NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azmin, Amirudin digesa dedah tujuan rundingan kerjasama politik Selangor



KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari digesa menjelaskan tujuan, skop serta manfaat rundingan kerjasama politik antara Bersatu dengan kerajaan negeri kepada rakyat.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan) Selangor, Md Yassir Arafat Kassim berkata, rakyat berhak mengetahui hasil rundingan itu, terutama ketika pelbagai isu seperti kos sara hidup, banjir kilat, pengurusan sampah dan kesesakan lalu lintas terus menjadi kebimbangan masyarakat.

“Jangan beri rakyat sekadar janji kestabilan. Tunjukkan bagaimana kestabilan itu menyelesaikan masalah mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Yassir turut membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan fungsi semak dan imbang sekiranya rundingan berkenaan mencapai persetujuan, memandangkan Azmin memegang tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang Selangor.

“Rakyat berhak mendapat jaminan peranan pembangkang untuk memantau, menegur dan mempersoalkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri akan terus dilaksanakan secara bebas serta berkesan

“Jawatan Ketua Pembangkang bukan sekadar kedudukan politik, sebaliknya amanah untuk membawa suara rakyat dan memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadap dasar serta keputusan yang dibuat,” katanya.

Menurutnya, Amirudin juga diminta menjelaskan keutamaan kerajaan negeri dalam rundingan itu, termasuk komitmen yang dicadangkan dan mekanisme bagi memastikan persefahaman politik tidak menjejaskan ruang kritikan serta penelitian terhadap pentadbiran negeri.

“Rakyat tidak seharusnya sekadar dimaklumkan bahawa rundingan sedang berlangsung tanpa diberikan penjelasan mengenai tujuan dan kaitannya dengan kepentingan awam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kedua-dua pemimpin menjelaskan empat perkara utama, iaitu tujuan, skop dan prinsip rundingan; jaminan kebebasan fungsi semak dan imbang; komitmen khusus terhadap isu rakyat; serta bentuk akauntabiliti bagi menilai manfaat persefahaman berkenaan kepada masyarakat.

“Wawasan Selangor tidak menolak kerjasama antara parti atau pemimpin politik, namun setiap persefahaman perlu dinilai berdasarkan prinsip, ketelusan dan hasilnya kepada rakyat, bukannya sekadar pengumuman politik.

“Pemimpin bebas berunding dan parti bebas mencari persefahaman. Namun, rakyat juga berhak mempersoalkan, menilai dan menuntut penjelasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo