Timbalan Pengerusi PN, Tuan Guru Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan, tindakan BERSATU yang cuba membubarkan gabungan berkenaan adalah tidak wajar.
Beliau menyatakan demikian bagi mengulas persoalan dibangkitkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung rancangan PN mengambil tindakan tatatertib terhadap parti itu.
Menurut Timbalan Presiden PAS itu, jawapan kepada persoalan berkenaan sebenarnya sudah terkandung dalam kenyataan Muhyiddin sendiri.
“Dalam kenyataan itu sudah ada jawapannya. BERSATU tidak perlu berusaha untuk membubarkan PN atau melakukan pelbagai tindakan menyerang gabungan itu. Adalah lebih baik BERSATU menarik diri daripada PN.
“Mereka yang membuat aduan kepada RoS, tetapi sekarang mereka pula bersedih apabila RoS membatalkan pendaftaran PN,” tempelak Ahli Parlimen Kubang Kerian itu sebagaimana laporan Berita Harian.
Tuan Ibrahim menegaskan, BERSATU tidak sepatutnya berusaha membubarkan PN, namun pada masa sama menyatakan kesedihan terhadap pembatalan pendaftaran gabungan itu.
Beliau merujuk keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran PN susulan aduan yang dibuat BERSATU.
Mengulas tindakan lanjut terhadap BERSATU, beliau menjelaskan perkara itu diserahkan kepada Majlis Tertinggi PN untuk diteliti sebelum sebarang keputusan sewajarnya dibuat.
Terdahulu, PN memutuskan untuk memulakan prosiding tatatertib terhadap BERSATU susulan beberapa tindakan parti itu yang dianggap bertentangan dengan kepentingan gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan, tindakan mengikut Fasal 15 Perlembagaan PN itu tidak bermakna BERSATU sudah digantung atau dipecat.
Sebaliknya jelas beliau yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PN, parti berkenaan akan diberi peluang mengemukakan penjelasan terhadap pertuduhan diperincikan.
Antara perkara yang akan diteliti menurut beliau, termasuk tindakan BERSATU bertanding menentang calon PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Serta terkini berkenaan cadangan kerjasama BERSATU Selangor dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor. – HARAKAHDAILY 27/10/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment