NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fokus menang Melaka dulu, kerjasama PH-Bersatu fikir kemudian – Adam



AYER KEROH – Pakatan Harapan (PH) mahu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terlebih dahulu sebelum memikirkan sebarang kemungkinan persefahaman atau kerjasama politik dengan Bersatu selepas pilihan raya.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan calon perpaduan yang diketengahkan PH memperoleh kemenangan, bukannya membuat keputusan mengenai percaturan politik selepas pilihan raya.


Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang persefahaman rasmi antara PH dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka dan sebarang keputusan mengenai kerjasama politik perlu dibincangkan serta diputuskan di peringkat Majlis Presiden PH.

Beliau berkata, sebarang perkembangan atau pertemuan politik tidak boleh dianggap sebagai keputusan rasmi selagi belum ada ketetapan daripada kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.

“Jadi buat masa ini kita mahu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menang dalam PRN Melaka. Kita mahu bekerja habis-habisan bagi memastikan calon perpaduan kita mendapat kemenangan.


“Soal kerjasama atau persefahaman dengan Bersatu, perkara itu boleh dibincangkan kemudian kerana setakat ini belum ada sebarang keputusan rasmi,” katanya pada sidang media harian Pakatan Harapan (PH) di Bilik Gerakan Utama PH, di sini hari ini.


Mengulas kemungkinan wujudnya kerjasama lebih luas selepas PRN Melaka, Adam Adli berkata, landskap politik negara masih berkembang dan beberapa perkara perlu diberikan perhatian sebelum sebarang keputusan dibuat.

Antaranya termasuk hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, perkembangan di Dewan Rakyat serta kedudukan dalaman Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Katanya, semua perkembangan itu perlu dinilai secara menyeluruh sebelum PH menentukan pendekatan politik seterusnya, terutama dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dijangka berlangsung sekitar tahun depan.

Beliau berkata, PH juga tidak menutup ruang untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang merasakan terdapat keperluan untuk meneroka pendekatan atau kerjasama politik baharu.


Bagaimanapun, katanya, sebarang perbincangan tidak bermakna keputusan telah dicapai kerana ia masih tertakluk kepada persetujuan kepimpinan tertinggi gabungan.

Adam Adli berkata, buat masa ini seluruh jentera PH perlu memberikan komitmen sepenuhnya kepada kempen PRN Melaka dan berusaha memastikan kemenangan calon-calon perpaduan sebelum meneliti semula hala tuju politik selepas pilihan raya. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo