NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Najib Tiba di Langgak Duta, Disambut Laungan “Bossku” Penyokong

KUALA LUMPUR, 10 November 2026 – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta kira-kira jam 9.27 malam ini bagi memulakan baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah.

Ketibaan beliau disambut laungan “Bossku” oleh sekumpulan penyokong yang telah berkumpul di sekitar kediaman berkenaan sejak petang bagi menantikan kepulangannya.

Najib tiba dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak, diiringi konvoi beberapa kenderaan Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Suasana di sekitar kediaman bekas Presiden UMNO itu turut dipenuhi pengamal media tempatan dan antarabangsa yang membuat liputan perkembangan berkenaan.

Kepulangan Najib ke kediaman peribadinya itu menyusul keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengeluarkan perintah baharu bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin sebelum itu membatalkan perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu yang memperincikan pelaksanaan tahanan di rumah selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pelaksanaan tahanan di rumah itu turut disusuli pewartaan kediaman Najib sebagai tempat penahanan yang sah di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995.

Perkembangan tersebut menamatkan penangguhan pelaksanaan tahanan di rumah yang sebelum ini berlaku susulan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan penjelasan dan pembetulan terhadap dokumen perintah mahkamah terdahulu.

Najib dijadualkan menjalani tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 bagi menjalani hukuman berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketibaan beliau malam ini sekali gus menandakan bermulanya fasa baharu pelaksanaan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu, dengan kediamannya di Langgak Duta menjadi lokasi menjalani baki hukuman bagi kes SRC International. - 1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo