NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sabah berdepan risiko ekonomi jika keluar Malaysia – Pakar



  • Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam UIAM,  Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata Sabah berpotensi berdepan tekanan fiskal dan ketidaktentuan pelaburan sekiranya keluar daripada Malaysia, berikutan keperluan menanggung sendiri kos pertahanan, keselamatan, pentadbiran serta menentukan aturan monetari negara baharu.
  • Beliau berkata Sabah mempunyai sumber ekonomi seperti petroleum, gas asli, kelapa sawit dan pelancongan, namun kekuatan itu perlu dinilai bersama ekosistem ekonomi yang menyokong pembangunan negeri berkenaan.
  • “Persoalan yang lebih utama bukanlah sama ada Sabah mampu berdiri secara berasingan, tetapi bagaimana kekuatan ekonominya dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dalam kerangka Persekutuan,” katanya kepada The Merdeka Times.

KUALA LUMPUR –  Sabah berpotensi berdepan tekanan fiskal dan ketidaktentuan pelaburan sekiranya keluar daripada Malaysia, berikutan keperluan menanggung sendiri kos pertahanan, keselamatan, pentadbiran serta menentukan aturan monetari negara baharu.

Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, Sabah mempunyai sumber ekonomi seperti petroleum, gas asli, kelapa sawit dan pelancongan, namun kekuatan itu perlu dinilai bersama ekosistem ekonomi yang menyokong pembangunan negeri berkenaan.

Menurutnya, sistem Persekutuan memberikan Sabah akses kepada pasaran Malaysia yang lebih luas, kestabilan mata wang, kemudahan pembiayaan serta perkongsian sumber dan risiko ekonomi.

“Persoalan yang lebih utama bukanlah sama ada Sabah mampu berdiri secara berasingan, tetapi bagaimana kekuatan ekonominya dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dalam kerangka Persekutuan,” katanya kepada The Merdeka Times.

Dr. Muhammad Irwan mengulas tuntutan kumpulan aktivis Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) supaya Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Beliau berkata, struktur ekonomi Sabah masih bergantung pada sektor perkhidmatan dan sumber mentah, dengan sektor pembuatan menyumbang bahagian yang lebih kecil kepada ekonomi negeri.

Berdasarkan data 2025 yang dirujuk beliau, sektor perkhidmatan menyumbang 52.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah, diikuti perlombongan sebanyak 22 peratus, pertanian 13.9 peratus dan pembuatan hanya 7.2 peratus.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan keperluan memperkukuh industri hiliran, produktiviti dan peluang pekerjaan supaya sumber semula jadi negeri dapat menjana nilai ekonomi yang lebih tinggi.

Mengulas kesan pemisahan terhadap pelaburan asing, Muhammad Irwan berkata, pelabur bukan sahaja mempertimbangkan sumber dan lokasi, tetapi turut menilai kestabilan dasar, kepastian peraturan, akses pasaran, pembiayaan serta kecekapan infrastruktur dan rantaian bekalan.

“Ketidakpastian dalam tempoh peralihan boleh menyebabkan pelabur menangguhkan keputusan atau menilai semula risiko pelaburan mereka,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Sabah menjadi negara berasingan, aturan perdagangan, percukaian, mata wang dan hubungan ekonominya dengan Malaysia perlu ditentukan semula, sekali gus berpotensi meningkatkan kos urus niaga serta ketidaktentuan kepada pelabur.

Dalam aspek kewangan awam, beliau menjelaskan bahawa fungsi seperti pertahanan, keselamatan negara, hubungan diplomatik dan pengurusan monetari lazimnya lebih cekap dilaksanakan secara bersama kerana memerlukan kos besar dan memberi manfaat merentasi sempadan negeri.

“Sekiranya Sabah menjadi sebuah negara berasingan, tanggungjawab tersebut perlu ditanggung atau diatur semula melalui institusi dan perjanjian tersendiri. Keadaan ini boleh meningkatkan tekanan fiskal dan ketidakpastian ekonomi, khususnya dalam tempoh peralihan,” katanya.

Sebaliknya, beliau berpandangan bahawa usaha memperjuangkan hak hasil Sabah sebanyak 40 peratus di bawah kerangka perlembagaan menawarkan ruang untuk memperkukuh kapasiti kewangan negeri tanpa perlu menanggung kos pembentukan negara baharu.

“Pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai kepentingan ekonomi yang besar. Ia bukan sekadar isu penerimaan hasil, tetapi turut berkaitan dengan pembahagian sumber kewangan yang lebih seimbang,” katanya.

Menurutnya, tambahan kapasiti fiskal itu boleh membantu mempercepat pembangunan infrastruktur, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan jurang pembangunan sekiranya diurus secara telus serta berorientasikan hasil.

“Dari sudut kecekapan fiskal dan pengurusan risiko makroekonomi, pengukuhan federalisme melalui pelaksanaan hak perlembagaan dan kerjasama Persekutuan-negeri merupakan pendekatan yang lebih meyakinkan berdasarkan keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kepada penyelesaian tuntutan hak Sabah, penambahbaikan infrastruktur, pembangunan tenaga mahir dan pengukuhan industri supaya kekayaan negeri dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih besar untuk rakyat. – The Merdeka Times






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo