Perjanjian pada September 2021 antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) merangkumi komitmen terhadap peruntukan pembangunan kawasan yang saksama bagi Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Sebagai balasan, PH bersetuju menyokong atau berkecuali dalam usul kepercayaan dan rang undang-undang pembekalan, termasuk Bajet 2022.
Bercakap di Dewan Rakyat, Anwar berkata kerajaan kekal terbuka berbincang mengenai peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang dan telah melantik Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mengendalikan perundingan tersebut.
“Kita ada minta TPM II (Fadillah Yusof) yang diberikan mandat untuk berbincang. Kalau signed (tandatangan) hari ini, esok diluluskan.
“Tidak mahu runding, itu bukan masalah saya. Kita gunakan format yang sama, tak payah pinda satu perkataan pun.”
Anwar menjawab Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang mempersoalkan mengapa PH belum menunaikan janji manifesto menyediakan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen, tanpa mengira fahaman politik.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) menolak draf memorandum persefahaman (MoU) kerajaan berhubung peruntukan kawasan bagi Ahli Parlimen pembangkang, atas sebab kebimbangan terhadap keperlembagaannya, kebebasan bersuara serta perbincangan mengenai isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), keperluan pengisytiharan harta, dan kekurangan kejelasan mengenai jumlah serta mekanisme pembiayaan.
Che Mohamad turut mendakwa kerajaan mengamalkan sikap ‘dua darjat’ dalam mengagihkan dana pembangunan kawasan.
Beliau berkata jawapan bertulis Parlimen bertarikh 22 Jun menyatakan bahawa kawasan kerajaan dan pembangkang diperuntukkan RM2 juta setahun, namun dana untuk kerusi pembangkang diuruskan secara terus oleh kerajaan, bukannya menerusi Ahli Parlimen.
Anwar menjawab dengan memetik Terengganu yang ditadbir pembangkang, sambil menyebut peruntukan pembangunannya meningkat daripada RM6 bilion pada 2022 di bawah pentadbiran terdahulu kepada RM8.2 bilion bagi 2027.
“Ini diskriminasi apa? Banyak yang disebut zalim. Zalim apa ini? Satu kawasan (Terengganu) yang 100% sokongan pembangkang, kita tambah RM2.2 bilion. Ini memang luar biasa zalim.”
Anwar berkata, dana pembangunan diperuntukkan kepada kawasan Parlimen dan tidak diserahkan secara terus kepada wakil rakyat.
“Apakah mesti projek itu melalui Ahli Parlimen? Tidak. Dalam kawasan parti kerajaan pun…tidak diberi kepada Ahli Parlimen. Ahli Parlimen mengesahkan projek itu. Dana untuk pembangunan tidak diberi kepada Ahli Parlimen,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment