapan menghadapi pilihan raya negeri Melaka.

Setiausaha Kehormat Kumpulan Pemikir Penyelarasan India (INCOTT), Muhammad Navalan Abdullah berkata, suara kritikal yang dibawa Rafizi bukan sesuatu yang asing dalam sejarah PKR, tetapi selari dengan semangat reformasi yang menjadi asas perjuangan parti sejak penubuhannya.

Menurutnya, pendekatan untuk menyingkirkan beliau dilihat tidak wajar, sebaliknya parti disaran memahami dan mengangkat semula inti perjuangan yang dibawa, khususnya usaha mengembalikan kekuatan era Reformasi.

“Dalam masa sama, kebimbangan turut disuarakan terhadap penurunan sokongan masyarakat India dan Cina terhadap PKR yang didakwa semakin ketara kebelakangan ini.

“Perkara itu dianggap serius dan memerlukan tindakan segera serta strategi lebih tersusun, termasuk pendekatan menyeluruh di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Navalan mendakwa, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PKR dikatakan berdepan risiko besar termasuk kemungkinan gagal memenangi sebarang kerusi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan agar peranan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka perlu diperkasa.

Ini terutama dalam mendekati golongan muda dan komuniti setempat berbanding terus terlibat dalam polemik dalaman yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Situasi itu dilihat sebagai amaran kepada pimpinan parti, khususnya sayap pemuda, agar kembali memberi fokus kepada kerja lapangan dan usaha membina semula keyakinan pengundi.

“Selain itu, persoalan turut dibangkitkan mengenai ketiadaan suara pemimpin muda parti dalam situasi genting ini yang sepatutnya tampil ke hadapan memberikan arah dan inspirasi kepada ahli serta penyokong,” ujarnya.

Muhammad Navalan turut mengingatkan pimpinan agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dengan menekankan kepentingan kebijaksanaan berbahasa bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh serta menjejaskan imej parti.

Secara keseluruhannya tambah beliau, perjuangan PKR tidak harus tertumpu kepada individu semata-mata, sebaliknya perlu kembali kepada prinsip asas keadilan, reformasi dan keberanian untuk berubah di samping memperkukuh sokongan rakyat melalui kerja lapangan yang konsisten. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Kritikan terbuka Rafizi boleh jejaskan keharmonian PKR – MPN Johor



KUALA LUMPUR – Tindakan berterusan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli menyuarakan pandangan secara terbuka kini mencetuskan perbincangan hangat yang berpotensi menjejaskan keharmonian dalaman serta kekuatan Parti PKR.

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Johor berpandangan, pendekatan menyuarakan isu secara terbuka, khususnya yang melibatkan tuduhan serius, perlu ditangani dengan lebih berhati-hati agar tidak menjejaskan disiplin parti serta kepercayaan anggota.

Katanya, jika matlamat utama adalah untuk memperkukuh parti, pandangan seharusnya disalurkan melalui saluran yang sesuai bagi mengelakkan ruang dimanipulasi oleh pihak luar.

“MPN Keadilan Johor menegaskan bahawa, situasi semasa bukan lagi sekadar keberanian bersuara, sebaliknya berpotensi disalah tafsir sebagai tindakan yang boleh memberi kesan kurang baik terhadap kestabilan parti.

“Justeru pendekatan lebih berhemah amat diperlukan,” kata kenyataan MPN yang dikeluarkan Pengerusinya Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Timbalannya, Md Yusahrudin Kusni.

Tambah kenyataan itu, tindakan bekas pimpinan yang terus mengkritik secara terbuka juga menimbulkan persoalan dalam kalangan anggota mengenai hala tuju serta keutamaan bersama parti.

Pada masa sama katanya, MPN Keadilan Johor menunjukkan komitmen untuk mempertahankan kestabilan dan memastikan parti terus bergerak ke hadapan secara tersusun, selain menyeru agar sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej parti ditangani dengan bijaksana. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Rafizi akui ‘gagal’ diamkan diri, bodek PM



KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui beliau merupakan seorang bekas menteri Kabinet yang paling gagal mendiamkan diri dan kuat bersuara apabila menyedari wujudnya amalan rasuah dalam Kerajaan Madani.

Bekas Menteri Ekonomi itu mengakui dirinya seorang bekas menteri yang ‘gagal’ kerana tidak membodek pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya ‘gagal’ berdiam diri bila saya rasa ada rasuah, lagi tinggi pangkat, lagi kuat saya bersuara. Sebahagian ‘kegagalan’ saya itu ada kesan kepada masyarakat.

“Saya juga ‘gagal’ dalam membodek. Kalau harga tidak membodek itu bermakna saya diserang, dimaki atau dicerca.

“Saya ‘gagal’ takut dan tidak sekali-kali akan membodek sesiapa pun yang berkuasa,” katanya menerusi rakaman video dalam hantaran terbaru di akaun Facebooknya hari ini.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu juga mengakui ‘gagal’ untuk berhenti mendedahkan banyak skandal dan kontroversi meskipun disiasat, disaman dan dikenakan tekanan.

“Jumlah kes dan siasatan yang saya terpaksa lalui sejak 2010 hingga sekarang sudah mencecah 20 kes, sebahagiannya menyebabkan saya dilokap dan dijatuhkan hukuman penjara. Tapi saya tetap ‘gagal’ berhenti,” katanya.

Katanya lagi, perkara yang paling beliau ‘gagal’ kerana tidak meletakkan kepentingan peribadi dan keluarga setelah memikul amanah sebagai Ahli Parlimen Pandan.

“Setelah anak saya diserang, isteri saya diugut, sepatutnya saya ikut saja apa yang mereka mahu, saya berhenti dari politik, cium tangan dan membodek, walaupun saya tahu ada perkara yang tidak kena.

“Tapi sebab saya sudah setuju untuk pikul amanah, mahu tidak mahu, selagi itulah saya perlu teruskan ‘kegagalan’ saya.

“Biarlah gagal di mata manusia, apatah lagi di mata pencacai berbayar, daripada gagal di mata Allah,” katanya.

Bagaimanapun Rafizi boleh berbangga kerana serangan dan pendedahan beliau terhadap salah laku rasuah bekas Perdana Menteri dan ahli Parlimen PKR berasas dan masih tidak dikenakan tindakan.

“Minggu ini, Datuk Seri Najib diarahkan membayar lebih RM5 bilion kepada kerajaan akibat penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB.

“Masa saya mula-mula dedah mengenai SRC dan 1MDB, ramai pencacai yang memaki fitnah, gagal, sotong dan macam-macam. Minggu ini, mahkamah membuktikan kegagalan saya itu ada kebenaran.

“Minggu ini juga, kenyataan saya yang menamakan Naib Presiden PKR, R. Ramanan sebagai ahli Parlimen yang menerima RM9.5 juta daripada Victor Chin dalam kes mafia korporat masih tidak dicabar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette













........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Madani Mart ‘copy paste’ Kedai Rakyat 1Malaysia?



BANGI, 14 SYAWAL – Pengumuman mengenai Madani Mart iaitu inisiatif membangunkan rangkaian kedai runcit berasaskan komuniti mengundang kritikan dan sindiran orang ramai.

Ia kerana, ramai menganggap inisiatif itu sebagai ‘meniru’ usaha yang pernah diilakukan ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) pada 2011.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh dalam hantaran di Facebook menyatakan bahawa Madani Mart dibangunkan untuk memastikan barangan keperluan harian kekal mampu milik dan mudah diakses.

Ia sebagai usaha kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan menjual barangan keperluan pada harga lebih rendah.

“Dalam masa sama, ia membuka ruang kepada komuniti dan usahawan tempatan untuk turut serta.

“Madani Mart akan berkembang ke seluruh negara dan anda boleh jadi antara terawal menyertainya,” katanya.

Susulan itu, pengguna media sosial tidak melepaskan peluang ini menyindir dan turut mempersoalkan perbezaan antara Madani Mart dan KR1M.

Pemerhatian TV Pertiwi dalam siri hantaran di media sosial berkaitan Madani Mart meraih begitu banyak komen berbentuk sindiran kepada kerajaan hari ini dan memuji era pentadbiran Najib.

Untuk rekod, era pentadbiran Najib menyaksikan perkenalan kepada inisiatif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Pusat Transformasi Bandar (UTC), Klinik 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)  selain KR1M.

“Terima kasih Datuk Seri Najib Razak Kedai 1 Malaysia,” tulis seorang pengguna media sosial bernama Syed Naqib.

“Tahniah DS Najib Razak. Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tukar signboard sahaja,” tulis Ym Syakir.

“Kelahiran semula Kedai 1Malaysia. Terima kasih DS Najib,” kata Hawa Adenan.

Fuziah kemudian dilihat membalas komen itu dan menegaskan bahawa model perniagaan Madani Mart adalah tidak sama.


Sumber | TV Pertiwi





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

JPJ teliti Akta 333, sasar hukuman lebih berat pesalah di bawah pengaruh alkohol



PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini memulakan penelitian dan semakan terhadap beberapa seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 [Akta 333] bagi membolehkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dikenakan hukuman lebih berat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ melalui bahagian undang-undang telah memulakan semakan serta penelitian lanjut terhadap Seksyen 44 dan Seksyen 45 APJ 1987.

Beliau berkata, proses tersebut dilaksanakan terlebih dahulu sebelum ia dibawa kepada perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk sebarang ketetapan.

"Menteri Pengangkutan telah mengarahkan MOT dan JPJ untuk meneliti semula Seksyen 44 dan Seksyen 45 di bawah APJ.

"Ini untuk kita kenakan tindakan yang lebih keras dan tegas kepada pesalah yang melibatkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh (DUI) iaitu mabuk ataupun dadah untuk kita kenakan tindakan yang lebih berat,” katanya.

Ditemui pemberita selepas perhimpunan setia JPJ di sini pada Jumaat, beliau berkata, JPJ akan mengerakkan program advokasi yang lebih agresif bagi memberi kesedaran bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

"Kita akan buat persediaan untuk advokasi yang lebih agresif untuk antipemandu mabuk di jalan raya,” katanya.

Mengenai cadangan supaya diwujudkan satu mahkamah khas bagi kes kemalangan besar dan serius, Aedy Fadly berkata, JPJ mengalu-alukan cadangan berkenaan yang boleh meningkatkan kesedaran umum tentang aspek keselamatan jalan raya.

"Kita mengalu-alukan sekiranya ada keputusan untuk mewujudkan mahkamah yang berasingan, tetapi kita faham ia akan melibatkan beberapa implikasi seperti kewangan, sumber manusia dan sebagainya. Jika ada keputusan kerajaan untuk mewujudkan mahkamah khas itu kita sangat alu-alukan,” katanya.

Pada Isnin lepas, Anthony berkata, kementeriannya sedang merangka pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 APJ 1987, termasuk mewajibkan pampasan kepada keluarga mangsa.

Pada 29 Mac lepas, seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor, manakala dua hari kemudian satu lagi insiden di Jalan Pintasan Kajang-Semenyih menyebabkan enam individu termasuk seorang kanak-kanak cedera, kedua-dua kes disyaki melibatkan pemandu mabuk. - Bernama







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PM lancar Madani Mart, sasar 640 premis seluruh negara



KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan kedai runcit MADANI Mart yang pertama di negara ini melalui cawangan Indera Mahkota 8 (IM8) pada Jumaat.

Beliau tiba kira-kira jam 3 petang sebelum menyempurnakan majlis perasmian diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut meninjau dan ‘berbelanja’ di Madani Mart berkenaan sebelum beredar meneruskan jadual lawatannya ke Kuantan.

Inisiatif Madani Mart yang diterajui Yayasan Madani itu merupakan strategi Kerajaan Madani dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menangani cabaran kos sara hidup secara menyeluruh.

Sementara itu, Fuziah berkata, Madani Mart merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai oleh rakyat, berteraskan slogan ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’.

Menurutnya, pendekatan itu menekankan prinsip keterjangkauan, kebolehcapaian dan keadilan harga, selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani.

“Pelaksanaan Madani Mart digerakkan melalui model kerjasama strategik melibatkan sektor awam, swasta dan sosial.

“Kerjasama itu terdiri daripada Yayasan Madani sebagai pemacu utama menyelaras ekosistem serta rantaian bekalan; KPDN sebagai rakan strategik melalui inisiatif Jualan Rahmah bagi memastikan penyediaan barangan keperluan pada harga lebih rendah secara bersasar; serta operator atau pemegang lesen (swasta) sebagai pelaksana operasi dengan pelaburan dan komitmen bagi memastikan kelangsungan premis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Madani Mart IM8, Indera Mahkota di sini pada Jumaat.

Fuziah berkata, bagi memperluas capaian, Yayasan Madani menyasarkan sekurang-kurangnya satu kedai itu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sasaran minimum 640 premis di seluruh negara dalam tempoh dua tahun, disokong enam hab pengedaran utama.

Sementara itu, Fuziah menafikan bahawa inisiatif Madani Mart merupakan ‘ciplak’ atau model kedai rakyat yang pernah diperkenalkan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, Madani Mart menggunakan pendekatan baharu tanpa melibatkan perbelanjaan modal kerajaan.

Katanya, berbeza dengan model terdahulu yang memerlukan kerajaan menyediakan peruntukan besar termasuk kos pengubahsuaian premis dan inventori, pelaksanaan Madani Mart dilakukan melalui kerjasama dengan pengusaha yang diluluskan.

“Pendekatan itu menjadikan Madani Mart sebagai model yang memberi manfaat kepada semua pihak tanpa membebankan kerajaan.

“Model terdahulu kerajaan mengeluarkan modal, melakukan pengubahsuaian, menyediakan rak dan menanggung kos inventori sehingga ratusan ribu ringgit bagi setiap outlet.

“Dalam Madani Mart ini, kerajaan tidak mengeluarkan modal. Ia model menang-menang kepada semua pihak dan yang paling mendapat manfaat ialah rakyat,” katanya.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo