NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bajet tinggi bukan bukti pendidikan berkualiti – Dr Anuar



BANGI, 25 JAMADILAWAL — Peruntukan besar kepada sektor pendidikan belum boleh dianggap sebagai bukti kejayaan sekiranya tidak disertai peningkatan kualiti dan pencapaian pendidikan.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, rakyat mahu melihat hasil daripada peruntukan yang semakin meningkat setiap tahun.

“Dengan hanya ‘menjaja’ kononnya kita telah menyediakan peruntukan yang tinggi untuk pendidikan, itu bukanlah bukti akhir bahawa kita telah berjaya mencapai kualiti pendidikan.

“Rakyat nak tengok hasil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau mengakui sektor pendidikan sekian lama menerima peruntukan tertinggi dalam belanjawan negara tanpa mengira kerajaan yang memerintah dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang baik serta perlu diteruskan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah peruntukan yang tinggi bukanlah pengakhiran kepada usaha menjayakan pendidikan, sebaliknya baru menjadi titik permulaan.

Menurut beliau, perkara yang turut perlu dinilai ialah sama ada hasil pendidikan bertambah baik seiring peningkatan peruntukan setiap tahun.

Dr Anuar menyamakan keadaan itu dengan majikan yang menaikkan gaji pekerja, namun pada masa sama perlu menilai sama ada langkah berkenaan meningkatkan produktiviti, kualiti produk dan keuntungan syarikat.

“Sepatutnya itulah ukuran akhir yang mesti digunakan. Kalau gaji pekerja sahaja semakin meningkat tetapi produktiviti semakin merosot, lama-kelamaan boleh gulung tikar syarikat sebegitu,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan kejayaan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira hasil dan pulangan pelaburan atau ROI yang diperoleh.

Beliau turut memberikan China dan Vietnam sebagai contoh negara yang menurutnya mencatatkan pencapaian pendidikan lebih tinggi meskipun peratus perbelanjaan pendidikan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah daripada Malaysia.

“Lebih malang lagi, bila hanya bajet pendidikan sahaja semakin meningkat setiap tahun tetapi pencapaian pendidikan pula semakin merosot. Itu memang parah,” katanya.

Dr Anuar turut mempersoalkan sama ada keadaan sedemikian menunjukkan wujudnya ketidakcekapan dalam perancangan dan pelaksanaan sistem pendidikan negara.

“Ibaratnya, nak berniaga keluar modal besar, tapi hasilnya asyik rugi sahaja,” katanya.

Sebagai info Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kekal menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2027, iaitu hampir RM69 bilion berbanding RM66.2 bilion pada 2026.


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo