NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAN hilang satu-satunya kerusi, PKR gagal cari sokongan di Melaka



PETALING JAYA:
 PRN Melaka menyaksikan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi mengalami kekalahan, yang keempat berturut-turut selepas pilihan raya negeri di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

PH hanya meletakkan 24 calon daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka, selain menjalin kerjasama pilihan raya dengan bekas sekutunya, Bersatu, yang bertanding di tujuh kerusi.

Gabungan pimpinan Anwar Ibrahim itu memenangi empat kerusi, berkurangan satu berbanding lima kerusi yang diraih pada PRN 2021.

Bersatu pula gagal memenangi sebarang kerusi, termasuk empat kawasan yang ditandinginya tanpa berdepan calon PH dan tiga lagi kawasan yang menyaksikan calon kedua-dua pihak bertembung.

Dalam kalangan parti komponen PH, DAP menunjukkan prestasi paling baik, seperti yang turut berlaku pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

DAP mempertahankan empat kerusi dimenanginya lima tahun lalu, manakala Amanah kehilangan satu-satunya kerusi yang dimilikinya.

PKR pula sekali lagi gagal memenangi sebarang kerusi, sama seperti pada PRN 2021.

DAP berjaya mempertahankan dua kubu kuatnya yang mempunyai majoriti pengundi Cina, iaitu Bandar Hilir dan Kota Laksamana, dengan selesa, selain mengekalkan penguasaan di dua kerusi campuran, Kesidang dan Ayer Keroh.

Bagaimanapun, Amanah menerima tamparan hebat apabila Naib Presidennya, Adly Zahari, yang juga bekas ketua menteri Melaka, tewas kepada calon PAS Ridzuan Sarif di Bukit Katil selepas menyandang kerusi itu selama dua penggal.

Adly, yang menerajui kerajaan negeri dari 2018 hingga 2020, merupakan calon paling menonjol diketengahkan PH, selain menjadi pilihan gabungan itu untuk kembali menerajui pentadbiran Melaka.

Kekalahannya di Bukit Katil, sebuah kerusi campuran dengan pengundi Melayu merangkumi kira-kira 64%, mencerminkan kegagalan PH secara keseluruhan menyaingi penyatuan undi Melayu hasil kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

PKR juga sekali lagi mencatat prestasi mengecewakan walaupun bertanding paling banyak kerusi dalam kalangan parti PH, mengulangi nasib yang menimpanya pada PRN Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.

Sementara itu, persefahaman pilihan raya antara PH dengan bekas sekutunya, Bersatu, dilihat tidak mempunyai hala tuju dan komitmen yang jelas, sekali gus gagal memberi kesan bermakna terhadap keputusan pilihan raya.

Antara faktor yang mungkin menyumbang kepada keadaan itu ialah tentangan dalam PKR sendiri terhadap kerjasama dengan Bersatu, parti yang terlibat dalam Langkah Sheraton sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PH yang memerintah di peringkat persekutuan dari 2018 hingga 2020.

Keputusan PRN Melaka dijangka menguatkan lagi desakan supaya pilihan raya umum diadakan lebih awal. Namun, persoalannya ialah bagaimana PH mahu menangani naratif penyatuan Melayu yang dibawa BN dan PN.

Kemenangan besar BN pada PRN Melaka 2021 tidak membolehkannya memenangi satu pun daripada enam kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU 2022.

Bagaimanapun, keadaan itu berkemungkinan berubah pada PRU akan datang susulan penyatuan undi Melayu menerusi kerjasama BN-PN.


Sumber | FMT Malaysia











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo