- Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata tindakan kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) menterbalikkan Jalur Gemilang di Melbourne, Australia, pada 24 Oktober lalu perlu dilihat bukan sekadar sebagai provokasi, tetapi juga peringatan mengenai persoalan hak kedua-dua negeri yang masih belum diselesaikan.
- “Mengapa selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, masih wujud rakyat yang merasakan mereka tidak mendapat hak sewajarnya sebagai rakan pembentuk negara?” katanya kepada The Merdeka Times.
- Beliau turut berkata, peningkatan pemberian khas interim kepada Sabah daripada RM26.7 juta kepada RM1.5 bilion setahun wajar diiktiraf, namun tuntutan berkaitan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah masih perlu ditangani.
KUALA LUMPUR – Kelewatan menyelesaikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berisiko menjejaskan keyakinan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap Persekutuan, sekali gus membuka ruang kepada sentimen pemisahan, kata penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.
Beliau berkata, tindakan kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) menterbalikkan Jalur Gemilang di Melbourne, Australia, pada 24 Oktober lalu perlu dilihat bukan sekadar sebagai provokasi, tetapi juga peringatan mengenai persoalan hak kedua-dua negeri yang masih belum diselesaikan.
“Mengapa selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, masih wujud rakyat yang merasakan mereka tidak mendapat hak sewajarnya sebagai rakan pembentuk negara?
“Inilah persoalan yang tidak boleh diselesaikan dengan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang lebih tinggi,” katanya kepada The Merdeka Times.
Menurutnya, Dewan Rakyat pada 5 Oktober lalu dimaklumkan bahawa daripada 26 perkara di bawah mekanisme pelaksanaan MA63, sebanyak 13 selesai sepenuhnya, tiga selesai sebahagian, lima belum selesai dan lima lagi memerlukan keputusan peringkat tertinggi.
“Angka ini membawa dua pengertian. Pertama, rundingan memang menghasilkan kemajuan. Kedua, masih terdapat persoalan penting yang belum mendapat penyelesaian muktamad,” katanya.
Antara isu yang masih memerlukan rundingan termasuk royalti petroleum, Akta Laut Wilayah 2012 dan hak terhadap pelantar benua.
Beliau turut berkata, peningkatan pemberian khas interim kepada Sabah daripada RM26.7 juta kepada RM1.5 bilion setahun wajar diiktiraf, namun tuntutan berkaitan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah masih perlu ditangani.
“Peningkatan tersebut wajar diiktiraf. Tetapi jangan pula angka RM1.5 bilion dijadikan alasan untuk menutup perbincangan mengenai hak yang lebih besar.
“Hak yang termaktub dalam Perlembagaan bukan hadiah hari jadi yang boleh diberikan mengikut kemurahan hati kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Zaharuddin menegaskan kelewatan pelaksanaan MA63 tidak secara automatik membenarkan tuntutan pemisahan.
“Perjanjian yang belum dilaksanakan sepenuhnya perlu diperjuangkan melalui saluran perundangan, perlembagaan dan rundingan politik. Ia bukan dengan sendirinya membuktikan bahawa Malaysia sudah kehilangan asas kewujudannya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kesediaan pihak yang memperjuangkan pemisahan untuk menjelaskan pelan ekonomi dan pentadbiran sekiranya Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.
“Jika Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia esok, apakah pelan ekonomi yang mampu menjamin kehidupan rakyat selepas itu?”
“Bercakap tentang kemerdekaan dari Melbourne mungkin mudah. Membayar kos sebuah negara dari Kota Kinabalu atau Kuching jauh lebih rumit,” katanya.
Mengenai kemungkinan pengaruh luar, beliau mengingatkan bahawa kedudukan strategik Borneo menjadikan kestabilan politik dan keselamatan serantau penting, namun tindakan SSKM di Australia bukan bukti campur tangan asing.
“Kita mesti berhati-hati. Demonstrasi SSKM di Australia bukan bukti bahawa kerajaan asing sedang membiayai atau mengarahkan gerakan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan menetapkan garis masa penyelesaian baki tuntutan MA63 dan menerbitkan laporan kemajuan secara berkala.
“Rakyat Sabah dan Sarawak tidak boleh terus disajikan dengan ucapan mengenai perpaduan sedangkan tuntutan penting masih menunggu keputusan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin Sabah dan Sarawak supaya tidak menjadikan MA63 sekadar modal politik.
“Jika MA63 hanya menjadi slogan ketika kempen dan dilupakan selepas kemenangan, jangan terkejut apabila rakyat mencari suara lain untuk meluahkan kekecewaan,” katanya.
Mengulas tindakan menterbalikkan Jalur Gemilang, beliau berkata, provokasi terhadap simbol negara perlu ditangani mengikut undang-undang, manakala tuntutan hak yang sah mesti terus diberikan perhatian.
“Tindakan menghina simbol negara wajar ditangani mengikut undang-undang, tetapi persoalan sah mengenai hak Sabah dan Sarawak mesti terus dijawab secara terbuka.
“Patriotisme tidak boleh dijadikan pengganti kepada keadilan,” katanya.
Beliau menyimpulkan bahawa kedua-dua pihak perlu mengelakkan pertikaian daripada berlarutan sehingga merugikan rakyat.
“Kepada SSKM, jangan kerana bumbung rumah bocor, seluruh rumah mahu dibakar.
“Kepada Putrajaya pula, jangan tunggu rumah terbakar baru sibuk mencari tukang untuk membaiki bumbung,” katanya. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment