KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui beliau merupakan seorang bekas menteri Kabinet yang paling gagal mendiamkan diri dan kuat bersuara apabila menyedari wujudnya amalan rasuah dalam Kerajaan Madani.
Bekas Menteri Ekonomi itu mengakui dirinya seorang bekas menteri yang ‘gagal’ kerana tidak membodek pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya ‘gagal’ berdiam diri bila saya rasa ada rasuah, lagi tinggi pangkat, lagi kuat saya bersuara. Sebahagian ‘kegagalan’ saya itu ada kesan kepada masyarakat.
“Saya juga ‘gagal’ dalam membodek. Kalau harga tidak membodek itu bermakna saya diserang, dimaki atau dicerca.
“Saya ‘gagal’ takut dan tidak sekali-kali akan membodek sesiapa pun yang berkuasa,” katanya menerusi rakaman video dalam hantaran terbaru di akaun Facebooknya hari ini.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu juga mengakui ‘gagal’ untuk berhenti mendedahkan banyak skandal dan kontroversi meskipun disiasat, disaman dan dikenakan tekanan.
“Jumlah kes dan siasatan yang saya terpaksa lalui sejak 2010 hingga sekarang sudah mencecah 20 kes, sebahagiannya menyebabkan saya dilokap dan dijatuhkan hukuman penjara. Tapi saya tetap ‘gagal’ berhenti,” katanya.
Katanya lagi, perkara yang paling beliau ‘gagal’ kerana tidak meletakkan kepentingan peribadi dan keluarga setelah memikul amanah sebagai Ahli Parlimen Pandan.
“Setelah anak saya diserang, isteri saya diugut, sepatutnya saya ikut saja apa yang mereka mahu, saya berhenti dari politik, cium tangan dan membodek, walaupun saya tahu ada perkara yang tidak kena.
“Tapi sebab saya sudah setuju untuk pikul amanah, mahu tidak mahu, selagi itulah saya perlu teruskan ‘kegagalan’ saya.
“Biarlah gagal di mata manusia, apatah lagi di mata pencacai berbayar, daripada gagal di mata Allah,” katanya.
Bagaimanapun Rafizi boleh berbangga kerana serangan dan pendedahan beliau terhadap salah laku rasuah bekas Perdana Menteri dan ahli Parlimen PKR berasas dan masih tidak dikenakan tindakan.
“Minggu ini, Datuk Seri Najib diarahkan membayar lebih RM5 bilion kepada kerajaan akibat penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB.
“Masa saya mula-mula dedah mengenai SRC dan 1MDB, ramai pencacai yang memaki fitnah, gagal, sotong dan macam-macam. Minggu ini, mahkamah membuktikan kegagalan saya itu ada kebenaran.
“Minggu ini juga, kenyataan saya yang menamakan Naib Presiden PKR, R. Ramanan sebagai ahli Parlimen yang menerima RM9.5 juta daripada Victor Chin dalam kes mafia korporat masih tidak dicabar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment