KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) setakat ini kekal dengan keputusan bertanding di 21 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun sebarang perubahan masih tertakluk kepada pertimbangan pimpinan gabungan itu.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, PH akan memberi tumpuan kepada kerusi yang akan ditandingi gabungan itu berdasarkan kemampuan dan keupayaan sendiri.
“Setakat ini kita telah umumkan 21 calon, 21 kerusi. Sekiranya ada apa-apa perubahan, kita serah kepada pimpinan untuk umumkan.
“Waktu ini masih 21,” katanya kepada media, malam tadi.
Fahmi berkata demikian selepas menghadiri serahan bantuan Deepavali di Parlimen Lembah Pantai.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan PH difahamkan bakal menambah tiga kerusi untuk ditandingi di PRN Melaka dengan PKR mendapat satu kerusi tambahan manakala Amanah memperoleh dua lagi kerusi.
Perkembangan itu, jika dimuktamadkan, akan menyaksikan jumlah kerusi yang ditandingi PH meningkat daripada 21 kepada 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Tambah Fahmi lagi, sebarang pertimbangan untuk mengubah kedudukan itu akan mengambil kira faktor strategik dan taktikal bagi memudahkan usaha PH menghadapi PRN Melaka.
“Dan sudah pasti sekiranya ada apa-apa perubahan, faktor-faktor strategik dan taktikal diambil kira, memberi kemudahan dalam usaha kita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Melaka,” katanya.
Mengulas mengenai bentuk kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sempena PRN Melaka, Fahmi menegaskan tiada kerjasama rasmi antara kedua-dua gabungan itu setakat ini menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Dia tidak ada kerjasama yang dari segi tak ada formal. Dan Pakatan Harapan akan memberi fokus kepada kerusi-kerusi Pakatan Harapan,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment